fbpx
AZREENA bergambat di depan rumah kelawar ketika ditemui media di UKM, Bangi baru-baru ini.

K2

UKM bina rumah kelawar pertama di benua Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUAH rumah kecil yang terletak di pekarangan Istana Puteri Bongsu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor mungkin kelihatan seperti binaan rumah biasa secara umumnya.

Namun, jika kita melangkah kaki masuk ke dalam rumah tersebut akan kelihatan banyak kelawar yang tergantung pada atap rumah tersebut.

Rumah tersebut memang dibina khas oleh UKM untuk haiwan tersebut dan ia turut dikenali sebagai rumah kelawar.

Malah, UKM sendiri telah mencipta satu sejarah sebagai sebuah institusi yang membina rumah kelawar yang pertama di Asia.

Rumah kelawar itu telah direka bentuk oleh Dr. Azreena Abu Bakar dari Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB).

Menurut Azreena, rumah tersebut dibina untuk tujuan mitigasi kelawar spesies cecadu pisang bagi memelihara populasinya.

Jelasnya, ia dibina rentetan daripada projek pemuliharaan Istana Puteri Bongsu di mana populasi kelawar yang banyak di dalam istana itu menyukarkan kerja pembersihan.

“Oleh itu, satu inisiatif untuk membina rumah kelawar telah diambil kerana kita menyedari bahawa haiwan ini memainkan peranan penting dalam ekosistem.

“Kelawar berperanan untuk pendebungaan, menyebarkan biji benih dan membantu mengawal populasi serangga,” katanya.

Terang Azreena, rumah kelawar itu dibina sebagai salah satu langkah mitigasi konflik manusia dan kelawar sekali gus memelihara populasi kelawar daripada terancam akibat konflik tersebut.

Pembinaan rumah kelawar itu juga dibangunkan dengan kerjasama Prof. Madya Dr. Norzalina Harun daripada Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Dr. Juliana Senawi dari Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM.

MENGULAS lanjut mengenai rumah kelawar tersebut, Azreena berkata, sebelum rumah kelawar dibina mereka mendapati haiwan itu banyak berada di dalam Istana Puteri Bongsu.

Ceritanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19, tidak banyak program berjalan di istana tersebut. Istana tersebut lazimnya digunakan bagi program-program warisan.

“Disebabkan istana ini tidak berpenghuni, kelawar masuk dan hinggap di dalamnya.

“Di kawasan sekitar istana ini memang banyak kelawar kerana banyak pokok buah dan kawasan ini menjadi habitatnya,” jelasnya pada sidang media rumah kelawar tersebut baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak dan Dekan FKAP Prof. Ir. Dr. Mohd. Syuhaimi Ab. Rahman.

Rumah kelawar itu dapat memelihara populasi kelawar cecadu pisang.

Namun, semasa proses membersihkan dan membaik pulih istana tersebut, mereka mula menyedari bahawa ada banyak kelawar selepas banyak najis dan ludah haiwan tersebut ditemui di dalam istana tersebut.

Oleh itu, mereka mengambil inisiatif untuk membina rumah kelawar dan memindahkan haiwan tersebut.

“Kami mengambil inisiatif untuk membina rumah kelawar di pekarangan Istana Puteri Bongsu dan memindahkannya keluar.

“Kami memindahkannya keluar dari istana tersebut kerana ada akta tidak membenarkan membunuh hidupan liar dan kelawar adalah salah satu daripadanya.

“Kelawar ini tidak boleh dibunuh dan rumah kelawar ini dibina sebagai satu penyelesaian untuk mengatasi masalah ini,” jelasnya.

Pada peringkat awal, kelawar dipindahkan dari istana ke rumah kelawar secara tangkap pindah.

Ini bertujuan untuk memperkenalkan kelawar dari istana dengan sarang baharu mereka.

Oleh itu, reka bentuk rumah kelawar ini mengambil pendekatan yang sama dengan reka bentuk bumbung di Istana Puteri Bongsu dalam usaha memujuk kelawar berpindah agar mereka tidak berasa asing apabila berpindah ke sarang baharu.

Azreena berkata, justeru bentuk dan bahan yang digunakan seperti atap singgora dan kayu cengal haruslah sama dengan tempat tinggal asal mereka.

“Namun begitu, terdapat penambahan dari segi ruang pada bumbung baharu rumah kelawar tersebut seperti terdapat ruang-ruang umpama bilik kerana kelawar ini mempunyai lima hingga enam betina tinggal bersama seekor jantan.

“Pembahagian ruang ini untuk mengelakkan pergaduhan di dalam keluarga kelawar tersebut,” ujarnya.

Jelasnya, penangkapan kelawar adalah bermula dengan memasang jaring di sekitar kawasan istana pada waktu petang kerana kelawar aktif serta keluar pada waktu senja dan mereka akan terperangkap pada jaring.

Kelawar yang ditangkap disapu dengan sejenis madu (pollen) pada beberapa bahagian badan dan kemudiannya akan dilepaskan di tempat baharu pada siang hari.

Tujuan pollen tersebut untuk menarik beberapa kelawar untuk hidup bersama di sarang baharu.

Terangnya lagi, disebabkan rumah kelawar itu perlu sama seperti Istana Puteri Bongsu, kayu yang digunakan mestilah kayu cenggal dan atapnya pula adalah atap singgora.

Atap singgora berasal dari Pattani, Thailand dan ia dihasilkan daripada tanah liat.

Atap ini digunakan secara meluas pada istana warisan Melayu pada zaman dahulu.

Azreena menjelaskan, bagi memastikan bahan yang digunakan adalah sama mereka turut mengujinya di makmal untuk mendapat pengesahan.

“Untuk memujuk kelawar ini pindah, jadi tempat baharu perlu sama seperti Istana Puteri Bongsu.

“Istana tersebut memang menggunakan kayu cengal dan atap singgora yang dihasilkan daripada tanah liat.

“Langkah ini diambil untuk memastikan kawanan kelawar itu tidak merasa asing apabila berpindah ke rumah baharu yang dibina dengan elemen hampir sama seperti tempat asalnya di istana,” jelasnya.

Malah, untuk spesies kelawar cecadu pisang ini, mengikut rekod, lebih 300 ekor kelawar dikesan di Istana Puteri Bongsu telah berpindah ke rumah khas itu.

Dalam pada itu katanya, kerja pembinaan rumah kelawar tersebut mengambil masa sekitar enam bulan untuk disiapkan.

Pembinaan rumah kelawar itu juga akan menjadi satu contoh kepada orang lain untuk membina rumah kelawar daripada perlu menghapuskannya.

Azreena menjelaskan, kelawar juga sebenarnya sebati dengan persekitaran alam Melayu.

Menurutnya, kita sering melihat kelawar di kampung-kampung.

“Habitat kelawar ini berada di kampung-kampung dan kita boleh lihat ia berada di bucu-bucu bumbung rumah.

“Kelawar ini memang mempunyai peranan dalam ekosistem iaitu mengawal serangga, menyebarkan pendebungaan dan biji benih dan ia juga mendatangkan kebaikan kepada persekitaran,” katanya.

Justeru kata Azreena, memandangkan hal demikian, perlu untuk kita memelihara populasi kelawar daripada terus pupus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN