fbpx
Pada usia 18 tahun, Ammar boleh berbangga apabila memiliki sebuah galeri jualan barangan antik di Pulau Pinang serta mempunyai kepakaran barangan antik. Gambar kanan besen cucian yang dijual Ammar yang memegang rekod dunia jualan bidaan termahal di dunia bagi kategori porselin Peranakan pada harga RM374,000.

Remaja Malaysia Ammar cetus fenomena di dunia dalam bidaan barangan antik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TATKALA mengambil keputusan untuk membeli sebuah kabinet antik yang ditemuinya daripada senarai barangan antik yang dijual oleh sebuah keluarga keturunan Peranakan, Ammar Syed Jamaludin, 18, secara tidak sengaja menemui sebuah besen cucian dari zaman lampau Cina Peranakan atau Baba Nyonya yang tersimpan di dalam kabinet berhias itu.

Sebaik sahaja melihat besen tersebut, Ammar terpegun dengan kecantikan dan keunikan besen porselin itu dek kerana motifnya yang rumit untuk dihasilkan.

“Corak pada bahagian tengah besen itu cukup jarang ditemui dan rumit untuk dihasilkan, sekali gus menjadikan saya tertarik kepadanya.

“Ia merupakan gabungan motif burung phoenix dan naga yang merupakan rekaan istimewa. Ia mungkin daripada kurun ke-19 atau kurun ke-20.

“Bahkan, bahagian tepi besen itu juga diukir dengan gaya khas porselin Peranakan yang dikenali sebagai ‘Chong Cai’, menjadikan saya lebih tertarik kepadanya,” kata Ammar kepada K-Remaja, jelas menunjukkan kepakaran pemuda belasan tahun itu dalam bidang barangan antik.

Ammar merupakan pemilik The Gallerist Company yang merupakan sebuah galeri menjual barangan antik di Pulau Pinang.

Galeri anak kelahiran Ipoh, Perak yang kini menetap di Pulau Pinang itu dipenuhi pelbagai barangan antik yang diperoleh dari pelbagai sumber dan dipamerkan serta dijual kepada mereka yang berkongsi minat sama.

Sambung Ammar, biarpun pada awalnya dia cuma mahu membeli kabinet itu sahaja, hatinya yang sudah terpaut pada besen mencuci itu menjadikan dia tidak berfikir panjang dan terus membeli kedua-dua barangan tersebut.

Kongsi Ammar, selepas berfikir panjang, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk menjual besen mencuci itu menerusi sebuah gedung bidaan di Singapura.

Namun, belum pun sempat sesi bidaan itu bermula, Ammar sudah pun menerima tawaran daripada seseorang untuk membeli besen tersebut pada harga SGD$20,000 (RM64,680).

Ammar bagaimanapun menolak tawaran tersebut. Pada 15 September tahun lalu, yang juga hari terakhir bagi sesi bidaan gedung tersebut, besen porselin itu terjual pada harga SGD$115,700 (RM374,000) sekali gus mencatat rekod dunia.

Satu pencapaian yang hebat, Ammar telah mencatat rekod dunia bagi harga bidaan tertinggi untuk kategori produk porselin Peranakan.

Terdahulu, rekod tersebut dicatat oleh ‘kamcheng’ yang merupakan sebuah periuk bertutup dijual pada harga SG$74,000 (RM243,600).

Angka jualan yang tinggi itu juga di luar jangkaan Ammar. Siapa sangka, satu item yang ditemuinya itu rupanya mempunyai nilai yang cukup tinggi.

Bahkan, dia juga mendapat tahu bahawa sebuah lagi besen sama kini ditempatkan di Muzium Peranakan Singapura, menandakan bahawa besen porselin itu cukup signifikan dalam budaya Peranakan.

Galeri barangan antik, The Gallerist Company terletak di George Town Pulau Pinang.

Bercerita tentang minat terhadap barangan antik, Ammar berkata, ia bermula sejak dirinya berusia 13 tahun, memandangkan Ammar sudah terdedah dengan barangan antik dan warisan keluarga sejak kecil.

“Ketika berusia lima atau enam tahun, saya sering mengikuti ibu ke Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur dan menghabiskan masa di perpustakaan kanak-kanak serta meneroka pelbagai pameran yang diadakan.

“Pengalaman ini seteruskan mencetuskan minat saya terhadap barangan seni, warisan dan budaya,” katanya.

Ketika berusia 13 tahun, Ammar menjadi semakin berminat dengan barangan antik, khususnya selepas kunjungannya ke Muzium Perak.

Di situ, dia menyedari bahawa banyak barangan yang dilihatnya itu juga terdapat di rumahnya sendiri, memandangkan ibu Ammar banyak membeli barangan antik sejak awal tahun 90-an.

“Saya menjadi semakin berminat dengan barangan ini, dan mula mengaitkan semua objek lama tersebut dengan sejarahnya,” katanya.

Kini, pada usia 18 tahun, Ammar boleh berbangga apabila dirinya memiliki sebuah galeri barangan antik serta mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam dunia barangan antik.
Anak muda itu mengasaskan galeri tersebut sejak tahun lalu.

Ammar menyifatkan dirinya sebagai bertuah kerana banyak belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang itu.

Biarpun masih muda, kebolehan Ammar dalam menilai barangan antik tidak pernah dipersoal oleh kliennya kerana mereka amat mempercayai kepakarannya dalam bidang berkenaan.

Bagi Ammar, biarpun dia sendiri banyak membuat penyelidikan berkenaan barangan antik, warisan dan seramik kuno, ia tidak dapat menggantikan pengalaman yang diperolehnya apabila terlibat sendiri sebagai pengedar barangan tersebut.

“Apabila terlibat sendiri dalam mengendalikan barangan ini, ia menjadikan saya lebih memahami mengapa ia dicipta dan juga kegunaannya.

“Bagi saya, gabungan pengetahuan teori dan pengalaman di lapangan merupakan perkara penting yang membentuk kepakaran saya dalam bidang ini,” katanya yang merancang menyambung pengajian berupa kursus pendek di luar negara dalam bidang Sejarah dan Seni Halus.

Bercerita tentang barangan antik yang disukainya, Ammar memberitahu sebelum ini, dia amat tertarik dengan barangan antik Peranakan, memandangkan dia merupakan seorang berketurunan Jawi Peranakan.

Begitu pun, minatnya kemudian berkembang kepada barangan antik dari kolonial British dan Belanda, perabot Inggeris-India dan beberapa barangan bersejarah lain.

Ammar memberitahu bahawa antara perkara paling bernilai yang dipelajarinya sepanjang berkecimpung dalam dunia barangan ini adalah setiap barangan itu mempunyai nilai tersendiri.

“Nilainya juga bahkan akan berubah dengan drastik, bergantung kepada target audience anda.

“Oleh itu, bagi mereka yang mungkin berminat dalam bidang ini, kenali kumpulan sasar anda ambil tahu apa yang bernilai buat mereka, sebelum anda membuat tawaran kepada mereka,” katanya.

Ammar turut berkongsi bahawa barangan antik paling signifikan dalam inventorinya ketika ini merupakan beberapa biji barangan porselin yang dianggarkan bernilai enam angka.

Mengakhiri bicara, Ammar turut meninggalkan pesan buat anak muda yang mungkin berminat untuk menceburi bidang barangan antik, supaya sentiasa melakukannya berteraskan minat, diiringi dengan kesabaran.

“Pastikan anda bermula dengan sifat ingin tahu yang mendalam terhadap objek dan juga budaya yang anda kaji.

“Walaupun buku dan sumber akademik tiada nilainya, bagi saya, tiada apa yang dapat menggantikan pengalaman terlibat secara langsung dalam bidang ini.

“Selain itu, saya harap mereka di luar sana yang baru bermula untuk tidak berputus asa dalam meningkatkan kepakaran dalam bidang ini.

“Bagi saya, pembelajaran dan ilmu berkenaan barangan antik ini adalah satu proses sepanjang hayat. Setiap hari, ada saja perkara baharu yang akan anda pelajari.

“Ambil masa untuk melatih mata anda dan apa yang paling penting adalah biarkan minat peribadi anda menjadi petunjuk,” katanya penuh kematangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN