Walaupun ikan ini sudah lama berada di Malaysia, namun taburannya sangat terhad, hanya di sesetengah tempat di Cameron Highlands sahaja. Cuma baru-baru ini sahaja ada kedengaran spesies ikan ini dapat dipancing di kawasan tanah rendah iaitu di satu lombong di Tronoh, Perak. Mungkin ada orang yang melepaskannya di sana.
Hairan juga kerana spesies ini dikatakan hanya berasimilasi di kawasan berair sejuk seperti di Cameron Highlands, tetapi di kawasan panas ia boleh membiak pula, mungkin ia sudah dapat beradaptasi dengan baik di persekitaran tanah rendah.
Namun saya lebih berminat untuk mencari Largemouth Bass di tempat asalnya iaitu di Cameron Highlands. Semangat saya semakin membuak-buak lebih-lebih lagi salah seorang sahabat saya Zaizarul berjaya mendaratkan Largemouth Bass bersaiz gorgon, sepanjang 60 sentimeter (sm).
Melancong
Maka, satu perancangan dilakukan, bukan sahaja untuk memancing, malah mengambil kesempatan membawa keluarga melancong sekali.
Pertama sekali orang yang dipertanggungjawabkan adalah Sani. Beliau merupakan anak muda Cameron Highlands selaku pemegang ‘kunci’ untuk saya memperolehi trofi ikan dambaan Largemouth Bass ini.
Saya dari Ipoh hanya memakan masa sejam 15 minit dengan jarak 64 kilometer untuk sampai ke check point yang telah ditetapkan oleh Sani iaitu di stesen minyak BHP Blue Valley.
Setibanya di situ saya terus disambut oleh Sani dengan ramah. Keluarga saya pula telah disusunaturkan oleh dia untuk bersiar-siar di Tanah Rata bertemankan isterinya.
Lokasi Largemouth Bass
Niat saya bukannya hendak mencari ikan saiz besar, kecil pun tidak ada masalah kerana saya cuma nak dapatkan lesen Largemouth Bass.

Tanpa membuang masa kami meneruskan perjalanan ke lokasi tersembunyinya ikan target. Hanya seberang jalan dari check point untuk ke kawasan tasik tersebut. Ia terlindung dari kawasan longgokan sampah, anda pasti tidak percaya wujudnya padang pancing seluas mata memandang dengan bertemankan cuaca yang sejuk dan damai.
Awalnya saya agak terkesima, maklum sahaja pertama kali memancing dalam keadaan cuaca yang sejuk, dah rasa macam memancing di luar negara pula.
Menurut Sani, rekod 60sm yang didaratkan oleh Zaizarul tersebut adalah menggunakan gewang permukaan profil pencil dengan menaiki bot.
Kunjungan saya kali ini paras air agak tinggi disebabkan hujan kerap turun di sebelah petang dan saya pula hanya memancing dari tebing. Jadi kebarangkalian untuk mendapatkan ikan saiz kasar adalah amat rendah.
Sani mencadangkan menggunakan soft plastic saiz tiga inci ke bawah. Mengikut resam pemancing apa kata guide, itulah yang kita sepatutnya ikut dan guna.
Set pancing
Selalunya apabila melancong bersama keluarga, saya akan membawa joran jenis travel multi pieces 6-14lb untuk kekili mendatar (spinning). Ia menjimatkan ruang dalam kereta.
Joran tersebut digandingkan dengan kekili spinning saiz 2000 bersama tali sulam (braided) 15lb dan perambut (leader) 20lb, ia sudah cukup kuat untuk dipertaruhkan.
Balingan pertama saya dengan soft plastic berwarna hijau tidak mendapat apa-apa sambutan, begitu juga dengan Sani yang bertukar-tukar dari soft plastic ke gewang, tetap tiada apa-apa sambaran.
Kemudian saya mencuba teknik spinfly, cuma saya tidak menggunakan umpan pancing layang, tetapi saya tukarkannya kepada soft plastic, tepat sekali ialah stail Carolina rig.
Percubaan pertama saya dengan cara karauan laju (fast retrieve) gagal. Cara kedua dengan stail angkat dan jatuh (lift and drop) juga tidak membuahkan hasil. Ini membuntukan fikiran saya.
Akhirnya saya mencuba dengan hanya menyeret sahaja soft plastic di dasar dan ternyata ikan Largemouth Bass terliur dengan gaya tersebut.
Gembira bukan kepalang, ikan sasaran berjaya dinaikkan, walaupun tidak sebesar mana, ia cukup buat saya yang telah merancang melakukan dua perkara dalam satu masa, memancing dan bercuti bersama keluarga.
Lesen Largemouth Bass sudah saya dapat, hujan gerimis pula mula turun, rasa sejuk terus mencengkam hingga ke tulang, maka saya memutuskan untuk menamatkan sesi pancingan.














