ALAM dunia pendidikan yang semakin berkembang, teknologi memainkan peranan yang tidak boleh dipandang enteng. Salah satu inovasi yang semakin menjadi perhatian pendidik adalah pembelajaran interaktif. Pendekatan ini bukan sekadar membuat pembelajaran menjadi lebih menarik, tetapi juga menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam setiap sesi pembelajaran. Pembelajaran interaktif kini dilihat sebagai satu kaedah yang boleh memberi impak besar terhadap cara pelajar menguasai ilmu, terutamanya dalam dunia yang penuh dengan alat teknologi canggih.
Pembelajaran interaktif merujuk kepada pendekatan pengajaran yang memberi penekanan kepada penglibatan pelajar secara aktif dalam setiap aktiviti pembelajaran.
Berbeza dengan pengajaran konvensional yang lebih berfokus kepada penerimaan maklumat daripada guru, pembelajaran interaktif membolehkan pelajar untuk berinteraksi, berbincang, dan meneroka pengetahuan dengan lebih mendalam. Melalui penggunaan alat digital seperti aplikasi pendidikan atau permainan interaktif, pelajar tidak hanya mendengar atau membaca, tetapi mereka turut terlibat dalam aktiviti yang memperkukuh pemahaman mereka.
Salah satu contoh menarik dalam pengajaran bahasa Inggeris adalah penggunaan aplikasi pembelajaran bahasa seperti Duolingo atau Quizlet. Aplikasi ini menawarkan pelbagai latihan yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga berkesan dalam membantu pelajar menguasai kosa kata dan tatabahasa. Dalam satu sesi pengajaran, guru boleh menggunakan aplikasi ini untuk cabaran berbentuk kuiz yang memberi peluang kepada pelajar memperolehi markah atau penyelesaian masalah bahasa dalam masa nyata.
Selain itu, Moodle adalah satu Learning Management System (LMS) yang banyak digunakan oleh institusi pendidikan tinggi di Malaysia juga menyediakan pelbagai alat untuk pembelajaran interaktif seperti H5P dan Lesson. H5P membolehkan pendidik mencipta kandungan interaktif seperti kuiz, permainan memori, video interaktif dan pelajaran bercabang yang boleh disesuaikan mengikut tahap pelajar.Di samping itu, Lesson dalam Moodle memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti laluan pembelajaran bercabang yang bergantung kepada jawapan mereka dalam kuiz atau soalan tertentu. Sebagai contoh, pelajar yang menjawab soalan dengan betul akan melangkah ke topik seterusnya, manakala bagi jawapan yang kurang tepat akan diarahkan untuk mengulang bahagian yang belum dikuasai. Pendekatan ini bukan sahaja memastikan pembelajaran lebih berstruktur, tetapi juga memberi pengalaman yang lebih peribadi dan interaktif kepada pelajar.
Pembelajaran interaktif menjadi semakin relevan pada zaman serba digital ini. Dunia yang penuh dengan teknologi memerlukan sistem pendidikan yang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Kaedah interaktif menawarkan pelajar pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan. Ia bukan sahaja menarik minat pelajar untuk lebih terlibat, tetapi juga menggalakkan mereka untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Pembelajaran tidak lagi terhad kepada buku teks atau kuliah satu hala, tetapi ia melibatkan penggunaan teknologi untuk mencipta peluang pembelajaran yang lebih luas dan fleksibel.
Selain itu, pembelajaran interaktif juga membantu pelajar untuk membina kemahiran berkomunikasi, kerjasama dan penyelesaian masalah yang kesemuanya adalah kemahiran penting dalam dunia profesional. Pelajar kini tidak hanya belajar dari segi teori, tetapi dapat mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam situasi sebenar melalui aktiviti dan projek.
Di Malaysia, kerajaan telah mengambil langkah penting untuk memastikan pendidikan negara selaras dengan perkembangan teknologi. Antaranya adalah inisiatif MyDIGITAL yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan pemimpin serantau dalam ekonomi digital, sangat berkait rapat dengan pembelajaran interaktif. Dengan fokus kepada teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan inovasi digital, MyDIGITAL menyokong penggunaan pelbagai platform pembelajaran untuk menghasilkan kandungan pembelajaran yang lebih interaktif dan dinamik. Usaha ini mendorong digitalisasi pendidikan, memperluas akses kepada teknologi dan memastikan pembelajaran lebih inklusif serta relevan dengan keperluan masa depan.
Tidak ketinggalan, Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang memberi penekanan kepada penerapan teknologi dalam bilik darjah dan meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan guru.
Antara strategi-strategi yang digariskan di dalam teras lima Dasar Pendidikan Digital (Kandungan Digital Berkualiti) adalah memperkasakan pembelajaran digital untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan memperkasakan sumber pendidikan digital.
Salah satu kelebihan pembelajaran interaktif adalah peningkatan penguasaan pelajar terhadap subjek yang dipelajari. Apabila pelajar diberi kebebasan untuk berinteraksi dan menyelesaikan masalah dalam bentuk permainan atau cabaran, mereka lebih cepat memahami konsep yang sukar.
Namun, tidak dinafikan bahawa pembelajaran interaktif turut menghadapi beberapa cabaran. Salah satu cabaran utama adalah akses kepada teknologi. Walaupun banyak inisiatif yang diperkenalkan, masih terdapat jurang dalam akses teknologi antara kawasan bandar dan luar bandar. Di sesetengah kawasan, pelajar masih bergelut dengan kekurangan infrastruktur teknologi seperti akses Internet yang lemah dan kekurangan peralatan digital.
Selain itu, guru juga perlu bersedia dengan kemahiran digital yang mencukupi untuk menggunakan teknologi dalam kelas. Ini memerlukan latihan berterusan dan sokongan daripada pihak pengurusan untuk memastikan pembelajaran interaktif dapat dijalankan dengan berkesan.
Dengan perkembangan pesat dalam bidang teknologi, masa depan pembelajaran interaktif amat cerah.
Penggunaan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR), dan realiti tertambah (AR) dijangka akan membawa pembelajaran ke tahap yang lebih mendalam dan menyeluruh. Pelajar akan dapat belajar melalui pengalaman langsung yang lebih menarik dan berkesan, menjadikan pembelajaran lebih hidup dan mudah difahami.
Pembelajaran interaktif bukan hanya satu trend, tetapi merupakan perubahan besar dalam dunia pendidikan yang perlu diterima oleh semua pihak. Sebagai pendidik, kita perlu berani untuk mencuba dan memanfaatkan teknologi dalam kelas bagi memastikan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang terbaik.















