SEPANG – Tiga lelaki warga asing yang dianggap ganas dan berbahaya kerana sanggup mencederakan mangsa dengan parang ditembak mati polis dalam kejadian di Desa Vista di sini awal pagi semalam.
Suspek berusia 35 hingga 40 tahun itu dilaporkan terbabit dalam 17 kes samun dan pecah rumah di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sejak awal tahun lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, sebelum kejadian, ketiga-tiga suspek itu bersembunyi di hutan selepas cuba menyamun sebuah rumah di kawasan berhampiran.
Katanya, kehadiran tiga suspek itu dikesan selepas alat penggera keselamatan rumah tersebut berbunyi sebelum pemiliknya ternampak kelibat individu bertopeng dan bersenjata parang.
Apabila tahu kehadiran mereka disedari oleh pemilik rumah, ketiga-tiga suspek segera melarikan diri ke kawasan hutan untuk bersembunyi.
“Pada masa sama, pemilik rumah menghubungi polis sebelum gerakan menjejaki suspek dilakukan,” katanya.

Fadil memberitahu, suspek kemudian dikesan di kawasan hutan. Mereka mengelak daripada ditangkap dan cuba menyerang anggota polis dengan parang.
“Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan mereka (suspek) disahkan mati di lokasi kejadian,” katanya.
Kumpulan penjenayah itu dianggap berbahaya kerana tidak teragak-agak mencederakan mangsa seperti kejadian di Sungai Buloh apabila mangsa ditetak selepas dikatakan cuba melawan.
Siasatan awal mendapati kerugian berhubung kes samun dan pecah rumah melibatkan kumpulan penjenayah tersebut berjumlah RM1 juta.

Kumpulan itu dipercayai terdiri daripada lima individu dan usaha mengesan saki baki mereka sedang giat dijalankan. Mereka akan pulang ke negara asal selepas selesai menyamun.
Satu video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan tiga penjenayah itu turut tular dalam media sosial semalam.
Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki berbadan tegap dan membawa senjata melompat masuk ke kawasan rumah selepas dipercayai memotong pagar di bahagian belakang kediaman tersebut.
Selepas itu, suspek membaling satu objek ke kawasan hutan dipercayai sebagai isyarat kepada dua rakannya untuk meminta mereka masuk ke kawasan rumah tersebut selepas keadaan didapati selamat.
Ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang dilihat berjalan mundar-mandir di kawasan rumah mangsa sambil membongkokkan badan dipercayai bagi mengelak disedari oleh tuan rumah.














