RIBUAN rakyat Malaysia terperangkap di luar negara akibat pemerdagangan manusia, sindiket scammer.
Menjana pendapatan sehingga AS$3 trilion (RM13.5 trilion) setahun menerusi penipuan dalam talian atau scammer mendorong sindiket merekrut lebih ramai individu untuk bekerja dengan mereka.Malah, individu dari Malaysia tidak terkecuali menjadi mangsa dan bekerja dengan ‘sindiket compound’ atau wilayah scammer yang bertapak di lima negara.
Pelbagai modus operandi digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa bermula daripada sebagai transporter sehinggalah ditawarkan pakej percutian.
Lebih menarik, sindiket turut membayar gaji lumayan serta menyediakan ‘duit belanja’ dalam ‘AS Dolar’ bagi menjerat mangsa.
Bagi mengupas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI menemu bual Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim di pejabatnya baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Boleh Datuk jelaskan latar belakang MHO dan sejak bila mula aktif membantu rakyat Malaysia yang terperangkap dengan sindiket pemerdagangan manusia di luar negara?
MHO mula bergerak aktif bagi misi menyelamat rakyat Malaysia yang terperangkap luar negara pada 2021 khususnya pada waktu itu di Kemboja. Kita mendapat maklumat daripada beberapa aktivis dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menerusi maklumat itu, kita mula mengumpul keluarga mangsa dan akhirnya berjaya mendapat 30 keluarga. Kemudian kita buat sidang akhbar kerana selama ini orang tidak tahu isu ini dan ia dianggap terpencil.
Bagi mengetengahkan isu ini, kita kemudian membawanya ke Wisma Putra dan pergi ke semua kedutaan termasuk di Laos, Myanmar, Kemboja dan China. Kita juga bawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pejabat Perdana Menteri.
Jadi, apabila kita dedahkan isu ini, saya ingat ia akan berakhir dan kesemua mangsa dapat diselamatkan, tetapi sebaliknya saban tahun semakin bertambah dan hari ini masih lagi ada yang terperangkap.

Kebanyakan mangsa terperangkap di negara mana dan bagaimana boleh ke sana?
Sekarang ada lima negara, kalau sebelum ini hanya tiga iaitu Laos, Kemboja dan Myanmar. Tetapi terkini ada lagi dua negara yang aktif mewujudkan ’sindiket compound scammer’ iaitu Filipina dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai.
Dua negara ini sebenarnya bukan baharu, sebelum ini sudah ada kita terima laporan, tetapi sejak awal tahun ini, semakin banyak kes terbaharu melibatkan dua negara ini. Saya lihat sindiket ini mula mengubah kawasan mereka ke sana sebab senang memperdaya mangsa.
Terutamanya apabila mangsa ditawarkan pakej percutian atau menghantar serta mengambil barang di sana, sebab mereka (mangsa) ingat kedua-dua negara itu adalah negara pelancongan dan tiada sindiket pemerdagangan manusia atau scammer.
Apakah antara alasan atau perangkap yang digunakan sindiket sehingga berjaya memperdaya mangsa?
Pelbagai MO (modus operandi) digunakan pihak sindiket untuk memerangkap mangsa di negara yang mereka lawati. Jika dahulu sekitar awal tahun 2021 mereka hanya memerangkap mangsa menerusi tawaran kerja di media sosial atau secara panggilan telefon.
Tetapi sekarang, MO sindiket ini sudah berubah, mereka lebih licik, mereka study (selidik) latar belakang mangsa. Contohnya jika mangsa itu bekerja sebagai pemandu, mereka akan perdayakan mangsa dengan tawaran sebagai menghantar dan mengambil barang di luar negara.
Mereka akan dibekalkan tiket penerbangan, contohnya ke Bangkok dan bawa barang itu balik ke Malaysia. Sepatutnya perkhidmatan itu hanya beberapa hari, tetapi mereka diperangkap hingga seminggu sebelum dibawa ke sempadan Myanmar.
Ada juga mangsa diberikan dadah supaya mereka tidak sedarkan diri semasa di Thailand sebelum dibawa ke Myanmar melalui sempadan di Mae Sot.
Selain itu, ada juga diperdaya dengan pakej bercuti sambil menjadi personal shopper di Sepanyol dan diberi upah RM1,000. Selepas pulang ke Malaysia, sindiket memberi tugasan seterusnya kepada mangsa.
Mangsa diarahkan ke Bangkok, Thailand sebelum ke Dubai. Disebabkan telah mendapat upah lumayan sebelum ini, mangsa terus terpedaya. Apabila sampai di Bangkok, mereka terus ‘hilang’ dan akhirnya terperangkap dengan sindiket berkenaan.
Kebanyakan mangsa yang dijual kepada sindiket-sindiket ini dibayar pada harga tinggi. Untuk sampai ke Myanmar, pihak sindiket ini membayar kepada ejen-ejen lebih AS$5,000 atau hampir RM22,000 setiap mangsa.
Jadi, sebab itu apabila sampai di Myanmar susah untuk mereka loloskan diri walaupun tebusan sudah dibayar kerana sindiket sudah mengeluarkan banyak modal. Itu sebab saya kata, MO mereka sentiasa berubah.
Sekarang mereka merekrut mangsa secara lebih terbuka sehingga ada yang bersemuka berbanding dahulu hanya menggunakan media sosial.
Jadi saya nasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati, jika ada tawaran pelik dan lumayan, cubalah siasat dulu bagi mengelakkan menjadi mangsa.

Bagaimana MHO mendapatkan maklumat berkaitan kes-kes ini? Adakah keluarga datang membuat aduan atau aduan melalui pihak berkuasa?
Sejak kita mula aktif melakukan pelbagai misi menyelamatkan mangsa terperangkap di luar negara, semakin ramai yang tampil memberi maklumat. Maklumat-maklumat ini bukan sahaja daripada mangsa dan aduan keluarga mangsa, tetapi daripada pelbagai sumber.
Kita juga mempunyai rangkaian dan rakan-rakan di negara-negara terbabit terutamanya di Laos, Kemboja dan Myanmar. Ada dalam kalangan mereka adalah NGO, orang perseorangan serta bekas kakitangan pihak berkuasa.
Mereka akan membantu kita sama ada menyalurkan maklumat berkaitan mangsa yang dilaporkan di Malaysia sehinggalah mangsa berjaya dijejaki.
Malah, mereka juga akan membantu kita masuk ke kawasan-kawasan tertentu yang sukar ditembusi pasukan keselamatan.
Jadi, dengan sumber-sumber inilah kita berjaya mengumpul maklumat, mengesan mangsa dan seterusnya berjaya membawa mangsa pulang ke Malaysia.
Bagaimana MHO bertindak selepas mendapat sesuatu kes. Adakah mempunyai sektariat atau bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara berkenaan?
Seperti saya beritahu, kita tiada sekretariat atau hubungan terus dengan pihak berkuasa di negara-negara terbabit. Kita ada rakan-rakan dan NGO yang sudi membantu apabila diperlukan.
Rakan-rakan ini juga bukan daripada pasukan keselamatan, kebanyakan mereka ini hanyalah individu yang ingin menolong rakyat Malaysia yang terperangkap di negara mereka.
Kebanyakan mereka menolong kita kerana ihsan sesama manusia serta mereka juga ’bermusuh’ dengan sindiket pemerdagangan di negara mereka.
Walaupun mereka tidak ramai, tetapi amat membantu dalam setiap misi hingga berjaya.
Mereka juga tidak akan mendedahkan identiti kerana bimbang ancaman keselamatan.
Adakah MHO bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan apakah cabaran paling getir untuk menyelamat mangsa kerana ia membabitkan keselamatan dan diplomatik antara kedua-dua negara?
Ya memang kita ada menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM). Setiap kali turun melaksanakan misi kita akan maklumkan kepada PDRM dan saya berterima kasih terutamanya bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM).
Selain pihak berkuasa, kita juga bekerjasama erat dengan pihak kedutaan di negara terlibat kecuali di Myanmar.
Setakat ini cabaran paling getir adalah jika mangsa terperangkap di Myanmar sebab kita hanya bergantung kepada rakan-rakan yang berada di sana. Hanya satu sahaja jalan yang boleh masuk ke Myanmar iaitu melalui Yangon.
Kebanyakan kawasan atau wilayah scammer ini dikawal oleh Pasukan Pengawal Sempadan (BGF) terdiri daripada bekas kumpulan pemberontak di Myanmar. Agak sukar untuk beruding dengan mereka, sebab itu kita menggunakan ’orang dalam’ atau rakan-rakan di Myanmar.
Paling sukar kawasan untuk dimasuki sekarang adalah di wilayah Taichung.
Untuk pengetahuan semua, rakan-rakan kita ini juga ada yang pernah menetap dan bekerja di Malaysia sebelum ini dan fasih berbahasa Melayu.
Bagi Laos dan Kemboja pula, kita mempunyai akses dengan kedutaan dan hubungan diplomatik dengan kedua-dua negara ini agak baik. Jadi senang untuk pihak berkuasa atau kedutaan memberi bantuan sewaktu kita menjalankan misi.
Selain itu, apabila kita ’viralkan’ kes-kes negara ini melalui sidang media, mereka (pihak berkuasa) cepat respons dan terus membantu kerana tidak mahu reputasi sebagai negara pelancongan terjejas.
Berapa anggaran rakyat Malaysia yang masih terperangkap di negara-negara terbabit dan jumlah diselamatkan?
Jumlah tepat itu saya tidak ada kerana kami hanya berpandukan pada maklumat yang disalurkan. Apa yang boleh saya anggarkan masih ada ribuan lagi rakyat Malaysia yang terperangkap di lima negara terbabit ketika ini dan paling ramai tentunya di Myanmar.
Data ini juga hasil temu bual dengan mangsa yang berjaya dibawa pulang, mereka memaklumkan terdapat ribuan rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar. Sebab di Myanmar sahaja ketika ini terdapat lebih 70 ’wilayah’ dikuasai pihak scammer berbanding pada 2021 hanya kira-kira 30.
Tetapi secara keseluruhan sejak tahun 2021 sehingga sekarang MHO dengan kerjasama PDRM, kedutaan berjaya membawa pulang lebih 300 mangsa.
Berapa ramai pula mangsa gagal diselamatkan hingga dilaporkan hilang atau meninggal dunia di negara terbabit?
Setakat data dan maklumat kita peroleh, kira-kira 30 orang ketika ini dilaporkan hilang. Bagi kematian pula, ini susah nak kita buktikan sebab kita tiada laporan khusus mengenainya. Biasanya apabila mangsa dimasukkan ke dalam bilik gelap ia akan berakhir dengan kematian.
Sebab dalam bilik gelap itu mangsa akan didera dengan pelbagai kaedah serta tidak akan diberi makan. Malah ada juga maklumat kita terima mangsa seterusnya akan dibawa ke tempat penjualan organ.














