fbpx
Sebahagian kanak-kanak Orang Asli menjadikan pondok sebagai kelas belajar secara online di Segamat.

Jalan kaki 15 kilometer cari internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGAMAT – Rata-rata masyarakat Orang Asli terpaksa berdepan sesi pembelajaran yang penuh mencabar apabila menghadapi kekurangan dari segala segi sehingga ada yang terpaksa berjalan sejauh 15 kilometer untuk mendapatkan rangkaian internet.

Hakikat itu dihadapi oleh sekumpulan 20 pelajar Orang Asli dari Kampung Kemidak dan Kampung Selai, Bekok di sini yang terpaksa menumpang sebuah pondok di dalam kebun kelapa sawit bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mereka yang merupakan pelajar sekolah rendah, menengah dan pelajar universiti terpaksa keluar seawal pukul 6.30 pagi untuk berjalan kaki dan menaiki motosikal sejauh 15 kilometer ke Kampung Tamok kerana kawasan mereka tiada liputan internet.

Menurut salah seorang suri rumah, Murni Muda, 39, mereka berterima kasih kepada pemilik kebun kerana membenarkan kanak-kanak menumpang pondok di kebunnya sebagai kelas PdPR yang bermula kelmarin.

“Kami keluar seawal pukul 6.30 pagi untuk ke kebun sawit sama ada berjalan kaki atau menaiki motosikal.

“Saya tidak mahu dua anak saya di tahun satu dan tahun enam ketinggalan. Anak-anak jadi harapan untuk orang susah macam saya dan saya tidak mahu mereka tercicir,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, keadaan itu bukan sesuatu yang baharu, malah ia telah bermula pada tahun lalu dengan menjadikan pondok itu sebagai sekolah mereka.

Menurut Murni, pondok itu kecil dan hanya mampu menampung lima hingga lapan murid pada satu-satu masa.

“Sebelum ini rangkaian te­lefon agak baik, namun sejak awal tahun lalu mengalami masalah gangguan sehingga tak ada langsung,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bekok, Eqbal Da­niel Edy Putera, 12, mengakui berdepan kesukaran mengikuti pembelajaran online.

“Dengan tak ada kipas, ­nyamuk serta kadang-kadang itu ada binatang liar lalu dekat kami berkumpul,” katanya.

NORLAILI (berdiri) membantu anak-anak Orang Asli mengikuti PdPR di dalam khemah kanvas di Kampung Orang Asli Langkap, Kuala Pilah semalam.

Sementara itu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, masalah sama turut dihadapi oleh 70 pelajar dari Kampung Orang Asli Langkap, Tanjung Ipoh.

Tinjauan mendapati ­ketia­daan komputer riba, telefon pintar untuk tujuan pembelajaran serta kelemahan kemudahan internet menjadi punca utama yang menghalang mereka untuk mengikuti proses pembelajaran secara online.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kampung Langkap, Yatim Longchong, 47, berkata, lebih bermasalah apabila rata-rata ibu bapa dan penjaga murid-murid tersebut juga tidak mempunyai asas pendidikan yang baik sekali gus tidak banyak dapat membantu mengajar anak-anak mereka.

“Kebanyakan pelajar Orang Asli di sini tidak mempunyai kemudahan seperti komputer riba dan telefon pintar. Gangguan internet juga menyebabkan mereka tercicir dan ibu bapa mereka pula tiada asas pendidikan untuk mengajar.

“Sebelum ini guru-guru yang membantu dengan menghantar kerja-kerja sekolah kepada anak orang Asli di sini, kemudian murid terpaksa menyalin satu persatu kerja yang diberikan,” katanya.

YATIM dan anaknya, Yazer Sofian cuba mencari isyarat internet di Kampung Orang Asli Langkap, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah semalam.

Sementara itu, seorang bapa, Othman Awai, 48, memaklumkan, dia risau mengenai anaknya yang berusia lapan tahun yang sudah banyak ketinggalan selepas pelaksanaan PKP Mac tahun lalu.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat mewujudkan sebuah balai raya dilengkapi dengan kemudahan internet dan komputer riba untuk memastikan anak-anak orang Asli tidak tercicir,” katanya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Norlaili Arifin, 40, secara sukarela mengajar murid Orang Asli di dalam sebuah khemah kanvas di kampung itu.

“Saya risau tentang pelajaran anak-anak di kampung ini lebih-lebih lagi mereka tidak boleh ke sekolah.

“Walaupun tidak selesa, saya lihat anak-anak ini bersema­ngat untuk belajar dan mengikuti arahan daripada guru-guru melalui Whatsapp dan Te­legram,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN