KUALA LUMPUR – Penagih dadah tua atau ‘zombi’ ibu kota memberitahu mereka menyesal tak sudah kerana terlibat dengan bahan khayal itu apatah lagi melihat ramai rakan mereka mati di jalanan tanpa dipedulikan oleh sesiapa.
Lebih menakutkan apabila tinjauan Kosmo! Ahad mendapati, badan lemah mereka dipenuhi dengan kudis dan penyakit kesan daripada pengambilan dadah seawal usia 10 tahun.
Sebaik menjadi tua, mereka yang terdiri daripada kira-kira 30 penagih tegar kini merempat di sekitar Lorong Haji Taib, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Lorong Raja Bot, Jalan Chow Kit dan Jalan Thamboosamy.
Mak Lia (nama samaran), 71, berkata, dia dan rakan-rakannya disisih masyarakat selain hanya menunggu mati seorang diri tanpa keluarga di sisi. Rata-ratanya menjadikan kaki lima dan bangunan usang sebagai tempat berteduh.
Katanya, dia terjebak dengan dadah selepas lari rumah ketika berusia belasan tahun akibat perselisihan faham.
“Kehidupan berubah menjadi teruk selepas berkenalan dengan rakan-rakan yang terjebak dengan gejala sosial.
“Saya layan pelanggan di kelab malam dan terjebak dengan dadah untuk beri tenaga. Lama-lama ketagih dan susah hendak buang. Bekalan banyak sebab kerja ada ketika itu,” katanya.

Menurut Mak Lia, apabila tua, dia susah hendak dapat duit dan terpaksa mengemis dengan pendapatan RM70 sehari bagi menampung kos hidup dan modal beli dadah
Tambahnya, seminggu atau sebulan sekali rakan memberi RM30 sebagai upah menemani mereka menghisap dadah.
“Saya selalu berdoa supaya dapat berubah jadi orang baik sebelum mati sebab dah tidak mahu hidup begini lagi. Setiap tahun ada sahaja kawan mati sendirian kerana dadah.
“Ada mati di tepi jalan, bilik sewa dan bangunan usang. Kalau nasib baik ada orang bantu tetapi ada juga dibiarkan mereput,” katanya.
Suzanna (nama samaran), 70, pula memberitahu, dia menghisap heroin sejak berusia 12 tahun dengan membeli dadah di kawasan Sentul di sini.
“Saya membesar di kawasan penjenayah Botak Chin yang dahulu terkenal dengan pusat perjudian. Jadi, saya dapat dadah daripada orang di situ,” katanya ketika ditemui di Lorong Haji Taib.
Ujar Suzanna, dia menjadi orang kelainan upaya kerana patah tulang pinggul akibat dipukul ketika bergaduh di penjara menyebabkan kakinya pendek sebelah.
Katanya, dia cuba berhenti, solat dan mengaji tetapi gagal kerana rasa sakit jika tidak menghisap.
“Rasanya lebih sakit daripada bersalin. Kawan pula melawat seminggu sekali sambil bawa dadah. Saya menyesal dan rasa perang zaman dahulu lebih baik daripada hidup begini,” katanya yang takut akan mati di jalanan seperti rakan-rakannya.
Seorang duda tiga anak, Noh, 68, berkata, dia mula terjebak 30 tahun lalu dengan menghisap dadah di rumahnya kononnya hendak hilangkan tekanan.
“Saya ketagih heroin 10 tahun sebelum beralih kepada syabu. Semua gaji buruh habis beli dadah.
“Akibatnya saya hanyut dan tidak peduli anak-anak lagi. Saya cuba berhenti tetapi tidak boleh. Saya jadi gila dan meracau jika sehari tak ambil,” katanya yang merempat
di Chow Kit.
Menurut Noh, rasa malu tinggal di jalanan sudah tiada kerana reda dipandang sampah masyarakat hingga ada yang membaling batu kepadanya ketika dia tidur.














