Dalam era digital berkembang pesat ketika ini, generasi muda di Malaysia perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran teknologi yang relevan dan profesional. Dunia pekerjaan masa kini tidak lagi hanya bergantung kepada kemahiran asas seperti komunikasi dan kesungguhan.
Sebaliknya, ia juga memerlukan keupayaan untuk menguasai teknologi canggih yang menjadi tulang belakang pelbagai industri moden.
Antara kemahiran utama yang perlu dikuasai adalah keupayaan menghasilkan grafik digital.
Kemahiran ini bukan sahaja penting untuk industri kreatif seperti reka bentuk grafik, pemasaran dan media sosial, tetapi untuk mempersembahkan data dengan lebih menarik dan efektif.
Penguasaan perisian seperti Adobe Photoshop, Illustrator dan Canva memberikan nilai tambah yang signifikan kepada individu dalam pasaran kerja.
Dalam sektor pembinaan, kefahaman tentang konsep Pemodelan Bangunan Bermaklumat (BIM) menjadi semakin penting.
BIM bukan sahaja membolehkan pemodelan tiga dimensi (3D) yang tepat, malah menyokong pelbagai fungsi kritikal seperti anggaran kos, analisis struktur, dan perancangan projek lebih efisien.
Penguasaan teknologi itu akan memberi kelebihan besar kepada graduan dan golongan profesional muda dalam industri pembinaan dan kejuruteraan, sekali gus membuka peluang kepada mereka menjadi pemimpin dalam projek berskala besar.
Selain itu, kemahiran dalam bahasa pengaturcaraan atau ‘programming’ seperti Python dan JavaScript kini menjadi asas dalam pelbagai sektor.

Bahasa pengaturcaraan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan laman web, aplikasi mudah alih dan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data dan Internet Pelbagai Benda (IoT).
Dalam era teknologi memacu inovasi di setiap bidang, individu yang menguasai pengaturcaraan berada di kedudukan terbaik untuk mencipta penyelesaian baharu dan relevan.
Institusi pendidikan dan kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan generasi muda memperoleh pendedahan awal terhadap teknologi itu.
Sekolah dan universiti disarankan untuk memperkenalkan modul khusus, kursus pendek berorientasikan teknologi, atau menjadikan subjek itu sebagai sebahagian daripada kurikulum wajib.
Syarikat, fakulti atau pakar bidang boleh menjalin kerjasama dengan pusat-pusat penyelidikan seperti Ungku Aziz Centre for Development Studies di Universiti Malaya untuk menyediakan program latihan, bimbingan profesional dan kursus pensijilan bagi mendidik generasi muda kemahiran praktikal diperlukan.
Sebagai generasi yang bakal memimpin masa depan negara, anak muda perlu melihat diri mereka bukan sekadar pengguna teknologi, malah pencipta inovatif dan profesional.
Penguasaan teknologi bukan sahaja membuka peluang kerjaya yang lebih luas, malah berperanan penting dalam membantu Malaysia menjadi sebuah negara yang kompetitif di peringkat global.
Oleh itu, setiap individu perlu bertindak sekarang. Langkah pertama mungkin bermula dengan menyertai kelas dalam talian, menghadiri bengkel atau mendapatkan pensijilan profesional dalam bidang teknologi diminati.
Pilihan berada di tangan anda. Majulah generasi muda dengan menguasai teknologi untuk membentuk masa depan lebih gemilang. Kini adalah masa untuk bertindak, jangan ketinggalan.














