LONDON – Kebangkitan McLaren sewaktu aksi pramusim mencetuskan kebimbangan buat Red Bull Racing menjelang aksi musim Formula Satu (F1) 2025 yang membuka tirainya 14 Mac ini di Australia.
Ujian pramusim di Bahrain baru-baru ini mendedahkan jurang prestasi antara kedua-dua pasukan amat ketara yang menyaksikan Red Bull lebih perlahan berbanding McLaren.
Penasihat Red Bull Racing, Helmut Marko menyifatkan kelebihan McLaren dalam pengurusan tayar sebagai faktor utama pasukan mendapat rentak cukup baik.
“Pada pendapat saya, ia akan menjadi pertarungan tiga atau empat penjuru antara McLaren, Mercedes, Ferrari dan kami.
“Walaupun begitu, jika melihat keputusan ujian, McLaren sudah memiliki kelebihan awal. Perkara itu jelas dalam kedua-dua sesi jangka pendek dan panjang. Pilihan utama ketika ini jelas McLaren,” kata Marko.
Walaupun berdepan cabaran besar, Red Bull tetap tidak berdiam diri apabila pengarah teknikalnya, Pierre Wache mendedahkan pasukan telah melakukan perubahan besar pada jentera RB21 bagi memperbaiki kelemahan RB20 musim lalu.
Antara perubahan utama dilakukan termasuk sistem penyejukan baharu, suspensi lebih stabil, serta pakej aerodinamik yang efisien.
“Kami mahu memastikan RB21 lebih mudah dikendalikan, terutama di selekoh perlahan. Tahun lalu, kami mempunyai jentera yang pantas tetapi sukar untuk dikawal dan kali ini, kami cuba mengubahnya,” kata Wache.
Meskipun Red Bull masih bergelut untuk menyaingi McLaren, pasukan itu tetap optimis bahawa mereka mampu bangkit mengatasi kelemahan tersebut. – AGENSI