PETALING JAYA – Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai negara yang lantang dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin, seiring dengan inisiatif membangunkan semula Gaza selepas pengumuman gencatan senjata.
Menurut Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Salawati Mat Basir, perubahan landskap politik di Timur Tengah kini menunjukkan usaha terselindung untuk menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah air mereka.
Katanya, ia termasuk cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar pelarian Palestin ditempatkan di Mesir dan Jordan.
“Kita melihat Arab Saudi masih berminat menormalkan hubungan dengan Israel, tetapi pelaburan besar mereka di AS tidak disalurkan untuk pembangunan semula Palestin.
“Ini membuktikan wujudnya strategi halus untuk mengeluarkan rakyat Palestin secara beransur-ansur,” katanya semalam.
Dalam aspek pemulihan Gaza, beliau berpandangan bahawa inisiatif kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang melibatkan Malaysia, Jepun dan Indonesia adalah langkah positif, tetapi keberkesanannya masih berdepan cabaran besar kerana Gaza kekal dalam cengkaman Israel.
“Usaha pembangunan ini sering menjadi kitaran bina dan runtuh akibat serangan Israel, tetapi hubungan diplomatik Malaysia dengan negara seperti Jepun dapat mempercepatkan pemulihan, terutama dari aspek kewangan,” katanya.
Mengulas mengenai peranan Malaysia dalam membantu Palestin, beliau menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara kecil dalam geopolitik antarabangsa tetapi tetap dihormati sebagai penyokong kuat Palestin.
“Malaysia bukan kuasa besar atau kuasa pertengahan, tetapi dikenali sebagai antara negara yang paling lantang menyokong Palestin. Usaha membina sekolah, hospital dan masjid di Gaza adalah kesinambungan daripada inisiatif yang telah lama dijalankan oleh badan bukan kerajaan dan kerajaan sendiri,” ujarnya.
Dalam konteks kepentingan nasional, Dr. Salawati menegaskan bahawa Malaysia tidak mengabaikan kebajikan rakyat sendiri, sebaliknya isu rasuah dan ketirisan dalam negara adalah faktor utama yang menyebabkan rakyat masih mengalami kesukaran ekonomi.
“Malaysia mempunyai dana yang mencukupi untuk membantu rakyatnya. Masalahnya adalah ketirisan akibat rasuah. Oleh itu, usaha kemanusiaan Malaysia dalam isu Palestin tidak sepatutnya dipersoalkan,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, usaha kerajaan membangunkan semula Gaza adalah sebahagian daripada strategi diplomasi Malaysia yang konsisten dalam menyokong perjuangan Palestin di peringkat global.
“Malaysia mempunyai keupayaan untuk menjadi pemimpin dalam diplomasi kemanusiaan. Dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang bersuara, diharapkan masyarakat antarabangsa membuka mata dan terus membantu memperjuangkan nasib rakyat Palestin,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha Malaysia dalam membangunkan Gaza bukan sekadar bantuan kemanusiaan semata-mata, namun ia satu bentuk komitmen untuk menjadikan Palestin sebuah negara yang aman, berdaulat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Menurut Dr. Noor Nirwandy, komitmen Malaysia dalam isu Palestin membuka lembaran baharu dalam diplomasi negara, terutama menjelang peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
“Malaysia tidak mempunyai masalah dengan AS dan mengekalkan hubungan dagangan yang baik. Namun, dalam isu tertentu seperti konflik Palestin-Israel, setiap negara berhak untuk mempunyai pendirian sendiri, sebagaimana AS dan negara lain mempertahankan kepentingan mereka,” katanya.
Kelmarin, Anwar memaklumkan pengumuman gencatan senjata di Gaza harus disusuli dengan perancangan pemulihan wilayah itu dan Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin.
















