fbpx
Keadaan banjir di Kelantan pada November tahun lalu.

Bah beri kesan besar kepada alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANJIR yang melanda Kelantan pada hujung November dan awal Disember lalu mengakibatkan hampir 100,000 mangsa berpindah ke 290 buah pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketika itu, daerah Pasir Mas kekal menjadi kawasan paling teruk terjejas seperti tahun-tahun sebelum ini apabila seramai 29,370 mangsa berlindung di PPS, diikuti 16,717 mangsa di Tumpat.

Sebelum banjir melanda, ramai menjangkakan bencana pada hujung tahun lalu bakal menyamai atau lebih teruk daripada bah kuning pada 2014.

Jangkaan itu sering diperkatakan mengikut teori dan pengalaman mangsa banjir apabila mendapati bah besar akan melanda Kelantan setiap 10 tahun sekali bermula 1994, 2004 dan 2014.

Mengikut fakta yang tertulis pada Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai yang dibina di bandar Kuala Krai, banjir besar pernah berlaku di Kelantan pada 1926 dikenali bah merah, 1931, 1967, 1979, 2004 dan 2014 yang lebih terkenal dengan panggilan bah kuning.

Bagaimanapun, jangkaan banjir besar berlaku pada 2024 meleset apabila bah yang melanda Kelantan lebih kurang sama seperti musibah musim tengkujuh pada 2022 dan 2023.

Keadaan banjir ketika itu sedikit sebanyak melegakan seluruh rakyat Kelantan termasuk saya yang bertugas di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Berdasarkan pengalaman melihat keadaan bencana, situasi pasca banjir merupakan satu keadaan memeritkan yang perlu dihadapi oleh mangsa.

Mereka mengalami kerugian besar sehingga mencecah puluhan ribu ringgit akibat rumah ditenggelami air, malah terpaksa mengerah tenaga membersih rumah dengan lumpur dan selut yang tebal.

Mengulas mengenai situasi pasca banjir, Pensyarah Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Aweng Eh Rak berkata, bah yang melanda Kelantan setiap tahun memberi kesan besar kepada alam sekitar apabila banyak pencemaran dibawa arus banjir.

Katanya, air limpahan sungai akibat hujan lebat akan bercampur dengan air kotoran di kawasan pelupusan sampah dan industri sebelum ia dibawa ke penempatan penduduk.

“Apabila banjir surut, air yang bercampur dengan logam berat dari kawasan industri, pencemar fizikal dan kimia akan masuk ke kawasan sungai dan tempat takungan air.

“Apabila air banjir masuk ke Sungai Kelantan atau Sungai Golok, ia akan terawat secara semula jadi. Apa yang membimbangkan adalah apabila ia bertakung di dalam sungai, parit dan kawasan tadahan air tidak mengalir.

“Air di kawasan yang ‘stagnant’ (bertakung) akan mengambil masa lima hingga enam bulan untuk ia kembali terawat. Keadaan itu juga bergantung kepada pengudaraan di kawasan terlibat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Aweng memberitahu, kualiti air di kawasan yang bertakung selepas banjir biasanya akan menurun dan pengesahan Piawaian Kualiti Air Kebangsaan itu perlu diperiksa oleh pihak berkuasa.

Katanya, isu penurunan kualiti air dan pencemaran selepas banjir juga dibimbangi akan menjejaskan pengguna telaga tiub di Kelantan.

“Seperti yang kita tahu, kebanyakan rumah di Kelantan menggunakan telaga tiub yang mengambil air secara terus dari dalam tanah. Banjir yang melanda berkemungkinan akan memberi sedikit kesan kepada kualiti air telaga tiub mereka.

“Oleh itu, pengguna telaga tiub perlu menambah penapis air berkualiti agar tapisan dapat dibuat dengan tepat sekali gus mengelakkan bekalan air tercemar.

“Setakat ini, tiada kes melibatkan pencemaran air pasca banjir dilaporkan. Cuma, semua pihak perlu berjaga-jaga agar tidak berlaku perkara di luar jangkaan selepas musim banjir,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN