SEBELUM ini, perkahwinan yang dibina oleh seorang wanita dikenali sebagai Syikin bersama suaminya cukup bahagia.
Kedua-duanya memiliki kerjaya yang baik dan mereka jarang berhadapan dengan masalah kewangan.
Malah, perkahwinan mereka selama hampir enam tahun itu diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata.
Namun begitu, Syikin menjelaskan, rumah tangganya menjadi berantakan selepas memasuki tahun ketujuh perkahwinan.
“Masalah rumah tangga saya timbul setelah suami saya terlibat dengan jual beli yang melibatkan tukaran mata wang asing.
“Disebabkan ingin jadi kaya, suami saya memilih untuk belajar berdagang dalam instrumen pelaburan tersebut,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an.
Syikin menjelaskan, pada mulanya, suaminya ada mendapat sedikit keuntungan daripada pelaburan tersebut.
Keuntungan itu menyebabkan suaminya ‘gelap mata’ dan ingin melabur lebih banyak bagi mendapat keuntungan besar.
Malah, semua wang simpanan suaminya dihabiskan untuk tujuan tersebut.
“Saya melihat suami mula ketagih dengan pelaburan itu dan banyak masa dihabiskan untuk tujuan tersebut.
“Malah, dia sanggup pergi ke kelas dan membayar yuran yang mahal semata-mata ingin belajar tentang pelaburan itu,” jelasnya.
Semakin hari, Syikin melihat suaminya kian taksub dengan pelaburan tersebut.
Malah, suaminya mula tidak menjalankan tanggungjawab dan perbelanjaan rumah banyak diselesaikan oleh Syikin.
Apabila Syikin bertanya tentang wang perbelanjaan rumah, suaminya akan mula marah.
Syikin menyedari suaminya seperti sedang berhadapan dengan masalah kewangan pada ketika itu.
“Bayaran kereta miliknya mula tertangguh. Selain itu, bayaran taska anak saya juga tidak dibayar dan saya terpaksa dahulukan duit sendiri.
“Malah, dia minta untuk meminjam wang dekat saya, dan berjanji akan membayar kembali apabila mendapat keuntungan daripada urus niaga.
“Saya meminjamkan wang saya kepadanya, tetapi dia langsung tidak bayar balik,” terangnya.
Tambahnya, dia juga mendapat tahu bahawa suaminya menggunakan separuh daripada duit gajinya setiap bulan untuk melabur.
Hal itu menyebabkan Syikin marah dan cuba menasihati suaminya supaya tidak lagi terlibat dengan pelaburan tukaran mata wang asing tersebut.
Bukan itu sahaja, Syikin juga tidak mengetahui bahawa suaminya turut mengajak ahli keluarganya melabur sama.
“Dalam diam, dia ajak abang dan kakak saya untuk melabur dalam pelaburan tersebut.
“Mereka bersetuju dan memberi wang kepadanya. Malah, dia berjanji akan memberi keuntungan kepada mereka.
“Namun, suami saya tidak dapat memberi pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan kepada mereka.
“Akhirnya, kakak saya menceritakan hal tersebut kepada saya,” ujarnya.
Syikin amat malu dengan tindakan suaminya itu.
Untuk menebus kesalahan, Syikin menggunakan wang simpanannya untuk membayar kembali duit yang suaminya ambil daripada abang dan kakaknya.
“Hal ini menyebabkan kami bergaduh besar. Saya beritahu suami, saya sudah cukup selesa dengan apa yang mereka ada ketika itu.
“Saya minta dia berubah dan kembali menjalani hidup seperti sebelum ini. Walaupun tidak kaya, tetapi kehidupan kami sangat bahagia.
“Apabila suami saya terlibat dalam pelaburan ini, emosi dia juga semakin tidak stabil.
“Apabila rugi, dia akan menjadi baran dan anak-anak turut dimarahinya,” jelas Syikin.
Nasihat yang disampaikan oleh Syikin langsung tidak diambil peduli oleh suaminya.
Malah, suaminya masih taksub dengan pelaburan tersebut dan mula melepaskan tanggungjawabnya di rumah.
Banyak perbelanjaan rumah dibayar dengan menggunakan wang Syikin.
“Sampai satu tahap saya hilang sabar. Kami bergaduh dan saya terus meminta cerai daripadanya.
“Ketika bergaduh, suami menjatuhkan talak kepada saya.
“Malah, dia siap berpesan supaya saya tidak datang mencarinya apabila dia kaya kelak,” ujarnya.
Akhirnya, Syikin dan suaminya sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.














