KUANTAN – Suami mangsa pembunuhan kejam mahu hukuman berat dikenakan ke atas suspek yang bertindak tanpa belas kasihan membunuh isterinya di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini Rabu lalu.
Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana kepantasan menangkap lelaki berusia 53 tahun yang disyaki terlibat dalam kes bunuh tersebut.
“Saya mendapat panggilan telefon daripada pihak polis pagi tadi (semalam) yang menyatakan suspek telah diberkas.
“Saya mahu tuntut keadilan dan hukuman setimpal serta berat mesti dikenakan terhadap suspek yang bertindak (membunuh) begitu kejam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.
Menurut Muhammad Afiq Akmal, suspek yang ditahan merupakan individu sama yang pernah bercakap dengannya sebelum ini sewaktu dia menemani arwah isterinya, Norshamira Zainal, 37, menghantar pesanan sambal ikan bilis garing baru-baru ini.
Lelaki itu sebelum ini dilaporkan berkata, dia tidak sangka suspek yang peramah dan nampak baik rupa-rupanya bertopengkan syaitan hingga sanggup membunuh isterinya.
Muhammad Afiq Akmal pernah bertemu suspek sebanyak dua kali dan lelaki itu juga pernah mempelawanya untuk belanja ikan bakar dan mengajak mencandat sotong.
Kosmo! semalam melaporkan seorang peniaga wanita ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati apabila menjadi mangsa pembunuhan kejam ketika melakukan penghantaran makanan.
Norshamira yang juga ibu anak satu dilaporkan hilang pada pukul 7.30 malam, Rabu lalu, manakala mayatnya dijumpai pada pukul 12.45 tengah hari keesokan harinya.
Pada hari kejadian, mangsa keluar menghantar sambal ikan bilis itu untuk pelanggannya yang juga suspek kes tersebut.
Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan suspek yang bersembunyi di rumah anak saudaranya di Wakaf Tembesu, Gong Badak Kuala Terengganu, Terengganu semalam.














