fbpx
AMORIM (kanan) kini merekodkan kekalahan keempat berturut-turut dalam semua kejohanan bersama United. - AFP

EPL: Man. United ada peluang jatuh liga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim tidak menolak kemungkinan pasukannya akan tersingkir ke Liga Kejuaraan Inggeris (EFL) musim depan selepas tewas 0-2 kepada Newcastle United pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.

Pada aksi di Old Trafford itu, skuad The Magpies mempamerkan penguasaan bola menerusi gandingan jentera tengah, Sandro Tonali serta Bruno Guimaraes sebelum meraih gol daripada Alexander Isak dan Joelinton.

Menurut Amorim, potensi untuk The Red Devils tersingkir ke saingan divisyen kedua masih terbuka selepas merekodkan kekalahan ketiga berturut-turut di laman sendiri buat kali pertama sejak musim 1962/1963.

Ia juga adalah kekalahan keempat berturut-turut buat United dalam semua kejohanan sejak kali terakhir menang 2-1 ke atas seteru setempat, Manchester City pad 16 Disember lalu.

“Ini adalah keputusan yang sukar dan sekarang adalah detik terburuk dalam sejarah kelab. Kenyataan ini harus kita hadapi selepas tewas sekali lagi di laman sendiri.

“Saya harus bersikap jujur dengan pemain dan penyokong, ada kemungkinan pasukan boleh tersingkir ke EFL musim depan tetapi itu tidak bermakna kami akan menyerah dengan mudah. Saya mahu pemain berjuang sehingga penghujung musim,” katanya.

Kali terakhir United tersingkir ke divisyen dua adalah pada 50 tahun lalu ketika mengharungi musim 1973/1974.

Mengulas mengenai perlawanan, Amorim yang dilantik menjadi jurulatih United sejak November lalu mengakui Newcastle layak menang selepas mempamerkan prestasi lebih baik.

“Pada babak pertama, kami bermain dengan teruk tetapi pemain telah mencuba segalanya tetapi belum cukup untuk mengelak daripada kekalahan,” kata Amorim yang kini hanya menang empat, seri satu dan enam kekalahan dalam 11 perlawanan bersama United.

Sebagai rekod, United kini menduduki tangga ke-14, empat anak tangga daripada zon penyingkiran dan tujuh mata ke atas Ipswich Town yang berada di kedudukan ke-18. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN