KUANTAN – Seorang wanita tidak menyangka perbualan menyuruh adiknya bertaubat selepas melihat ramai rakan-rakannya meninggal dunia merupakan gurauan terakhir sebelum lelaki itu ditemui mati di dalam kereta Jumaat lalu selepas hilang selama seminggu.
Noraini Mohd. Ali, 56, berkata, arwah adiknya, Safri, 55, bertanya kepadanya mengenai keadaan rakan-rakannya itu pada malam sebelum arwah keluar rumah.
Katanya, gurauan terakhir itu tidak akan dilupakan kerana ia memberi petanda adiknya akan pergi buat selama-lamanya.
“Saya kata, memanglah Awie (Safri) kak long tengok kawan-kawan di Tanjung Lumpur semua sudah tiada. Ini maknanya Awie kena bertaubat, solat taubat buat sekali seumur hidup pun tidak mengapa.
“Lepas itu dia macam suka dan pada malam itu dia semput teruk tetapi saya tidak banyak membantu kerana tertidur,” katanya.
Mayat Safri dari Kampung Hijrah di sini ditemukan pada pukul 4.15 petang di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva yang diletak di tempat letak kereta sebuah restoran nasi kerabu di sini.
Sebelum itu, dia dilaporkan hilang sejak 13 Disember lalu.
Ketika ditemui, mayatnya dalam keadaan tertunduk di tempat duduk pemandu.
Turut ditemukan bersama mayat itu ialah sebuah telefon bimbit dan satu beg galas.
Menurut Noraini, arwah adiknya suka memakan nasi kerabu dan sebelum kejadian dia ke kedai itu untuk bersarapan sebelum ke klinik untuk mengambil ubat.
Tambahnya, pada malam sebelum adiknya keluar rumah, arwah yang menghidap asma kelihatan begitu letih dan semput.
“Sebelum kejadian Allahyarham sering mendiamkan diri dan tidak banyak bercakap dan hanya banyak menghabiskan masa melihat telefon bimbitnya.
“Saya memang rapat dengannya, saya tinggal bersamanya sejak 20 tahun lalu. Dia yang tidak berkahwin merupakan seorang yang pendiam dan tidak banyak kerenah,” ujarnya.
















