fbpx
Gewang profil tenggelam (sinking) yang menyerupai anak ikan cukup mendapat sambutan daripada black bass bersaiz lima hingga 10kg. Kaimana terletak di Papua, Indonesia.

Kaimana ‘syurga’ ikan pemusnah gewang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di Malaysia, ikan black bass ini boleh ditemui di sesetengah kawasan estuari (muara) di Sabah, walaupun diberitakan ada yang pernah mendapat ikan ini hasil memancing di Utara Semenanjung. Namun ia dikatakan kes-kes terpencil, mungkin spesimen yang terlepas dari sangkar atau kolam ternakan berdekatan.

Berbeza pula di Papua Barat, Indonesia, ikan ini sememangnya memegang pasport sana dan taburannya meluas di kebanyakan estuari yang berdekatan dengan laut.
Untuk ke ‘syurga’ ikan black bass, ia memerlukan kos tinggi dan harus ada pemandu pancing (fishing guide) yang sememangnya ada hubungan rapat dengan penduduk tempatan. Rezeki saya dijemput untuk menyertai satu trip black bass oleh International Sales Manager Drankcrazy Malaysia iaitu Dennis Pat yang sudah berpengalaman lebih 20 tahun menjelajah sekitar Papua membawa pemancing dari serata dunia.

Perjalanan

Kami berlepas dari Kuala Lumpur dan singgah di Surabaya, sebelum ke Makassar. Kemudian, kami terus menyambung penerbangan ke Sorong. Oleh kerana tiba agak lewat, kami bermalam di lapangan terbang sahaja kerana penerbangan seterusnya adalah pada awal pagi. Pagi-pagi lagi kami sudah berlepas dan sampai di Kaimana selepas hampir tiga jam penerbangan.

Perjalanan yang mengambil masa selama dua hari ini hanyalah permulaan, masih jauh lagi destinasi terakhir. Sampai di Kaimana, kami disambut oleh Pak Usman selaku pembantu yang akan menguruskan makanan, tempat tinggal, pengangkutan serta urusan dengan penduduk tempatan sepanjang dua minggu trip memburu black bass ini.

Kaimana berkapasiti hampir 50,000 orang menjadi satu-satunya bandar terdekat untuk penduduk sekitar mendapatkan bahan asas serta kelengkapan peribadi. Jadi tidak hairanlah ia menjadi bandar yang sibuk dan padat dengan penduduk.

Kelengkapan

Saya ditugaskan untuk memastikan segala kelengkapan telah lengkap sebelum ke mother boat (kapal induk) yang akan menjadi tempat tinggal kami. Kami bertolak dari pelabuhan Kaimana dengan mother boat hingga ke Pulau Namatota.

Kemudian, kami berpecah menaiki bot laju menyusuri laluan laut ke Pulau Dramai untuk singgah bermalam.

PENDUDUK kampung menjaga serta melindungi kampung dengan ketat, wajib untuk meminta izin apabila melalui kawasan mereka.

Menurut Dennis, selain black bass, Kaimana juga menjadi ‘padang’ pancing terbaik untuk mencari giant trevally atau ‘GT kerbau’. Di sepanjang perjalanan, jelas kelihatan batu-batuan besar serta karang luas yang berpotensi untuk popping.

Kami sempat juga membeli popper buatan penduduk tempatan berharga sekitar 150 ke 250,000 rupiah (RM41 ke RM68).

Popping GT

Seawal pagi, kami telah bergerak menuju ke kawasan berbatu besar. Saya menaiki bot laju berdua sahaja bersama tekong dan berhasrat untuk mencuba nasib popping GT terlebih dahulu.

Menurut Dennis, banyak rekod GT bersaiz mega berjaya dinaikkan oleh pemancing di sekitar Pulau Kenju Merah dan Pulau Dramai.

Lontaran pertama menggunakan popper seberat 60 gram buatan tempatan diambil rakus GT bersaiz juvenil. Namun, hanya sebutir popper sahaja yang dibawa kerana saya tertinggal yang lainnya di mother boat.

Lontaran kedua dihentam menyebabkan mainline 100lb bersambung perambut fluorocarbon 200lb ditarik tanpa henti oleh GT kerbau sehinggalah terputus. Punah harapan kerana pergi tanpa kembali satu-satunya popper yang ada.

Saya meneruskan perjalanan ke Tanjung Nariki kerana ada dua lagi pulau perlu direntasi iaitu Pulau Kajumerah dan Pulau Lakahia. Mother boat dan bot laju yang lain telah jauh meninggalkan saya.

Perkampungan asli Papua

Tiba di Tanjung Nariki, kami berjumpa terlebih dahulu dengan ketua kampung atau dipanggil ‘kepala masyarakat’ untuk meminta izin memancing serta memberi sedikit wang untuk ‘pembangunan kampung’. Setelah selesai rundingan, tanpa berlengah kami terus menyusuri muara untuk mencuba lokasi yang berpotensi.

Apabila memancing di kawasan estuari ini, anda perlu ambil kira perubahan pasang surut air supaya mudah mengesan habitat ikan sasaran. Ketika air surut, boleh dilihat struktur dasar yang menjadi kawasan hendap ikan pemangsa.

Tentangan daripada black bass bersaiz lima ke 10kg sangat mengujakan jika menggunakan set pancing berkekuatan sederhana.

Banyak juga info kami dapat daripada penduduk tempatan tentang kawasan yang banyak
black bass. Saya pula lebih banyak menggunakan teknik mengilat (casting) sahaja daripada menunda (trolling).

Ikan banyak

Saya menggunakan joran Drankcrazy Black Serpent PE3-5. Lontaran pertama di tunggul-tunggul kayu yang kelihatan ketika air surut menggunakan gewang selaman dalam Verdive 100 terus disambut kasar seekor black bass berskala 30lb. Dengan menggunakan tali utama 100lb disambung dengan perambut fluorocarbon 150lb, saya berjaya menaikkan ikan dengan mudah.

Kemudian, lontaran gewang oleh Dennis melepasi kayu hanyut diragut kasar, dia tidak sempat mengetatkan drag membuatkan ikan berjaya meloloskan diri. Namun, itu bukanlah satu kekesalan kerana ada banyak lagi peluang yang terbuka memandangkan populasi black bass di sini sememangnya amat banyak.

Puas dan menyeronokkan apabila kami dapat melayan black bass berskala lima hingga 10 kilogram (kg) sebelum Dennis membuat keputusan untuk naik jauh ke hulu mencari black bass bersaiz lebih gadang.

Perjalanan ke hulu mengambil masa lebih kurang dua jam dan saiz sungai semakin mengecil menyukarkan bot untuk pergi lebih jauh. Hairan, lontaran demi lontaran gewang tidak bersahut. Lokasi di hulu ini seakan tidak berpenghuni.

Dari gewang selaman dalam ke topwater, tetap tiada yang sudi. Dalam perjalanan pulang ke mother boat, saya terpandang satu olakan air di bawah pokok bakau yang berselirat, terus saya memaksa tekong agar segera berhenti.

Bot dengan perlahan menghampiri, lantas saya terus melontar gewang selaman dalam ke pangkal akar bakau, satu henjutan kuat terus meragut gewang Verdive 100 dan ikan terus membenam masuk ke dalam akar bakau.

Namun, dengan pantas tekong memecut bot jauh dari struktur agar saya dapat menghalang ikan daripada masuk lebih dalam lagi.
Ikan berjaya ditahan dan tidak lama kemudian black bass tersebut berjaya dinaikkan. Setelah ditimbang ia seberat 45lb (20kg) di ukuran boga grip.

Hari terakhir

Hari terakhir saya di Tanjung Nariki banyak dihabiskan dengan bergaul dengan penduduk tempatan.
Apabila mendengar sendiri kisah kehidupan dan kesusahan hidup mereka yang jauh daripada tamadun manusia moden membuatkan saya insaf serta bersyukur dilahirkan di bumi bertuah Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN