KEBANYAKAN daripada kita pastinya tidak sanggup untuk menumpang tidur di rumah orang asing atau individu tidak dikenali atas pelbagai faktor seperti keselamatan diri dan kebersihan.
Namun, berbeza pula bagi Shuraf Ishida, 33, dari Jepun yang sehingga kini sudah menumpang tidur secara percuma di lebih 500 buah rumah orang yang tidak dikenalinya sejak lima tahun lalu.
Apa yang ditawarkan Ishida hanyalah menjadi pendengar kepada masalah yang dihadapi tuan rumah atau menjadi bahu untuk bersandar.
Kisah Ishida menjadi tular di internet dengan laman-laman berita antarabangsa melaporkan bahawa lelaki itu mencari bumbung untuk berteduh dengan kaedah yang unik dan tidak pernah difikirkan oleh orang lain.
Memetik South China Morning Post, Ishida terfikir idea pelik itu lima tahun lalu selepas dia berhenti kerja.
Dia mula mengembara seluruh Jepun dengan hanya membawa barangan keperluannya yang dimasukkan dalam sebuah beg, selain bergantung hidup sepenuhnya dengan menggunakan wang simpanan.
Kongsi Ishida lagi, dia merupakan seorang introvert, namun selepas berkunjung ke Taiwan sewaktu masih bergelar penuntut universiti, perspektifnya terhadap dunia berubah.
Ishida mula bersahabat dengan ramai orang, makan pelbagai jenis makanan, lalu menyedari bahawa dia cukup suka mengembara dan berkenalan dengan orang luar.
Untuk mencari orang yang sudi menumpangkannya, dia akan berdiri sambil memegang sepanduk bertulis: ‘Saya mempunyai beg tidur, tolong benarkan saya tidur di rumah anda malam ini’ dan ‘Saya sudah tidur di lebih 300 buah rumah. Tolong cari saya, Shuraf Ishida’.
“Ia ibarat anda menyediakan umpan dan tunggu ia dimakan ikan,” kongsi Ishida tentang kaedah yang digunakannya itu.

Ishida juga melihat kaedah itu sebagai sesuatu yang mengujakan. Dia akan berdiri berjam-jam lamanya di stesen bas atau kereta api menunggu insan mulia yang sudi menumpangkannya.
Biarpun kebanyakan orang yang melihat sepanduk itu tidak mempedulikan permintaan Ishida, namun ada segelintir daripada mereka yang tersentuh dengan tulisan pada sepanduk itu dan menawarkan lelaki itu untuk menumpang tidur di rumah mereka.
Tambah Ishida, 90 peratus daripada mereka yang memberikannya penginapan percuma terdiri daripada lelaki bujang yang mahukan teman berbual untuk berkongsi rahsia dan meluah tentang keperitan hidup yang mungkin sudah lama dipendam.
Namun, biarpun menjadi teman tuan rumah, Ishida bagaimanapun tidak pernah menunjukkan simpati atau memberi galakan, sebaliknya dia cuma menjadi pendengar dan akan sesekali bertanya soalan kepada mereka.
“Saya suka mendengar cerita-cerita mereka.
“Ia tidak langsung membosankan kerana ia ibarat membaca novel berbeza setiap malam,” jelasnya tentang situasi itu.
Seorang wanita berusia 20-an yang pernah menjadi tuan rumah tumpang Ishida berkongsi pengalamannya bersama lelaki itu.
“Pada hari-hari yang saya rasa tidak larat untuk meneruskan hidup, saya lazimnya akan berbelanja dengan boros atau minum sehingga mabuk lalu muntah-muntah.
“Namun, semasa saya menumpangkan Ishida di rumah, dia mendengar semua masalah dan kekecewaan saya.
“Apa yang saya perlu buat hanyalah membenarkan dia menumpang tidur di rumah saya. Bagi saya, itu merupakan satu tawaran yang baik,” kata wanita itu.
Biarpun wang simpanan Ishida sudah semakin berkurangan kerana gaya hidupnya yang gemar mengembara, Ishida bagaimanapun berkata, dia tidak merancang untuk kembali bekerja seperti orang lain.
Ishida berhasrat untuk terus mengekalkan gaya hidup ‘menumpang’ itu.
Tindakan Ishida yang mampu bertahan hidup dengan cara sedemikian selama lima tahun bagaimanapun turut mendapat kritikan daripada orang awam yang menganggap lelaki itu mengambil peluang atas kebaikan dan sifat murah hati orang lain.
“Saya rasa perkara ini (menumpang tidur) adalah sesuatu yang pelik. Saya bukanlah orang yang tidak tahu malu sepertinya,” komen seorang netizen.
Namun, beberapa netizen di China pula mempunyai pendapat yang berbeza.
“Pada mulanya, saya melihat perjanjian antara dia dan tuan rumah agak aneh, namun nampaknya tuan rumah melihat Ishida sebagai orang yang boleh dipercayai,” kata seorang netizen China.














