PRESTASI unggul Porsche Macan generasi kedua yang kini dalam versi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) mampu memberi pengalaman pemanduan memuaskan.
Pengenalan Macan elektrik selaras ke arah elektrifikasi dengan mengurangkan emisi karbon itu terbukti berkesan terutama untuk pemanduan urban.
Sime Darby Auto Performance (SDAP) sebagai pengimport sah Porsche Malaysia telah melancarkan generasi baharu Macan untuk pasaran Malaysia baru-baru ini dengan kesemua varian penuh.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik itu ditawarkan dalam empat varian iaitu Macan (asas) pada harga RM430,000, Macan 4 (RM445,000), Macan 4S (RM525,000) dan Macan Turbo (RM635,000).
Macan baharu ini mengekalkan DNA rekaan Porsche dengan garisan coupe dan siluet atletik serta aerodinamik.
Baru-baru ini, penulis bersama rakan media automatif lain berpelung memandu uji Macan Turbo dan Macan 4 bagi merasai sendiri kehebatan kereta berprestasi ini dengan menelusuri jalan utama bandar serta lebuh raya.
Konvoi Macan EV itu bermula dari M Resort & Hotel Kuala Lumpur merentasi jalan raya utama sekitar Lembah Klang sebelum menuju ke Pusat Pengalaman Memandu (DEC) di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor.
Menempuh kesesakan trafik teruk di jalan bandar tidak menimbulkan ‘range anxiety’ memandangkan SUV elektrik Macan mempunyai jarak gerak sehingga 600 kilometer (km), sesuai untuk kegunaan harian.
Masuk sahaja ke Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), trafik semakin lancar dan penulis cuba menekan pedal minyak menghampiri had laju 150 km/j, ternyata pecutannya selari dan Macan langsung tidak rasa ‘terbuai’.
Pemanduan dengan Macan EV amat meyakinkan apabila kereta memecut laju walaupun tiada bunyi deruman enjin.

Kadar kesenyapan bunyi (NVH) SUV ini amat baik dengan bunyi bising dari luar kenderaan sangat minimal.
Kesemua varian Macan dibina di atas Platform Premium Elektrik (PPE) terkini yang datang dengan bateri lithium ion yang mempunyai kapasiti 100kWh.
Motor elektrik tunggal memacu roda belakang pada varian asas Macan, manakala tiga varian tertinggi menggunakan sistem pacuan semua roda dengan motor berkembar.
Berdasarkan WLTP, jarak gerak maksimum untuk varian asas Macan adalah sehingga 641km, Macan 4 (613km), Macan 4S (606km) dan Macan Turbo (591km).
Di Sepang, penulis diberi peluang menguji kedinamikan pemanduan Macan EV menerusi pelbagai ujian termasuk latihan kawalan kestabilan dan ujian slalom (kon).

Dibina dengan sistem aerodinamik Porsche Active Aerodynamics (PAA), SUV ini menunjukkan prestasi mengagumkan apabila berjaya menempuh ujian dan stabil apabila kereta dipandu.
Keupayaan ini ditambah baik dengan suspensi udara adaptif dan Porsche Active Suspension Management (PASM), menjadikan Macan EV bukan sahaja pantas tetapi selesa.
Ini diteruskan dengan ujian ‘kick plate’ iaitu penulis berpeluang belajar daripada jurulatih bertauliah cara untuk mengawal kereta dengan selamat apabila kereta hilang kawalan.
Mula-mula penulis agak gerun juga mahu mencuba ujian ini apabila melihat kenderan ‘tercampak’ dan berpusing jika gagal dikawal dengan betul.
Macan EV yang dilengkapi sistem Porsche Traction Management (ePTM) beraksi cemerlang dalam ujian ‘kick-plate’ apabila mampu memastikan cengkaman optimum dalam semua keadaan.
Dengan tindak balas sepantas 10 milisaat, sistem ini memastikan kestabilan kenderaan dikekalkan dengan menghantar kuasa ke roda yang sesuai.
Dari segi kuasa, varian Macan Turbo boleh melakukan pecutan dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 3.3 saat dengan kuasa maksimum 430kW (584 PS).
Ia dan boleh dipertingkat kepada 470kW (639 PS) jika dikawal menggunakan ‘Launch Control’ dan mencapai tork maksikum 1,130Nm.
Kesimpulannya, Macan elektrik menjanjikan pengalaman pemanduan luar biasa kepada pemiliknya dan terbukti praktikal untuk pemanduan di bandar yang sibuk, dalam masa sama mengekalkan prestasi jenama Porsche.














