KLUANG – Penduduk Kampung Melayu, di sini, kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang merosakkan sebahagian alat senaman di Laman Komuniti Kampung Melayu, di sini.
Keadaan itu menyebabkan orang ramai yang datang untuk beriadah terpaksa berhati-hati memilih alat senaman agar tidak memudaratkan mereka khususnya kanak-kanak.
Pengadu, Rohani Mohamad, 35, berkata, difahamkan laman ini ditutup sementara pada pertengahan tahun lalu sebelum dibuka untuk penggunaan umum pada hujung tahun.
Katanya, ketika kali pertama membawa anak-anak beriadah di Laman Komuniti itu semalam, mereka terkejut kerana terdapat alat senaman yang rosak selepas hanya beberapa bulan dibaik pulih sebelum ini.
“Dalam soal ini, siapa yang harus dipersalahkan kerana kerosakan itu dilihat bukan berpunca daripada vandalisme, namun lebih kepada kaedah pemasangannya.
“Antara peralatan senaman rosak adalah ostrich rider yang telah tercabut bahagian kakinya, manakala space walker longgar hingga bergesel dengan tiang penyokongnya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi pengadu, Roslan Ali, 45, berkata, semenjak kewujudan Laman Komuniti Kampung Melayu ini, sudah beberapa kali berlaku kerosakan pada alat senaman yang disediakan pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK).
“Untuk itu, kami mengharapkan apabila penggantian dilakukan nanti biarlah dilaksanakan dengan baik agar dapat bertahan lama selain tidak membazir kos pengurusan,” tambahnya.














