KUALA LANGAT – “Dunia akhirat saya tidak akan maafkan mereka. Kami mahu kematian anak di taska itu dapat pembelaan sewajarnya.”
Itu tegas ibu kepada bayi lelaki empat bulan yang maut di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di sini pada 3 Januari lalu.
Sri Wahyuni Rahman, 28, berkata, dia terkilan dengan pengasuh yang menjaga Khairul Handzalah Sufi sehingga membawa maut.
“Kebiasaannya anak bongsu saya akan dihantar bersama anak sulung, Khairul Iskandar Saqeef, 4, pada awal pagi sekitar pukul 7.45 pagi sebelum suami pergi kerja.
“Tetapi masa kejadian, saya rasa macam nak luang masa lebih lama dengan arwah. Jadi minta izin suami untuk hantar anak sulung dahulu, kemudian lewat sedikit saya akan hantar adik pula.
“Lagipun hari itu saya tak kerja, saya juga ada urusan di bank, jadi dapat luang masa lama dengan Khairul Handzalah sebelum ke taska,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Menurutnya, pada pukul 9 pagi, dia menghantar bayinya itu dan pukul 3.27 petang pula, pengasuh menghubunginya maklumkan Khairul Handzalah sudah tidak bernafas.
Katanya, pengasuh menghantar anaknya ke klinik dan meminta mereka ke sana.
“Setiba di klinik, saya hanya mampu terduduk dan menangis melihat anak sudah tidak bergerak,” katanya.
Bapa Khairul Handzalah, Khairul Azwan Mohamed Daud, 33, berkata, dia cuba memanggil nama anaknya berulang kali dan pegang tangannya.
“Sebab biasanya, saya dengan isteri memang akan letak jari dan dia akan genggam jari kami. Jadi, saya pegang tangan dia, saya nampak mukanya pucat.
“Saya pandang mata dia, berharap akan ada pergerakan. Doktor pun sudah cuba beri bantuan pernafasan, tetapi pada mesin itu hanya tunjuk garis lurus,” katanya.
Katanya, mereka berharap tiada sebarang maklumat disembunyikan pihak taska ekoran kematian anaknya termasuklah menyerahkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kepada pihak polis.
“Sekarang saya serahkan kepada polis untuk mereka teruskan siasatan. Mungkin rakaman CCTV itu akan menunjukkan sesuatu,” katanya.














