DUNIA fesyen sering memberi tumpuan kepada individu berbadan kecil dan sederhana sekali gus menyebabkan individu berbadan besar berasa terpinggir.
Koleksi-koleksi pakaian tradisional seperti baju kurung, kebaya dan baju Melayu di pasaran sering kali tidak mengambil kira keperluan kelompok tersebut.
Ini menyebabkan pilihan individu berbadan besar terhad dan tidak berpeluang untuk menggayakan rekaan-rekaan terbaharu pada pagi Aidilfitri.
Peka dengan luahan kelompok itu, sesetengah jenama fesyen mula mengambil langkah memperkenal dan menyemarakkan rangkaian fesyen sesuai golongan tersebut.
Misalnya, jenama Bulan Bintang buat pertama kalinya memperkenalkan koleksi inklusif sehingga 8XL bagi lelaki, manakala sehingga 5XL bagi wanita menerusi sebuah pertunjukan fesyen baru-baru ini.
Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi berkata, semakin ramai individu mencari pakaian raya dalam saiz besar yang selesa dan bergaya.
“Ramai individu berbadan besar menyuarakan hasrat untuk memakai rekaan kami, namun tawaran saiz yang terhad sebelum ini membuatkan keinginan mereka terbantut.
“Justeru, kami berusaha untuk menambah julat saiz koleksi kami sehingga 8XL untuk lelaki dan 5XL bagi wanita supaya dapat memenuhi permintaan tersebut,” katanya kepada CitaRasa.
Azzim yang lebih dikenali sebagai Meri ditemui selepas Pertunjukan Fesyen Bulan Bintang Sedekad Menyinar di KL Convention Center, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pertunjukan fesyen Bulan Bintang itu menampilkan koleksi raya ‘ready-to-wear’ (RTW) untuk seisi keluarga dengan menampilkan rekaan daripada saiz bayi sehingga 8XL.
Ini merangkumi baju Melayu pelbagai pilihan potongan berserta koleksi pakaian raya sedondon untuk wanita dan kanak-kanak dengan lebih 70 pilihan warna.
Bagi koleksi lelaki, rekaan kurta dan tradisional fit memiliki saiz sehingga 5XL, manakala koleksi baju melayu teluk belanga dan baju Melayu cekak musang (slim fit dan tailored fit) memiliki saiz sehingga 8XL.
Sementara 10 daripada 22 koleksi wanita memiliki pilihan saiz besar sehingga 5XL.
Tambah Azzim, pilihan koleksi tertentu itu dibuat kerana tidak semua rekaan sesuai untuk kelompok individu bersaiz besar terutama pada koleksi yang mengikut bentuk badan.
“Selepas kami ‘bereksperimen’ untuk keluarkan saiz besar sehingga 5XL tahun lepas, kami dapati terdapat beberapa koleksi yang tidak digemari oleh kelompok ini, contoh kebaya labuh.
“Kami juga menghadapi cabaran untuk mencari saiz matang kerana terdapat juga isu di mana pelanggan muat pada bahagian pinggang tapi tak muat pada bahagian lengan,” katanya.
Oleh itu, kajian pasaran dan maklum balas pelanggan digunakan pihaknya untuk memastikan saiz yang lebih realistik dan sesuai ditawarkan.
Biarpun begitu, rekaan pakaian terpilih tersebut tidak diubah suai sama ada dari segi fabrik atau jahitan bagi memastikan pelanggan bersaiz besar juga menikmati kualiti pakaian sama seperti pelanggan lain.
“Selepas peragaan, model-model bersaiz besar memuji keselesaan pada koleksi kali ini dan ia terpapar sewaktu mereka berada di atas pentas peragaan,” katanya.














