Masih basah di benak fikiran dengan bait kata diungkapkan ibu saudara berbunyi: “Abah tidur sekejap, nanti dia datang balik.”
Itu kejadian sekitar 27 tahun lalu sewaktu arwah bapa dijemput Ilahi. Di satu ruang, jasadnya terbujur kaku dengan kain berwarna putih.
Tahun demi tahun bergulir, penulis mula faham bahawa, apa diungkapkan mak saudara hanyalah sandiwara untuk menjadikan diri seorang manusia yang tabah mendepani segala apa yang menanti di hadapan.
Sebagai anak yang lahir awal era 1990-an, dewasa ini, rasa diri seperti diri ‘terpukul’ realiti melihatkan ramai rakan-rakan seusia yang kehilangan orang tua tersayang.
Secara peribadi, kehilangan bapa pada usia yang belum pun sempat menjejakkan kaki ke tadika merupakan satu epifani atau kesedaran mengejut untuk terus melangkah gagah dalam kehidupan dengan semangat mandiri.
Kehilangan orang tua itu ibaratnya mimpi buruk buat kita semua. Ibarat cahaya lilin yang selalu setia menerangi setiap sudut jalan, kini sudah terpadam.
Suka atau tidak, fasa tersebut akan dilalui setiap benda hidup yang ada di muka bumi ini.
Buat anak milenium atau Gen Y seperti penulis, kita sekarang umpamanya sedang ‘bertarung’ dengan realiti itu kerana, kebanyakan sudah berusia lebih 30 tahun. Kebanyakan daripada kita sudah berkerjaya kukuh dan berkeluarga sendiri.
Seperti apa dititipkan selebriti Sharnaaz Ahmad, hargai orang tua selagi mereka masih bernafas di dunia ini. Kalau sudah tiada, memang menangis air mata darah sekalipun, waktu tidak mungkin diputarkan semula.
“Semasa ada, soalan bertulang, berleter semua (daripada orang tua) buat kita sakit kepala. Bayangkan apabila semua itu semua sudah tiada.
“Sunyi yang maha sunyi. Jika kita masih ada ibu bapa, jaga dan sentiasalah buat yang terbaik sementara mereka masih ada,” pesan Sharnaaz, 39, yang kehilangan bapa tersayang, Allahyarham Datuk Basir Ahmad beberapa hari lalu.
Itulah realiti kehidupan. Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran, ayat 185: “Setiap yang bernyawa akan merasakan mati.
“Hanya pada hari Kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan.”
Semoga susuk-susuk yang kita sayang terutama ibu bapa diberikan pengakhiran yang baik di dunia dan akhirat.
Buat mereka yang masih dikurniakan rezeki memiliki orang tua, jangan sesekali mensia-siakan mereka. Buat mereka yang ajal orang orang tuanya sudah diangkat ke langit, jangan pernah putus berdoa buat mereka.














