Bukan mudah memikul tanggungjawab sebagai individu yang bergelar pempengaruh (influencer) yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat .
Apa sahaja yang dilakukan pasti menjadi perhatian serta ikutan, malah tidak kurang juga yang sentiasa bersedia membuat kritikan secara terbuka terhadap golongan ini yang sering memaparkan kehidupan yang berjaya dan bahagia.
Jadi tidak hairanlah ramai yang beranggapan terutamanya golongan belia, kerjaya sebagai seorang pempengaruh adalah jalan pintas untuk menjana pendapatan tinggi, hidup mewah dan popular.
Namun dengan jumlah pengikut yang ramai dan segala populariti yang diraih, tidak ramai yang tahu jerih perih di sebalik keindahan dan kejayaan yang dipaparkan.
Wartawan Kosmo! Ahad, Marlia Zakaria menemu bual Peguamcara dan Peguambela yang juga pempengaruh terkenal, Nor Zabetha Muhamad Nor dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co bagi mengupas isu ini.
KOSMO!: Apakah faktor utama yang mendorong anda untuk membina kerjaya seorang peguam pempengaruh?
NOR ZABETHA: Dulu saya selalu pandang kerjaya peguam menyeronokkan dan ‘ada gaya’ lebih-lebih lagi dengan cara mereka bercakap dan bawa diri.
Saya berazam untuk menjadi peguam sejak kecil. Jadi, bermula dari saat itu saya dah tetapkan minda serta mula berusaha ke arah itu, sebab saya seorang yang berazam kuat dan tidak mudah berputus asa.
Jadi saya kaji laluannya, apa pilihan subjek-subjek utama yang perlu saya ambil dan fokus ketika Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Apa yang saya boleh katakan, zaman sekarang yang kita kekurangan mindset (pemikiran).
Cita-cita dulu tak sama macam sekarang yang biasa kita dengar seperti peguam, polis, guru dan doktor. Sekarang ramai yang bercita-cita mahu jadi pencipta kandungan, influencer dan sebagainya.
Saya suka mengajar sejak zaman belajar. Kalau yang tak ada duit, saya ajar secara percuma. Apabila kita mengajar sebenarnya kita menjelaskan sebab itu saya suka berkongsi ilmu di media sosial tentang sesuatu perkara atau isu semasa.
Kuncinya adalah seperti kenyataan Albert Einstein, ‘jika anda belajar sesuatu ilmu, namun tidak dapat menerangkannya dengan mudah, anda tidak memahaminya dengan baik.’

Apakah perkara yang perlu ada dalam diri belia yang ingin menceburkan diri sebagai pempengaruh?
Apa yang boleh disampaikan kepada anak-anak muda, sebenarnya perkara yang sangat ‘mahal’ adalah pengalaman dan guru.
Kalau saya dapat putar kembali masa, saya mahu dapatkan seorang guru atau mentor dengan pengalaman yang lebih banyak sebab perjalanan saya ke tahap ini pasti akan menjadi lebih mudah.
Asasnya kalau kita ada mentor dan guru, kita ada beberapa peringkat tertentu yang boleh ‘membina’ diri kita dengan lebih baik.
Adakah pendidikan penting untuk menjadi seorang pempengaruh yang berjaya?
Bagi saya, orang yang berpendidikan ini bukanlah mereka yang memiliki banyak sijil, ijazah dan sebagainya. Golongan yang rajin membaca juga adalah golongan berpendidikan kerana melalui pelbagai pembacaan, mereka akan dapat banyak ilmu dan pengetahuan.
Namun pada masa sama, netizen dan para pengikut golongan pempengaruh juga perlu ada ilmu. Apabila kita ada ilmu, anda akan lebih bijak membezakan antara perkara yang baik atau buruk.
Media sosial sering memaparkan sisi terbaik kehidupan seseorang terutamanya mereka yang bergelar pempengaruh. Apa pandangan anda tentang realiti tidak seindah di sebalik apa yang dipaparkan?
Ada pempengaruh dalam kategori ‘penagih kemasyhuran’ menjadi kaya-raya dan berjaya meraih pendapatan tinggi setiap hari.
Dibimbangi golongan muda yang sering melihat kandungan sedemikian berhasrat untuk menjadi seperti mereka yang beranggapan mampu menjana banyak wang dengan cara mudah.
Apa ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pempengaruh ketika menyampaikan sesuatu kandungan?
Kena faham apa tujuan sebenar ketika kita mahu sampaikan sesuatu. Contohnya apabila berucap, tujuan kita mahu orang dengar dan faham, bukan ingin tunjukkan kebijaksanaan kita.
Kerana itu di sosial media saya gunakan Bahasa Melayu sebab saya mahu semua audiens saya faham tentang apa yang cuba disampaikan.
Kenal pasti motif penulisan kita itu sebenarnya apa, untuk diri sendiri atau orang lain. Motif penulisan saya ialah untuk sampaikan kepada masyarakat sebab itu saya guna laras bahasa yang mudah difahami semua peringkat umur dan latar belakang.
Apakah cabaran terbesar yang terpaksa puan hadapi ketika awal perjalanan sebagai seorang peguam dan influencer?
Perjalanan saya ke tahap ini sebagai peguam pempengaruh tidaklah mudah. Saya sangat berdikari sejak dahulu dan kuat semangat kerana itu salah satu karakter yang Allah beri kepada saya.
Saya bukan berasal daripada keluarga senang, dan itulah yang menjadi salah satu motivasi untuk saya mendapatkan kehidupan lebih baik. Apabila saya terfikir untuk mendapat atau melakukan sesuatu, saya akan ikut laluan itu untuk jadikannya kenyataan.
Apabila jadi peguam, saya mahu keadaan yang lebih baik daripada itu. Oleh itu saya rasa kena jadi ahli perniagaan juga untuk mencapai cita-cita itu. Rentetan itu, saya jadi peguam dan memiliki perniagaan sendiri dengan menubuhkan firma guaman ketika berumur 27 tahun.
Peranan sebagai pempengaruh pula datang kemudian. Saya bermula lewat iaitu sekitar umur 30 tahun. Sejak itu saya membina nama di media sosial dengan konsisten berkongsi ilmu dimiliki dan yang relevan dengan masyarakat.
Kenapa agak lewat mula sebagai pempengaruh?
Pernah saya tertanya juga kenapa saya mula agak lewat sebagai pempengaruh, tetapi apabila difikir kembali mungkin Allah nak lindung saya ketika itu.
Sebabnya saya perhatikan, belia sekarang yang menggunakan media sosial ketika umur masih muda, cenderung untuk melakukan kesilapan.
Apa yang dimuat naik di dalam talian biasanya akan kekal di situ dan orang akan ‘simpan’ video yang kita hasilkan.
Katakan, pencipta kandungan itu berubah menjadi seseorang yang dihormati seiring waktu pasti ada pihak yang akan ‘keluarkan’ kembali video terbabit dan mempersoalkan kembali tindakan kita ketika itu.
Sebab itu pada saya, ada hikmahnya saya bermula lambat sebagai pempengaruh seiring kematangan.
Apakah rahsia kejayaan dalam bidang guaman dan pempengaruh?
Saya tidak mampu melakukannya seorang diri sebab itu saya perlukan orang-orang di sekeliling saya yang setia dan boleh dipercayai. Sama seperti Kak Geetha atau nama sebenarnya Chinnapalani Devi yang merupakan rakan kongsi saya.
Itulah asal usul maksud Chinna di belakang nama firma kami iaitu Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co. Dialah yang banyak memberi tunjuk ajar ketika saya dalam proses hendak menjadi peguam dan menjadi pelatih dalam kamar dahulu.
Beliau pada masa itu telah beberapa tahun jadi peguam, bekerja di firma yang sama. Beliaulah yang banyak memberi tunjuk ajar. Lembut orangnya dan tidak lokek ilmu. Selepas beberapa tahun, saya buka firma guaman dan saya ajak beliau menjadi rakan kongsi. Sangat senang bekerjasama dengannya sehingga kini.
Apakah perkara yang paling mencabar apabila berdepan dengan netizen dan bagaimana cara mengawalnya?
Saya meraikan pendapat orang dan tidak akan bergaduh dengan sesiapa walaupun saya pernah dimaki ketika berkongsi pandangan.
Berdebat dengan netizen lebih mencabar berbanding berdebat di dalam mahkamah sebab itulah kalau netizen kecam dan sebagainya, saya abaikan serta akan berlalu pergi.
Kalau saya tulis sesuatu pendapat, ia adalah pendapat saya walaupun ada peguam lain juga yang tidak bersetuju dengan saya.
Selama 10 tahun menjadi pempengaruh, saya tidak pernah lagi terfikir untuk berundur. Saya tak akan putus asa disebabkan netizen sebab saya sangat suka sebarkan ilmu.
Mahu jadi pempengaruh kena konsisten tetapi kalau saya hilang sekejap, ia hanyalah disebabkan jadual kerja yang padat. Saya rasa bersemangat apabila ada orang yang menonton video saya.
Apakah prinsip yang menjadi pegangan dalam penyampaian kandungan bermanfaat, jujur dan berkualiti?
Sudah tentu ke mana-mana kita pergi ada orang yang tidak suka, mahu berada di tempat kita, dengki atau sayang. Yang sayang inilah menjadi motivasi kepada kita. Kalau ramai orang benci, sudah pasti saya tiada di sini.
Apabila memilih untuk menjadi pempengaruh, kita ada amanah sebab apa yang kita cakap atau buat pasti orang akan ikut.
Apa yang kita tulis jangan sesekali menipu sebab kalau kita berbuat demikian, pengikut akan ingat apa yang kita tulis selama ini.
Kalau dah ‘terkantoi’, ia akan merosakkan karier anda. Sebab tu apa yang saya tulis adalah sesuatu yang jujur sebab pada saya, ia adalah amanah.














