fbpx
Beginilah keadaan salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan lima nyawa terkorban termasuk Iklil NUraudah (gambar kecil) di Kluang kelmarin.

Arwah sayang keluarga, beri RM1,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Hasrat seorang pramugari syarikat penerbangan Batik Air pulang ke kampung untuk mengambil keluarganya beraya bersama tidak kesampaian apabila wanita itu terkorban dalam kemalangan di Kilometer 58.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan kelmarin.

Dalam nahas pada pukul 11.30 malam itu, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, antara lima mangsa yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan.

Menurut ibunya, Mimi Sabrina Yusuf, 47, anak kedua daripada enam beradik itu dalam perjalanan pulang ke Pasir Gudang ­untuk membawa keluarga beraya di rumah sewanya di Sepang, Selangor.

Katanya, Iklil Nuraudah me­minta mereka bersiap awal ke­rana bercadang bertolak selepas subuh.

“Saya tunggu sampai pukul 12 tengah malam, tapi dia masih tak tiba. Saya mula risau, takut ada perkara buruk berlaku.

“Pagi tadi, kira-kira pukul 5 pagi, anak sulung saya telefon dan beritahu berita sedih ini.

“Kehilangannya amat terasa, lebih-lebih lagi dua hari sebelum Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini semalam.

Tambah Mimi Sabrina, mereka sekeluarga merancang me­nyambut ulang tahun kelahiran arwah pada 26 Mac lalu di rumah sewanya, namun hanya sempat mengirimkan ucapan.

Sementara itu, bapa arwah, Muhamad Redzaa Abu Hashim, 47, menyifatkan anaknya seorang bertanggungjawab terhadap keluarga dan suka menyayangi keluarga.

“Dia selalu memberi wang belanja kepada kami, RM1,000 setiap bulan dan banyak membantu dalam urusan keluarga.

“Selepas beraya di Sepang, kami sekeluarga sepatutnya pulang ke Pasir Gudang untuk beraya bersama saudara-mara.

“Kami tak sangka kehilangan dia secepat ini, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri,” katanya dengan nada sebak.

Jenazah mangsa dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN