LUMRAH manusia mudah terpengaruh apatah lagi jika sesuatu perkara itu membabitkan figura sanjungan ramai.
Tidak hairanlah mengapa puak scammer atau si manipulator cenderung mengeksploitasi anak seni kerana golongan ini ada pengikut yang ramai dan berpengaruh.
Hakikatnya, kes mempergunakan artis bukan perkara baharu kerana sudah banyak kali berlaku. Pada 2020 misalnya, sindikat Macau Scam menggunakan populariti ramai anak seni untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.
Terbaharu, kita dikejutkan dengan kisah tiga figura terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan, Ziana Zain dan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor terheret siasatan kes rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gara-gara menjadi duta sebuah syarikat perunding kewangan.
Penulis berharap insiden ini dapat membuka mata selebriti untuk lebih berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran khususnya apabila membabitkan jumlah luar biasa dengan menyiasat latar belakang syarikat.
Pendekatan ini penting bagi mengelakkan mereka dipergunakan individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan menyalahi undang-undang.
Perlu diingat scammer memang licik, mereka sanggup buat apa sahaja demi meraih keuntungan besar termasuk menggula-gulakan mangsa dengan pelbagai tawaran hebat.
Justeru itu, jangan mudah gelap mata apabila disua bayaran ratusan ribu ringgit. Selidik habis-habisan sebelum bersetuju menjadi duta atau menerima sebarang tajaan bagi mengelakkan masalah timbul kemudian hari.
Secara peribadi penulis bersetuju dengan saranan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez agar artis tidak terburu-buru menandatangani kontrak dengan syarikat yang menawarkan tajaan atau pelantikan sebagai duta sebaliknya dapatkan bantuan khidmat profesional terlebih dahulu jika membabitkan soal kewangan dan perundangan.
Ini kerana, penting untuk artis memahami kontrak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Jangan main hentam kromo turunkan tanda tangan tanpa mengkaji implikasinya jika anda tidak tahu baca kontrak.
Jangan pandang enteng perkara ini, selaku selebriti anda galas tanggungjawab yang besar apabila menjadi wajah syarikat. Tersilap pilih, banyak masalah menyusul malah tidak mustahil anda akan dipersalahkan kerana menyebabkan ramai mengalami kerugian. Lebih parah, jika anda terpaksa mengadap polis atau SPRM. Sedikit sebanyak imej pasti tercalar dan buat orang hilang kepercayaan terhadap anda.
Tidak dinafikan selain kerja hakiki sebagai pelakon mahupun penyanyi, menjadi duta atau menerima tajaan juga merupakan sumber pendapatan anak seni. Bayaran yang ditawarkan sebagai duta memang lumayan, namun ada eloknya selidik dahulu dan buatlah pertimbangan sebaik-baiknya. Sudah banyak contoh kita lihat sebelum ini, jadikanlah iktibar untuk elakkan anda berada dalam situasi serupa.
Diharap selepas ini tiada lagi kisah artis bekerjasama dengan ‘scammer’, kita sudah berada di tahun 2025 moga makin ‘celik’ dan tidak mudah tertipu.














