Perang Ukraine telah berlanjutan selama tiga tahun. Menjelang peperangan dahsyat melibatkan Russia selaku kuasa besar dunia dan Kyiv yang memiliki angkatan tentera kedua terkuat di Benua Eropah, Moscow telah menggerakkan lebih 100,000 askar dan kelengkapan perang lain ke sempadannya dengan Ukraine, pada Disember 2021.
Krisis tersebut berkaitan Donbas di mana Moscow menuduh Kyiv berlaku zalim dan menindas penduduk berketurunan Russia di rantau itu. Russia juga meletakkan syarat jaminan Ukraine tidak akan dibenarkan menyertai blok ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) diketuai Barat bagi mengelakkan perang tercetus.
Syarat tersebut adalah berdasarkan persetujuan beberapa dekad dahulu untuk NATO tidak meluaskan kuasanya ke timur Eropah sebagai pertukaran kepada pembubaran blok Kesatuan Soviet (USSR).
Presiden Russia, Vladimir Putin berulang kali berkata, beliau bukan sahaja melihat pemimpin-pemimpin Barat tidak menghormati persetujuan bersama itu tetapi ghairah meluaskan kuasa NATO hingga menghampiri ‘halaman belakang’ Russia.
Situasi itu tidak dapat diterima sama sekali oleh Putin, manakala risiko Ukraine menganggotai NATO dan Barat meletakkan misil strategik di negara jirannya adalah garisan merah buat Putin.
Usaha bagi meredakan krisis itu gagal apabila Putin tidak mendapat jaminan Kyiv tidak akan menyertai NATO. Sepanjang lebih dua tahun perang berlaku Barat khususnya, Amerika Syarikat (AS) menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan Kyiev kecuali peluru berpandu balistik dan nuklear. Perang tersebut ibarat perang NATO-Moscow di bumi Ukraine.
Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden menyalurkan pelbagai ‘bantuan’ termasuk ketenteraan, kewangan dan strategik lain bernilai AS$175 bilion (RM773.8 bilion), manakala ratusan bilion dolar lagi disalurkan oleh negara-negara NATO lain.
Washington di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden melakukan apa sahaja untuk membantu Kyiv, malah sehingga dianggap menganaktirikan rakyat sendiri ketika negeri-negerinya ditimpa malapetaka banjir dan kebakaran hutan.
Namun, perubahan 360 darjah berlaku sebaik tampuk pemerintahan AS bertukar tangan kepada Presiden Donald Trump. Trump yang merupakan ahli perniagaan tidak begitu gemarkan peperangan dan memiliki pendirian rakyat dan negara Amerika didahulukan.
Rupa-rupanya, bantuan ‘cek kosong’ yang dinikmati oleh Presiden Volodymyr Zelensky bukannya percuma atau lebih layak dilabelkan sebagai hutang atau pinjaman oleh Washington. Trump bukan sahaja menghentikan bantuan senjata kepada Kyiv tetapi meminta Zelensky menandatangani perjanjian menyerahkan separuh sumber galian negara kepada Washington yang dianggarkan bernilai AS$500 bilion (RM2.2 trilion) yang dianggap pemimpin Ukraine itu sebagai menjual kedaulatan negara.
Dalam perang ini Zelensky membuat kesilapan kerana bergantung kepada Barat khususnya Amerika Syarikat. Selain berhutang yang kelak terpaksa ditanggung oleh rakyat Ukraine sendiri, negara itu hilang lebih 11 peratus wilayahnya kepada Russia sejak perang meletus dan ratusan ribu nyawa rakyatnya.














