PETALING JAYA – Selain membeli baju raya yang berharga mahal, ada sesetengah orang ramai memilih untuk menyewa sahaja baju berkenaan dengan harga serendah RM100.
Servis menyewa baju raya kian mendapat tempat apabila ramai wanita berpendapat menyewa baju lebih berbaloi kerana ia hanya akan dipakai pada hari raya pertama sahaja.
Siti Aisyah Hamid, 25, pemilik penyedia sewaan baju raya di TikTok berkata, permintaan terhadap servis sewa baju raya semakin meningkat, terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri.
“Kalau untuk raya, memang selalu habis ditempah sejak awal bulan Disember lagi. Pelanggan tetap saya akan buat tempahan lebih awal bagi mendapatkan baju yang diinginkan.
Katanya, kadar sewa pakaian ditentukan berdasarkan harga asal baju. Sebagai contoh, baju yang berharga RM500 boleh disewa dengan bayaran serendah RM100, dengan deposit RM50 yang akan dipulangkan selepas pakaian dipulangkan dalam keadaan baik.
“Untuk memastikan baju dalam keadaan baik, saya kenakan deposit RM50. Jika baju dikembalikan tanpa sebarang kerosakan, saya akan pulangkan semula deposit tersebut.
Baju yang disewa boleh digunakan dalam tempoh maksimum tiga hari dari tarikh penyewaan sebelum perlu dipulangkan.
Idea untuk menawarkan servis sewa baju raya ini tercetus apabila dia sedar banyak baju berjenama dalam koleksinya jarang dipakai, sedangkan masih ramai yang ingin bergaya dengan jenama yang sama tetapi tidak mahu berbelanja besar.
“Saya sendiri suka beli baju dari jenama-jenama terkenal, tapi jarang pakai. Jadi, daripada membiarkan ia tersimpan dalam almari, lebih baik saya sewakan, katanya.
Menjelang Aidilfitri tahun ini, dia telah memperoleh sekitar RM2,500 melalui servis yang telah ditawarkan. Dia juga telah memulakan perniagaan ini setahun yang lalu sebagai suri rumah dan tidak menyangka sambutannya begitu menggalakkan.
Seorang pelanggan tetap servis baju raya itu, Nazzara Arissa Ahmad, 28, memberitahu, dia mengetahui perkhidmatan servis sewa baju raya terbabit melalui platform di TikTok.
“Pada saya, kalau beli itu membazir sangat sebab hanya nak pakai sekejap atau satu hari sahaja untuk hari raya. Kebanyakkan baju yang saya beli hanya pakai sekali dua.
Tambahnya, menyewa baju raya adalah alternatif yang lebih praktikal kerana harga pakaian berjenama boleh mencecah RM400 sehingga RM500 sehelai.
“Kalau beli, memang mahal. Jadi lebih baik saya sewa dengan harga RM100 atau RM80 sahaja. Jadi, memang sangat berbaloi,” katanya lagi.














