fbpx
Saranan awal adalah barisan exco FAM kena memastikan bakat anak-anak tempatan tidak terus tenggelam

Cabaran Exco baharu FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DEBARAN untuk melihat pucuk pimpinan revolusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya menemui titik noktah selepas berakhir Kongres Pemilihan FAM kali ke-61 yang berlangsung pada 15 Februari lepas.

Amanah yang diberikan kepada 17 individu berpengaruh tempatan itu bermula daripada posisi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) hingga ‘kerusi panas’ Presiden FAM sangat besar dalam misi memacu revolusi bola sepak kebangsaan.

Sudah pasti tempoh lima tahun dijangka mencabar buat semua pihak bagi memulihkan semula reputasi skuad Harimau Malaya.

Namun, semua tahu tugas untuk ‘mengemudi’ skuad Harimau Malaya kini sudah dipisahkan daripada FAM dengan unit khas telah dilantik bermula Januari lepas yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif dari Kanada, Rob Friend.

Justeru, menjadi persoalan penyokong bola sepak tanah air sekarang adalah apa tugas yang boleh diberikan oleh barisan Exco FAM bagi penggal 2025 hingga 2029 kali ini jika ‘tiada kuasa’ dalam skuad kebangsaan?

Antara saranan awal adalah Exco FAM kena memastikan bakat anak-anak tempatan tidak terus tenggelam ketika semua pihak mahu mencari pilihan alternatif dengan ‘rekrut’ pemain berdarah warisan atau naturalisasi dari luar negara.

Lambakan pemain import yang mewakili kelab Liga Malaysia (Liga M) ketika ini boleh dianggap sebagai salah satu faktor utama kenapa pemain tempatan tidak lagi menyerlah seperti yang diharapkan.

Selain itu, FAM juga boleh ‘campur tangan’ bagi memastikan kemeriahan saingan Liga M kembali dirasai selepas melalui fasa suram tanpa kehadiran ramai penyokong sejak beberapa bulan lepas.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim meletakkan harapan tinggi agar semua Exco FAM kali ini tidak ‘goyang kaki’.

Kata Zulakbal, pastinya tumpuan kali ini untuk melihat pembaharuan lain yang boleh dibuat oleh barisan Exco selain daripada menumpukan tugas buat skuad kebangsaan Harimau Malaya.

“Bagi skuad Harimau Malaya, saya rasa itu adalah sentuhan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim secara tidak rasmi dan tiada siapa boleh pertikai.

“Justeru, kita tunggu dan lihat apa perubahan baharu yang boleh dibuat barisan Exco FAM penggal kali ini.

“Kalau boleh, saya rasa peminat mahu mereka memberikan tumpuan penuh terhadap bola sepak dan kukuhkan semula asas yang dilihat agak goyah sebelum ini.

“Kita tengok barisan kepimpinan Exco kali ini turut diwakili oleh bekas pemain seperti Datuk Dollah Salleh serta Datuk Zainal Abidin Hassan dan pastinya mereka ada ilmu yang bakal diberikan kepada persatuan nanti.

“Perkara paling penting adalah memastikan pembangunan di peringkat akar umbi dan naikkan semula bakat-bakat tempatan.

“Kemudian, FAM kena bantu Liga Bola Sepak Malaysia selaku pengelola Liga M yang dilihat semakin hambar.

“Saya rasa mereka wajib kukuhkan Liga M kerana itu adalah cerminan bola sepak Malaysia,” katanya Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu.

Sementara itu, Zainal Abidin yang dilantik menjadi Exco baharu tidak menolak kemungkinan aspek teknikal di atas padang bakal diberikan tumpuan pada penggal kali ini bagi meningkatkan semula kualiti pemain muda tempatan.

“FAM memerlukan input praktikal dari mereka yang pernah berada di padang. Saya dan Dollah akan fokus pada pengukuhan akademi, liga belia, dan sistem sokongan untuk pemain tempatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN