fbpx
SYED MOHD. NOR FAUZAN menunjukkan Alaska King Crab yang dijual digerainya di Bazar Ramadan Taman Suria, Johor Bahru semalam.

Pelanggan sanggup berhabis, beli Alaska King Crab RM500 di bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Pemilik gerai Ikan Bakar No. 1 JB meneruskan tradisi menjual lauk-pauk berasaskan makanan laut kepada pengunjung di Bazar Ramadan Taman Suria di sini tahun ini.

Salwa Jamilah Mohd. Yamin, 27, berkata, kali ini gerai yang diusahakan bersama suami, Syed Mohd. Nor Fauzan menampil sajian istimewa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Antara hidangan yang dijual ialah Chilean Snow Crab, Alaska King Crab, Green Lobster atau Udang Karang Hijau, Boston Lobster, ketam nipah serta kerang bersaiz gergasi.

“Kami berniaga di bazar Ra­madan sejak 10 tahun lalu. Ketika itu suami membantu ibu bapa­nya berniaga dan tahun ini kami mengambil keputusan untuk bergerak sendiri.

“Kami sediakan lebih 10 menu pilihan makanan laut segar antaranya ikan merah, bawal, pari, siakap, kerang dan ketam nipah.

“Tahun ini, kami mencipta kelainan apabila menjual ketam gergasi Alaska, Snow Crab, Boston Lobster dan Green Lobster,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bazar Ramadan Taman Suria kelmarin.

Salwa memberitahu, harga ditawarkan bermula RM20 hingga RM50 bergantung kepada saiz bagi menu ikan bakar dan kerang bakar saiz sederhana.

Bagi menu premium, harga yang ditawarkan bermula RM30 bagi kerang bersaiz gergasi, udang karang hijau (RM70), ke­tam nipah (RM100) dan Alaska King Crab (RM300-RM500).

Selain itu, gerai makanan laut itu turut menyediakan sajian mi dan nasi goreng seafood berharga RM12.

“Alhamdulillah sambutan setiap kali Ramadan amat menggalakkan sebab kami sudah ada pelanggan tetap terdiri daripada orang tempatan dan warga Si­ngapura,” katanya.

Jelas wanita itu, bekalan bahan mentah seperti Alaska King Crab, Boston Lobster, udang karang hijau dan kerang gergasi diperoleh daripada pembekal di Sabah, manakala ikan segar pula ditempah dengan pembekal tempatan di Johor.

Ketam nipah pula diimport dari Indonesia.

“Dalam sehari, untuk Alaska King Crab kami sediakan tiga hingga lima ekor bergantung kepada permintaan, orang nak (beli) baru kita akan bakar.

“Lobster pula jadi menu best seller. Setiap hari kami menjual 100 hingga 200 kilogram (kg) lobster, manakala ketam nipah pula 50 hingga 70kg,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN