fbpx
Yen Ting melihat antara hiasan tanglung yang sentiasa dicari di Pekan Gemencheh, Tampin semalam.

Jualan tanglung di kedai masih laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jualan tang­lung di kedai fizikal masih meriah dan mendapat perhatian ramai walaupun peniaga mengakui terpaksa bersaing dengan jualan dalam talian yang jauh lebih murah.

Sempena Tahun Baharu Cina, jualan tanglung masih mendapat tempat di hati pembeli sebagai perkara wajib yang perlu dibuat.

Di Tampin, Negeri Sembilan, seorang peniaga Chuan Yen Ting, 21, membantu ibu, Lee Lai Kuen, 52, dan bapa, Chuan Kok Kiong, 55, yang sudah berniaga perhiasan Tahun Baharu Cina itu kira-kira 17 tahun lalu.

Katanya, kebanyakan pembeli terdiri daripada individu yang sudah berusia kerana lebih menyukai membeli barangan secara terus di kedai berbanding dalam talian.

Kata Yen Ting, jualan tang­lung di kedainya serendah RM10 bagi tanglung bersaiz kecil serta menggunakan plastik, namun harga boleh mencecah RM110 jika saiz mencecah 100 sentimeter.

“Kebiasaannya, tanglung akan dibeli sepasang dan harga tang­lung bersaiz besar yang mahal menggunakan kain adalah bagi jualan dua tanglung bersaiz sama.

“Memang dari dulu lagi, kepercayaan benda yang baik datang secara berpasangan.

“Jadi, jarang yang beli sebiji sahaja. Malah, walaupun perhiasan raya ini tidak menjadi kemestian, sambutan setiap kali perayaan haruslah meriah serta mempamerkan kebudayaan masyarakat masing-masing,” katanya di Pekan Gemencheh.

Di Gua Musang, Kelantan pula, lebih 30 keluarga masyarakat Cina yang tinggal di Taman Wawasan di sini tidak kisah ber­belanja besar apabila memperuntukkan kos lebih RM2,000 hingga RM5,000 bagi membeli tanglung untuk digantung di halaman rumah sempena Tahun Baharu Cina.

Seorang penduduk, Lee Kar Fook, 63, berkata, tanglung di­nyalakan sewaktu perayaan Tahun Baharu Cina menjadi tradisi turun-temurun dan merupakan simbol masa depan yang lebih cerah.

Katanya, mereka akan memasang tanglung sejak dua minggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina sehinggalah perayaan Chap Goh Meh.

“Selain membeli pakaian dan makanan baharu, keluarga saya juga akan memperuntukkan le­bih RM2,000 bagi menyalakan tanglung di hadapan rumah.

“Saya telah memasang 30 tanglung pelbagai saiz. Walaupun berlaku kenaikan harga tang­lung tahun ini, namun keluarga saya tetap membelinya kerana tanglung memberi tuah kepada kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Foo Seng Long, 42, berkata, tanglung yang dipasang melambangkan tradisi budaya Cina serta simbol harapan, kebahagiaan dan kemakmuran.

Katanya, sempena kedata­ngan tahun ular mengikut Kalendar Qamari Cina, mereka berharap agar mendapat kesihatan yang baik, kemewahan, kegembiraan serta kebebasan hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN