PETALING JAYA – Status orang kurang upaya (OKU) bukan alasan untuk terlepas daripada hukuman kerana jenayah merupakan perkara subjektif yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tidak kira status individu tersebut.
Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, ini kerana individu yang melakukan jenayah hatta golongan OKU juga mempunyai perasaan dan keinginan tersendiri.
Bagaimanapun, beliau berkata, status OKU tidak boleh dijadikan alasan untuk terlepas daripada hukuman undang-undang lebih-lebih lagi jenayah yang melibatkan seksual.
“Manusia ni buat jenayah tidak kira siapa. Jangan anggap golongan OKU juga terlepas. Harus kita tahu pemegang kad OKU ini ada pelbagai jenis.
“Dulu jarang kita dengar jenayah melibatkan golongan ini. Tetapi saban tahun semakin meningkat.
“OKU ini ada yang terencat akal, kecacatan fizikal atau mental. Namun kesalahan tetap kesalahan. Ada peraturan atau undang-undang perlu dipatuhi termasuk OKU. Kad OKU pula bukan lesen untuk melakukan apa sahaja kesalahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.
Terdahulu, seorang remaja lelaki OKU yang tular melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid di Hulu Selangor, mengaku salah atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen tersebut.
Tertuduh berusia 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, tertuduh berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dan membawanya keluar dari ruangan berkenaan.
Ketika itu, murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri dan ia tidak disedari jemaah wanita lain ketika sujud.
Dalam pada itu, Shahul Hamid berkata, keluarga memainkan peranan sangat penting supaya golongan OKU ini tidak terjebak melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang.
Selain itu, masyarakat turut digesa supaya menjadi mata dan telinga kepada keluarga golongan OKU untuk mencegah daripada jenayah terjadi dalam mana-mana komuniti.
“Paling dekat adalah keluarga. Jadi keluarga perlu beri perhatian lebih. Ada ahli keluarga yang cuai, itu saya rasa tindakan boleh diambil kepada keluarga. Kalau tak mampu jaga, serahkan kepada pihak lain,” ujarnya.














