RAMAI daripada kita tentunya pernah berdepan situasi mahu menggunakan tandas awam yang disediakan di satu-satu premis, namun hasrat tersebut terbantut apabila melihat tandas awam itu berada dalam keadaan yang kotor dan menjijikkan.
Keadaan sebegitu pastinya menimbulkan rasa kurang senang, memandangkan ia menjejaskan urusan harian.
Bagi seorang gadis, Marissa Wong Wern Ching situasi itu merupakan sesuatu yang dirasakan cukup ‘relatable’ yang seterusnya menjadikan dirinya terpanggil untuk mula membuat ulasan berkenaan keadaan setiap tandas awam yang dikunjungi.
Siapa sangka, ulasan-ulasan tandas yang dimuat naik Marissa di media sosial begitu menarik perhatian ramai sehingga mendapat jumlah tontonan yang tinggi, sekali gus menjadikan dirinya dikenali.
Digelar orang sebagai ‘gadis tandas’ atau toilet girl, kisahnya turut menjadi buruan media-media.
“Saya barang kali content creator yang paling jijik di Malaysia dan mungkin juga di dunia” ungkapnya di salah satu foto Instagram miliknya.
Menerusi segmen ‘Berak with Marissa Wong, gadis berusia 20-an ini telah membuat ulasan atau review kira-kira 300 tandas awam di negara ini.
Berkongsi bagaimana idea untuk membuat ulasan tentang tandas awam timbul, Marissa memberitahu ia bermula selepas dia menggunakan satu tandas awam yang disifatkan sebagai tidak selesa.
“Pada mulanya, kandungan di media sosial saya adalah kandungan biasa iaitu tentang kehidupan saya.
“Namun, ketika sedang menggunakan satu tandas awam yang teruk, saya tersedar bahawa ramai yang memuat naik kandungan ulasan makanan, namun tiada sesiapa pun yang menghasilkan kandungan ulasan tandas, walhal ia juga sama penting atau lebih penting daripada ulasan makanan.
“Kesedaran itu mendorong saya untuk membuat ulasan tentang sesuatu yang lebih bermanfaat,” katanya K-Remaja.
Marissa mula memuat naik ulasan tandas pertamanya pada pertengahan tahun lalu.
Ia melibatkan tandas awam di seluruh negara membabitkan pelbagai jenis premis seperti pusat beli-belah, restoran, kafe, kolej, stesen minyak hingga dalam pesawat.
Kandungan itu seterusnya dimuat naik dalam akaun TikTok dan Instagram Marissa yang kini miliki lebih 150,000 pengikut.
Berkongsi tentang ulasan tandasnya, Marissa yang juga merupakan pengurus komunikasi sebuah syarikat swasta berkata, dia mulanya, menggunakan bahasa Inggeris untuk kandungan yang dimuat naik, namun menyedari bahawa ia tidak sampai kepada kumpulan sasar iaitu penduduk Malaysia, sebaliknya lebih banyak ditonton oleh pengguna media sosial dari Britain dan Amerika Syarikat.
“Sudah tentu saya mahukan video ini sampai kumpulan sasar yang betul, lalu saya mula menggunakan bahasa Melayu dalam kandungan saya, selain memasukkan unsur jenaka supaya lebih menarik dan menghiburkan.
“Ia menjadikan video sebegini lebih seronok untuk ditonton,” kata gadis berketurunan Cina itu yang akan meletakkan markah bagi setiap tandas yang dikunjungi pada penghujung video ulasannya.
Anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu berkata, tandas yang dipilihnya juga adalah secara rawak, bergantung kepada lokasi yang dikunjunginya.
Bagi kandungan dan ulasan untuk tandas lelaki pula, Marissa memberitahu bapanya akan membantu untuk merakam keadaan tandas, bagi menjadikan ulasannya lebih menyeluruh.
Marissa berkata, biarpun video yang dimuat naik di media sosial nampak menyeronokkan dan lucu, proses merekod keadaan sesebuah tandas juga datang dengan cabarannya tersendiri.
Antaranya termasuk keadaan tandas yang terlalu kotor dan teruk menjadikan adakalanya dia terpaksa menghentikan proses rakaman serta-merta.
“Saya pernah berdepan situasi yang mana tandas yang saya kunjungi itu berada dalam keadaan yang cukup teruk, sehingga saya tidak boleh meneruskan rakaman.
“Selain itu, saya juga pernah berdepan keadaan paip air pada tandas itu rosak, menyebabkan pakaian saya basah,” katanya.
Marissa menyifatkan tandas yang sempurna adalah tandas yang berfungsi dengan baik.
“Tandas yang sempurna bagi saya bukanlah tandas yang mewah atau cantik.
“Sebaliknya, tandas yang sempurna bagi saya adalah tandas yang bersih, mempunyai pengudaraan yang baik, tidak rosak, mempunyai bidet, dilengkapi dengan tisu dan sabun serta mempunyai lampu yang terang,” ujarnya.
Dedah Marissa, sepanjang melakukan ulasan tandas, dia mengatakan tandas awam yang paling mengagumkan kebersihannya setakat ini ialah tandas di The Gardens Mall KL.
“Tandas paling sempurna bagi saya ialah The Gardens Mall KL. Walaupun waktu sibuk atau padat dengan ramai orang, tandasnya tetap bersih,” kongsinya.
Marissa sentiasa memastikan kandungan yang dimuat naik itu memberi manfaat, tanpa menyinggung mana-mana pihak.
“Apabila saya membuat ulasan tentang tandas yang tidak begitu bagus, saya tidak mahu menggunakan perkataan yang akan menyinggung mana-mana pihak.
“Hasrat saya adalah kandungan yang dikongsi berfungsi sebagai satu bentuk kesedaran dan pihak yang bertanggungjawab seterusnya boleh mengambil tindakan untuk memperbaiki keadaan tandas itu,” katanya.
Sebagai seorang pempengaruh muda, Marissa mengingatkan anak muda yang lain untuk menggunakan media sosial dengan menghasilkan kandungan yang bermanfaat.
“Bagi saya, kita mempunyai pilihan untuk menghasilkan kandungan jenis apa dan sebaiknya, pilihlah kandungan yang memberi manfaat kepada orang ramai.
“Secara peribadi, saya melihat kandungan berbentuk kesedaran sebegini akan membuka mata banyak pihak, sekali gus menjadikan mereka mengambil tindakan sewajarnya seperti menambah baik kualiti tandas awam yang disediakan, seterusnya memberi manfaat kepada orang awam,” ujarnya.
Marissa juga telah dijemput menghadiri acara Toilet of the Year Award 2024 di Kuala Lumpur pada November lalu yang dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
“Dulu, orang pun panggil saya ‘toilet girl’ tetapi saya buat sahaja sampai nampak rakyat Malaysia mula memberi tumpuan dan komen dalam video-video saya.
“Saya gembira berada di acara ini untuk menyaksikan perubahan,” ungkapnya.















