PONTIAN – Seorang suri rumah bersyukur apabila ditawarkan buat kali ketiga untuk ke Tanah Suci, namun sedikit terkejut apabila dikategorikan sebagai jemaah haji M40 yang memerlukannya membayar RM23,500 sedangkan dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Nur Shahirah Sulaiman, 24, berkata, sebelum ini dia telah menerima tawaran pada 2019 dan 2023 tetapi terpaksa menolaknya kerana mempunyai kekangan selain mengandung anak sulung ketika itu.
Katanya, dia kemudian zmenerima tawaran menunaikan Rukun Islam kelima itu melalui WhatsApp daripada Tabung Haji (TH) pada 16 Disember lalu.
“Dalam tawaran itu, saya dikategorikan sebagai M40 dan perlu bayar RM23,500. Saya terkejut kerana menyangka akan ditawarkan pada 2026 seperti yang dipinta kepada TH sebelum ini.
“Saya akan menerima tawaran kali ketiga itu tetapi berharap TH menukar status daripada M40 kepada B40 kerana saya suri rumah dan tiada pendapatan tetap,” katanya ketika ditemui di Kampung Puteri Menangis di sini semalam.
Nur Shahirah yang memiliki Diploma Logistik dan Rangkaian Bekalan berkata, dia akan ke TH Pontian bagi membuat permohonan itu bagi membolehkannya menerima kadar bayaran RM15,000 untuk B40.
Tambahnya, dia juga akan cuba memohon supaya suaminya, Muhammad Amirul Hakimi Esa, 27, diberi peluang mengerjakan haji supaya dia mempunyai teman sekali gus memudahkan urusan hajinya.
“Mungkin ini berkat simpanan TH sejak lahir yang dilakukan oleh ibu melalui potongan gaji sebanyak RM50 sebulan ketika bekerja di Ranhill SAJ Pontian. Selain itu ibu juga menyimpan duit yang diterima ketika saya bayi dan hari raya,” katanya.
Ujar Nur Shahiran, dia akan mengikuti kursus haji sama ada di Masjid Bandar Pontian atau di Masjid Temenggong Daeng Abdul Rahman di Benut.
“Saya pun belum pernah menunaikan umrah dan kursus haji ini bagi saya penting, membolehkan saya mempelajari perkara-perkara berkaitan ibadah haji, rukun-rukun dan sebagainya,” katanya.
Ibu kepada seorang bayi perempuan berusia 10 bulan itu berterima kasih kepada ibunya dan bapanya Sulaiman Sagi, 57, kerana telah membantu membuat pendaftaran haji pada tahun 2007.















