Keadaan air di estuari yang pelbagai di dalam satu bulan iaitu air besar, air kecil, air bani dan air mati juga boleh merubah hasil pancingan anda.
Selain itu, keadaan struktur di dalam air yang bereba banat dengan kayu dan batu yang dipenuhi teritip tajam juga antara sebab yang boleh membuatkan anda berputih mata walaupun ikan idaman sudahpun berada di tepi bot.
Itu belum masuk lagi limpahan air hujan atau banjir dari hulu yang menyebabkan air menjadi keruh dan kotor, lantas membuatkan kondisi pancingan menjadi sangat kurang efektif.
Masalah bot mundar-mandir di dalam estuari yang biasanya sempit turut mengganggu gugat ketenangan anda semasa leka memancing. Termasuklah yang merentang jaring di sana sini juga menjadi antara masalah utama.
Jadi, saya biasanya agak skeptikal apabila ada mendengar berita mengatakan trip pancing di estuari mereka selalu sukses. Hinggakan saya melihat sendiri hasil tangkapan ikan di Telaga Nenas, Air Tawar, Perak ini di media sosial.
Sungguh tidak diduga apabila melihat ikan siakap putih disusun beratur di atas bot seumpama pemancing menangkap ikan sebarau atau toman di tasik Kenyir pada satu masa dulu. Memang banyak dan ramai pula yang mengalami nasib baik yang sama.
Patutlah tempat ini digelar ‘Port Siakap Cendol’. Cendol itu istilah pemancing merujuk tangkapan ikan dengan banyak.
Tekong Along
Lantas satu trip diatur dan saya menggunakan perkhidmatan tekong Izwan Hafiezi Rosli atau dikenali di Facebook sebagai Udang Belanak, juga nama mesra dalam kalangan pemancing – Along.
Along telah menjalankan perkhidmatan membawa pemancing di sini secara sepenuh masa dalam tempoh enam bulan ini. Dua tahun sebelum itu, beliau selalu membawa rakan-rakan sehobi menyewa bot dan menjelajah lokasi pancingan di sini.
Botnya diparkir di jeti Gapis Aqua Game di Sungai Gapis di Telaga Nenas. Kebiasaannya beliau akan bertolak pagi hari lagi, lokasi yang akan ditujui adalah mengikut keadaan pasang surut sungai. Ada lokasi hanya sesuai ketika air surut, begitu juga sebaliknya, ada lokasi yang hanya sesuai ketika air pasang.
Sepertimana kawasan pancingan di estuari-estuari yang lain, waktu perubahan arus dari surut ke pasang dan pasang ke surut merupakan masa ikan paling aktif mencari makanan, jadi anda perlu cega akan perubahan arus tersebut untuk meningkatkan hasil tangkapan. Antara jajahan lokasi yang bakal diterjah tekong ialah di sekitar Telaga Nenas itu sendiri, sungai Changkat Keruing, Kampung Teluk, sungai Segari dan Kampung Setiawan.
Namun, semua tempat tersebut akan bergantung kepada potensi tangkapan berdasarkan rekod-rekod daripada pancingan beberapa hari sebelum trip, barulah tekong akan menjengah.
Kawasan siakap ‘cendol’ dikenali dalam kalangan masyarakat sekitar sebagai lokasi ‘Rumah Putih’, ‘Simpang Y’ dan hujung sungai Segari.
Pastinya, sampai sahaja waktu zuhur, tekong akan naik ke kampung Telaga Nenas untuk berehat, menunaikan solat dan makan tengah hari. Sesi pancingan akan bersambung hinggalah ke petang, balik ke jeti akan mengikut masa yang telah dijanjikan awal-awal sebelum trip.
Ultralight
Kebiasaannya setup alatan pancing untuk estuari adalah sederhana berat (medium heavy) ke berat (heavy) antara 8-17, 10-20 hingga 15-30 paun (lb). Itulah kesilapan saya ketika trip pertama kali saya ke sini. Saya bawa semuanya kategori medium heavy ke atas.
Rupa-rupanya di perairan ini pemancing biasanya lebih berani menggunakan setup ultralight seringan 6-12 malah ke 4-10lb sahaja. Jarang-jarang pemancing menggunakan setup seringan itu di mana-mana estuari pun.
Ini berikutan kawasan pancingan yang cetek tidak sampai dua meter di kala air surut, membolehkan penggunaan set pancing ultralight. Seperkara lagi saiz siakap yang ‘cendol’ tersebut adalah kecil, rata-rata dalam lingkungan bawah 500 gram (g) sahaja.
Namun, anda perlu bawa juga sekurang-kurangnya satu set kasar kerana ada lokasi yang memerlukannya, terutamanya di kawasan yang bersemak dengan reba yang padat atau di lokasi pancingan dasar yang diketahui dihuni ikan bersaiz kasar.
Teknik
Ada beberapa teknik yang boleh dipraktikkan di sini.
Pertama, mengilat gewang. Gewang pilihan ialah jenis minnow profil kurus dan panjang jenis terapung, saiz antara empat hingga sembilan sentimeter (sm). Minnow warna terang menyerlah seperti hijau, pink dan oren sesuai ketika cuaca cerah dan warna natural pula digunakan ketika cuaca redup, seperti waktu pagi dan lewat petang.
Kedua, menurut tekong, menariknya di sini, gewang topwater seperti pencil dan popper juga menjadi. Tetapi ada masa dan lokasi yang bersesuaian, terutamanya ketika air surut dan kedalaman lokasi pilihan tersebut dangkal antara dua hingga enam kaki dalam sahaja. Mungkin keadaan air yang tohor tersebut membuatkan siakap lebih awas akan pergerakan di permukaan air hasil kocakan gewang-gewang topwater itu.
Ketiga, mendengarkan info daripada Along, saya sudah memikirkan untuk mencuba pancing layang pula di sini, pasti ia bersesuaian. Set floating line wt. 6 serasa saya sudah memadai dengan umpan clouser, gurgler atau popper.
Keempat, soft plastic juga efektif terutamanya saiz bawah tiga inci dengan warna yang terang seperti hijau, chartreuse, oren dan pink. Ia boleh dipersembahkan dengan cara terus disematkan ke mata kail tanpa ladung (straight) atau jighead (ladung bermata kail) atau Texas rigging iaitu batu ladung hidup berbentuk kon sebelum mata kail.
Bagi kaki mengilat, sila datang ketika air mati kerana waktu bermain gewang lebih lama apabila perubahan masa surut dan pasang tidak begitu ketara.
Namun jika anda inginkan suasana siakap ‘cendol’, pilihlah ketika air besar. Waktu itu apabila air sudah surut, segala reba di tebing yang menjadi mahligainya akan kering terdedah membuatkan ikan akan berkampung di kawasan alur sungai yang dalam. Tetapi anda harus bersedia dengan susunan bot-bot pancing yang turut beratur di hotspot yang sama.
Kelima, umpan udang hidup boleh dimainkan secara baling tarik ke arah reba-reba atau dihanyutkan dengan pelampung atau direndam sebagai umpan untuk pancing dasar.
Penggunaan umpan udang hidup ini perlu mendapat saranan tekong, bilakah nak digunakan, teknik apakah yang hendak dipakai dan di manakah lokasi yang berpotensi untuk dilabuhkan. Udang hidup boleh disediakan oleh tekong atas tempahan awal sebelum trip.
Keenam, jigging juga berpotensi kerana ada lokasi-lokasinya yang bersesuaian, cuma di trip saya, kami tidak berjaya mendapatkan sebarang hasil, mungkin keadaan air yang tidak bersesuaian ketika itu dan kami mengujinya sekejap sahaja.
Ketujuh, hanya menunda (trolling) gewang sahaja masih belum pernah dicuba tekong, mungkin di trip yang akan datang saya akan bawa set trolling untuk menguji potensinya di sini.














