fbpx
CALON SPM menaiki trak Angkatan Tentera Malaysia untuk menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat, Tumpat semalam. - KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Selamat berjuang calon SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KELMARIN Kementerian Pendidikan (KPM) membuat keputusan untuk meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Meskipun terdapat desakan daripada orang ramai supaya ditangguhkan dahulu, namun dengan keputusan KPM tersebut ujian yang bermula semalam hingga Khamis tetap diterus seperti yang dijadualkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dipetik berkata, seramai 5,377 calon SPM 2024 dilaporkan terjejas, masing-masing 3,111 orang terkesan di Kelantan, Terengganu pula seramai 1,734 orang, manakala di Kedah seba­nyak 532 orang.

Penulis percaya sebelum keputusan itu dicapai, semestinya suatu perbincangan tahap tertinggi KPM telah dilakukan yang mengambil kira pelbagai aspek. Salah satu aspek sudah pastilah keselamatan calon-calon SPM dalam situasi bencana.

Setakat kelmarin juga, sebanyak 174 sekolah terjejas banjir di seluruh negara dengan negeri Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 80 sekolah, Terengganu sebanyak 62 buah dan Kedah sebanyak 14 sekolah.

Sebanyak 396 buah sekolah pula dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengatur gerak aset-asetnya membawa para pelajar ini ke asrama serta pusat peperiksaan pada kelmarin.

Suatu pengalaman yang pelbagai. Cemas, teruja dan mendebarkan menaiki bot dan trak pasukan ATM mengharungi banjir untuk menduduki SPM.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ini dugaan yang perlu dihadapi adik-adik ini. Penulis percaya mereka ini kuat semangat.

SPM juga amat penting. Salah satu peperiksaan yang bakal menentukan haluan hidup. Sama ada melanjutkan pengajian ke menara gading atau terjun ke bidang kerjaya. Segalanya bermula di sini.

Kosmo! semalam melalui laporan muka depan menyelami perasaan calon-calon SPM ini di tiga negeri tersebut. Penulis kagum dengan semangat mereka. Walaupun agak beremosi selepas rumah digenangi air, kerosakan harta benda mereka tetap ‘keluar’ untuk menduduki SPM.

Dalam situasi sebegini penulis teringat ungkapan seorang kenalan, dia ini tidak dibenarkan keluar dari Si­ngapura selama setahun. Dia bebas untuk ke mana-mana lokasi di dalam Singapura, namun tidak dibenarkan keluar dari negara tersebut berikutan mempunyai kes mahkamah.

Ujarnya, sabar orang yang dalam dugaan tidak sama darjatnya dengan sabar orang yang selesa tidak diduga.

Insya-Allah buat calon-calon SPM 2024 segala pengorbanan ini pasti ada sinar di hujung terowong. Selamat berjuang!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN