SEBAGAI isteri, seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Nita menaruh sepenuh kepercayaan kepada suaminya.
Malah, dia percaya bahawa suaminya itu tidak akan berlaku curang di belakangnya memandangkan Nita adalah cinta pertama lelaki itu.
Kata orang, cinta pertama itulah cinta paling tidak dapat dilupakan kerana si dialah yang telah mencetuskan rasa cinta pertama kali dalam diri seseorang.
Suaminya mengakui Nita ialah cinta pertamanya dan mereka telah berkenalan dan bercinta sejak zaman sekolah.
“Selepas berkahwin, saya berhenti kerja kerana mengikuti suami saya yang merupakan seorang penjawat awam.
“Saya tidak bekerja selepas itu dan menjadi suri rumah sepenuh masa,” kata wanita yang kini berusia 25 tahun mengimbas percintaan dan permulaan rumah tangganya.
Nita mengakui, pada awalnya dia amat bahagia dengan perkahwinannya dan suami melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Namun, setelah hampir setahun berkahwin, rumah tangga Nita dilanda ‘badai’ apabila suaminya itu menjalinkan hubungan dengan wanita lain di belakangnya.
Pada mulanya dia tidak menyedari kecurangan suaminya itu sehinggalah lelaki itu menunjukkan perubahan.
“Sebelum ini, suami saya jarang untuk keluar malam dan dia selalunya akan menghabiskan masa bersama saya.
“Namun, tiba-tiba suami saya sering keluar malam dan memberi alasan kepada saya bahawa dia keluar untuk membantu rakannya berniaga bagi mencari duit lebih,” jelasnya.
Pada mulanya, Nita percaya dengan suaminya itu sehinggalah hatinya seakan memberikan rasa sesuatu yang tidak kena.
Apa yang dirasakan itu benar belaka apabila isteri seorang rakan suaminya memberitahu ternampak suami Nita keluar dengan wanita lain dan mereka kelihatan cukup mesra.
Sebagai bukti, wanita itu turut mengambil gambar dari jauh dan memberikannya kepada Nita.
“Saya mengenali isteri rakan suami saya itu kerana kami sebelum ini pernah bertemu beberapa kali. Dia amat baik dan tidak mahu saya dikhianati oleh suami,” jelas Nita.
Dengan bukti yang ada, Nita meminta penjelasan suaminya dan mereka berdua bergaduh besar pada malam itu.
Suaminya tidak dapat berbohong dan mengakui bahawa dia ada keluar dengan wanita lain tanpa pengetahuan Nita.
Malah, suaminya itu meminta maaf kepadanya dan meminta untuk diberikannya peluang kedua dan dia berjanji untuk tidak berlaku curang lagi.
Disebabkan sayang, Nita memberikan suaminya itu peluang kedua.
Namun, peluang kedua yang diberikannya itu tidak digunakan sebaiknya oleh suami. Lelaki itu seakan ‘gila bayang’ dan masih menjalinkan hubungan dengan wanita itu.
“Tiga bulan selepas itu suami saya ‘kantoi’ lagi apabila dia terlupa untuk memadam perbualannya dengan wanita itu di aplikasi WhatsApp.
“Dia pulang kerja dan terus ke tandas kerana sakit perut dan meninggalkan telefonnya di atas meja, saya kemudian mengambil telefonnya dan terkejut melihat perbualan mereka itu.
“Perbualan mereka itu seperti pasangan yang sedang bercinta dan wanita itu turut menghantar gambar mereka berdua,” kata Nita.
Nita terus menghantar gambar tersebut ke telefonnya untuk dijadikan bukti dan dia turun mengambil nombor telefon wanita tersebut.
Apabila suaminya keluar dari tandas, Nita terus menunjukkan apa yang dilihatnya itu dan suaminya dia tidak berkata apa-apa.
Nita amat marah ketika itu bagaikan ‘naik hantu’ dan suaminya kemudian memilih untuk keluar dari rumah tanpa memberi sebarang penjelasan.
Dia tidak menyangka bahawa suaminya itu masih menjalin hubungan dengan wanita tersebut.
Nita kemudian mengambil kain bajunya dan dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman dan menceritakan akan hal tersebut kepada kedua-dua orang tuanya.
Suaminya ada menghantar pesanan meminta maaf kepada Nita.
“Bagaimanapun, suami saya menyatakan dia mencintai wanita itu sepenuh hati dan ingin menjadikannya sebagai isteri yang sah.
“Dia juga menyatakan akan melepaskan saya dengan baik jika saya memilih untuk tidak mahu bermadu dengan wanita tersebut,” terangnya.
Nita mengambil keputusan untuk menghubungi wanita itu untuk berbicara antara satu sama lain.
Mengejutkan apabila wanita itu langsung tidak menunjukkan rasa bersalah apabila menjalinkan hubungan dengan suami orang.
“Dengan riaknya wanita itu menyatakan bahawa dia berjaya rampas suami saya daripada saya.
“Dia juga tanpa rasa segan silu mengaku pernah ‘bersama’ suami saya beberapa kali sebelum ini,” kata Nita.
Akhirnya Nita mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya dan dia tidak mahu bermadu, apatah lagi dengan wanita sebegitu.
Mereka berdua kemudian sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung.














