Apakah persamaan solat asar, qiamullail dan ibadah pada bulan Syaaban?
Mungkin ramai yang tidak terfikir persamaannya, tetapi jika diperhalusi ketiga-tiganya disandarkan keistimewaannya kerana ‘waktu yang sering dilalaikan atau dilupakan manusia’.
Pendek kata, di situlah kunci Allah menilai siapa dalam kalangan hambaNya yang paling mencintaiNya di saat rata-rata yang lain lupa atau leka.
Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 238, peliharalah solat lima waktu terutama solat wusto (pertengahan) yakni asar (kerana kelaziman waktu kritikal manusia paling sibuk) dan Allah juga mencintai bahkan bangga dengan hambaNya yang bangun sepertiga malam demi mengingatiNya ketika yang lain masih lena.
Syaaban pula dilabel ‘bulan yang dilupakan manusia’ oleh Rasulullah SAW dan baginda, sebaliknya mengejar cinta Allah dengan memperbanyak amalan ibadah di bulan tersebut lebih daripada bulan-bulan lain.
Dikatakan selain Ramadan yang diwajibkan berpuasa sebulan, Syaaban adalah bulan Rasulullah paling banyak berpuasa.
Tanpa sedar lagi 27 hari lagi kita akan berpuasa di bulan Ramadan. Namun, sebelum kita ‘menyeberang’ ke Ramadan, Syaaban yang sedang kita titi ini juga tidak kurang istimewa.
Usamah Ibn Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Syaaban?” Rasulullah menjawab:
“Syaaban adalah bulan yang terletak antara Rejab dan Ramadan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Tuhan semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Al-Hadith Siri ke-52 berkata, hadis ini menunjukkan bahawa Nabi SAW lebih gemar amalannya diangkat ketika baginda SAW dalam keadaan berpuasa.
Tambahan pula, bulan Syaaban adalah bulan yang sering manusia lalai disebabkan bulan ini terletak antara dua bulan mulia iaitu Ramadan dan Rejab.
Hadis ini juga menunjukkan kita digalakkan untuk beramal dan melakukan ketaatan pada waktu manusia sedang lalai. Ini kerana, perbuatan ini amat disukai dan dikasihi oleh Allah SWT.
Syaaban merupakan bulan ke-8 di dalam takwim Hijrah. Syaaban juga dikenali sebagai bulan ‘penyimpangan’ atau ‘berpecah’, kerana kaum purba Arab akan berpecah untuk mencari sumber air di padang pasir bagi ketibaan bulan yang seterusnya (Ramadan ialah bulan yang panas).
Di dalam bulan Syaaban juga terdapat malam istimewa, Nisfu Syaaban. Sabda Rasulullah SAW Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik dan yang bermusuh (benci-membenci).
Kebetulan Nisfu Syaaban nanti dijangka berlangsung pada 14 Februari yang juga sering disambut orang sebagai Hari Kekasih.
Daripada menyambut Hari Kekasih lebih baik hari itu kita manfaatkan untuk ‘berkasih-kasih’ dengan Allah Taala dengan memperbanyak amalan.














