USAHA pemerkasaan wakaf di institusi pendidikan tinggi (IPT) memainkan peranan yang sangat penting dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang kondusif dan selesa untuk pelajar. Sebagai satu bentuk sumbangan berterusan, wakaf bukan sahaja membantu membiayai pembangunan infrastruktur akademik, malah turut menyokong usaha meningkatkan kualiti pendidikan di IPT.
Selain menyediakan ruang pembelajaran, wakaf juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya di IPT dalam membiayai kemudahan lain seperti perpustakaan, makmal serta institut penyelidikan yang memberi manfaat kepada pelajar dan penyelidik.
Sumbangan wakaf daripada individu, alumni dan badan korporat bukan sahaja menjadi pelaburan dalam pendidikan, tetapi turut membantu memastikan akses kepada pembelajaran berkualiti di kampus akan dapat dinikmati oleh semua pihak termasuk pemegang taruh daripada institusi awam, badan korporat, badan bukan kerajaan dan sebagainya.
Baru-baru ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil inisiatif dalam menyediakan bilik kuliah pintar dengan kemudahan moden yang berintegrasi dengan teknologi ke arah mewujudkan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan berimpak tinggi buat mahasiswa melalui pelancaran Wakaf Interactive Resource Arena (WIRA) yang telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah.
Menerusi inisiatif ini, wakaf terkumpul yang diuruskan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM dimanfaatkan dengan menaik taraf bilik kuliah sedia ada yang terletak di Dewan Kompleks Akademik Pusat (DKAP) agar lebih kondusif dan selari dengan keperluan kelas pintar untuk dimanfaatkan oleh pelajar.
Inisiatif WIRA ini telah membuktikan bahawa wakaf bukan sekadar satu bentuk amal jariah, tetapi juga merupakan pelaburan strategik dalam membangunkan generasi berilmu dan berdaya saing. Dengan sokongan berterusan, wakaf dapat terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik di peringkat tempatan dan global.

Transformasi akademik secara berterusan seperti ini bertujuan meningkatkan kemudahan akademik dan meletakkan pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik sepanjang pengajian di kampus. Langkah ini juga mencerminkan usaha berterusan UPM dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran yang dinamik serta menyokong aspirasi universiti sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa.
Pembelajaran yang berimpak tinggi amat sinonim dengan era pendigitalan yang pesat berkembang dan kemahiran aplikasi teknologi pintar merupakan set kemahiran yang diperlukan oleh pelajar pada masa kini.
Jika dilihat daripada keperluan semasa, telah banyak institusi pengajian tinggi melipatgandakan usaha dalam memperkenalkan lebih banyak kelas pintar sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti pembelajaran.
Kelas pintar merupakan ruang pembelajaran moden yang dilengkapi dengan teknologi canggih seperti skrin interaktif, sistem pembelajaran berasaskan awan, peranti pintar serta kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan interaksi antara pensyarah dan pelajar. Selain itu, kelas pintar juga membolehkan pelajar berinteraksi secara lebih aktif melalui penggunaan peranti digital.
Teknologi ini memudahkan penyampaian bahan pembelajaran secara lebih interaktif dan menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan mudah difahami oleh pelajar.
Di samping itu, pensyarah juga dapat memanfaatkan teknologi seperti AI dan analitik data untuk mengenal pasti tahap pemahaman pelajar serta menyesuaikan pendekatan pengajaran agar lebih efektif. Walaupun kelas pintar dapat menyediakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang menarik, namun terdapat cabaran dalam pelaksanaannya seperti kos penyelenggaraan yang tinggi, keperluan latihan pensyarah serta kebergantungan kepada rangkaian internet yang stabil.
Namun, dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, industri dan institusi pendidikan, kelas pintar berpotensi menjadi norma dalam sistem pembelajaran tinggi di Malaysia. Menyediakan fasiliti kelas pintar adalah langkah ke hadapan dalam mentransformasikan sistem pendidikan tinggi. Melalui pendekatan inovatif ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pembelajaran yang lebih efektif, tetapi juga dilatih untuk menghadapi cabaran dunia digital yang semakin berkembang pesat.
Melalui dana wakaf, IPT dapat memperkasa pengajaran dan pembelajaran dalam pelbagai bidang seperti sains, teknologi, perubatan dan kemanusiaan. Ini bukan sahaja menggalakkan inovasi, tetapi juga membantu universiti menghasilkan graduan yang berkualiti dan pada akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
Kesedaran dan sokongan terhadap wakaf pendidikan perlu terus disuburkan agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada kemudahan yang lebih baik. Melalui usaha berterusan ini, wakaf bukan sahaja menjadi penyumbang kepada pembangunan institusi pengajian tinggi, tetapi juga sebagai aset penting dalam menjana kearifan tempatan, membentuk generasi berilmu dan berdaya saing.
*PENULIS merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia






