KETIKA mencari aktiviti bercuti bersama keluarga sebagai kejutan buat isterinya di Malaysia, pemuda itu terlihat satu muat naik menarik di Facebook.
Selepas menghubungi penyedia khidmat aktiviti tersebut, dia kemudian merancang perjalanan ke Malaysia dan menjadikannya sebagai agenda pertama selepas tiba di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.
Menurut pemuda asal Singapura, Leon, ini merupakan kali pertama dia melakukan aktiviti terbang mengelilingi Kuala Lumpur menaiki pesawat ringan atau dikenali sebagai One Day Pilot.
“Saya memilih aktiviti ini sebagai kejutan buat isteri kerana ia sangat menarik dan pada masa sama memberi peluang buat pengunjung untuk duduk di kerusi pembantu juruterbang (co-pilot) sepanjang tempoh penerbangan.
“Ini merupakan kali pertama saya lakukan aktiviti seumpama ini meskipun sudah kerap ke luar negara, malah ahli keluarga lain juga tidak pernah melakukannya,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Old Cargo Complex, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor baru-baru ini.
Tambah bapa kepada seorang cahaya mata itu, isterinya, Jessie sangat teruja selepas mengetahui mereka akan terbang di sekitar Lembah Klang dengan pesawat kecil dan Leon juga memberi peluang kepadanya untuk menjadi co-pilot penerbangan.
Kongsinya, dia mengambil pakej selama 45 minit mengelilingi sekitar kawasan ibu kota Kuala Lumpur sehingga ke Batu Caves, sebelum kembali ke lokasi berlepas iaitu di landasan penerbangan berdekatan hangar Subang.

Menceritakan pengalaman terbang dengan pesawat kecil, Jessie, memberitahu ia merupakan satu pengalaman menarik yang tidak akan dilupakan.
“Sepanjang penerbangan saya teruja melihat keindahan bandar raya Kuala Lumpur melalui perjalanan di sekitar menara berkembar Kuala Lumpur (KLCC), Merdeka 118, Tun Razak Exchange, Batu Caves dan lain-lain.
“Cuaca juga sangat mengizinkan dan kami turut diberikan penerangan tentang pengendalian kapal terbang, kokpit serta serba sedikit lokasi menarik di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Katanya lagi, bukan sekadar pengalaman di atas awan, aktiviti One Day Pilot juga memberi mereka pengalaman di darat mengenakan pakaian juruterbang serta diberikan sijil penghargaan sebagai juruterbang sehari.
Aktiviti ‘pusing-pusing’ Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat kecil baru-baru ini menjadi hangat apabila seorang penduduk di Lembah Klang berkongsi videonya membuat kejutan untuk adik lelakinya.
Video yang dikongsikan oleh AlanShelby itu mendapat jutaan tontonan dengan 169,000 tanda suka dan ramai netizen teruja menyaksikannya.
Aktiviti bersiar menaiki pesawat kecil di sekitar ruang udara Kuala Lumpur merupakan salah satu tarikan pelancongan yang sebenarnya sudah lama bertapak di Malaysia.
Salah satu pihak yang menawarkan khidmat ini ialah Aero Vector Flying Club milik Turab Services bersama KL Hunter Sdn. Bhd. menerusi One Day Pilot yang sudah bermula sejak tahun 2006.
Menurut pegawai pemasaran One Day Pilot, Alice, aktiviti ini mula mendapat perhatian selepas kewujudan media sosial apabila ramai pengunjung berkongsi tentang pengalaman mereka di sana.
“Sejak mula diperkenalkan, ramai yang telah mencuba aktiviti ini dan kami mendapat pelanggan bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga luar.
“Kita bukan saja menawarkan pengalaman terbang tetapi pengalaman penuh mengikut permintaan pelanggan seperti kejutan hari jadi, lamaran dan sambutan Hari Kekasih,” kongsinya.
Katanya lagi, terdapat pelbagai pakej penerbangan yang ditawarkan bermula untuk durasi 30 minit hingga satu jam bermula pada harga RM1,199 ke atas.

Waktu penerbangan juga dilakukan pada waktu pagi dan ada kalanya ketika waktu senja jika cuaca mengizinkan.
Kekerapan penerbangan pula adalah sebanyak tiga kali sehari bergantung permintaan, keadaan kapal serta cuaca.
Bagi pesawat pula, juruterbang penerbangan One Day Pilot, Kapten Taha Hassan memberitahu, terdapat tiga jentera yang digunakan untuk perkhidmatan ini iaitu, Piper PA28, Cessna 172 dan Super Petrel LS.
Setiap penerbangan boleh memuatkan empat orang termasuk juruterbang dan akan mengelilingi ruang udara Kuala Lumpur pada ketinggian 300 meter hingga 1,500 meter dari paras laut.
“Kita ada empat pelan perjalanan iaitu R1, sekitar Kuala Lumpur dan R2 (Port Klang) untuk durasi 30 minit dan R3 (Kuala Lumpur) serta R4 (Port Klang) bagi 45 minit.
“Untuk durasi satu jam pula penerbangan akan meliputi kedua-dua kawasan dan pada masa sama untuk semua penerbangan seorang pelanggan akan menjadi pembantu juruterbang,” jelasnya.
Katanya lagi, untuk setiap penerbangan, setiap pelanggan akan diberikan taklimat keselamatan sebelum mereka berlepas ke udara.
Hassan memberitahu biasanya cabaran utama adalah cuaca.
Ia penting bagi mendapatkan pemandangan yang cantik kepada pelanggan di samping mengurangkan keadaan gelora di udara semasa penerbangan.
Selain itu, kondisi pesawat juga amat dititikberatkan kerana jika terdapat sebarang masalah teknikal, penerbangan terpaksa dibatalkan dan pelanggan boleh mengubah tarikh atau mendapatkan wang mereka semula.
“Cuaca menjadi cabaran utama kerana di Malaysia kita berdepan cuaca hujan yang boleh menghalang pemandangan pelanggan di udara.
“Namun begitu, jika cuaca cantik, pelanggan boleh melihat keindahan Kuala Lumpur dengan jelas,” ujarnya.
Seorang lelaki dari New Zealand dikenali sebagai Haidar yang mempunyai latar belakang bidang penerbangan juga menyifatkan pengalaman menaiki kapal terbang kecil di Malaysia amat menarik.
“Juruterbang juga sangat ramah dan tidak lokek berkongsi ilmu tentang senario penerbangan di Malaysia,” jelasnya.














