KUALA TERENGGANU – Penduduk Kampung Banggol Katong, Serada di sini tersenyum lebar mampu meraih sehingga 150 kilogram (kg) ikan sehari yang dipukat di pinggir Sungai Terengganu sejak ketibaan musim tengkujuh pada Selasa lalu.
Tangkapan ikan darat pelbagai jenis tersebut tiga kali ganda lebih banyak berbanding diperolehi penduduk kampung tahun-tahun sebelum ini.
Seorang penduduk, Mohd. Zakhir Saad 33, berkata, mereka sudah menahan pukat di pinggir Sungai Terengganu berhampiran perkampungan mereka seawal malam Selasa lalu.
“Kami sudah boleh mengambil hasil ikan pada pagi esoknya sebelum menahan semula pukat.
“Tidak sampai beberapa jam, pukat-pukat kami sudah dipenuhi ikan,” katanya kepada Kosmo!Ahad di Kampung Banggol Katong di sini semalam.
Mohd. Zakhir berkata, antara ikan yang diperolehi ialah haruan, keli, tilapia, sebarau dan baung.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Nor Shahdan, 31, pula berkata, kebanyakan ikan ditangkap itu dijual pada harga purata RM5 sekilogram.
Dia berkata, ramai penduduk kampung dan sekitar sudah menunggu di tebing sungai untuk membeli ikan-ikan darat terbabit.
“Kebiasannya ikan-ikan yang kami pukat akan laris dijual dalam tempoh kurang sejam selepas dinaikkan.
“Kami juga menerima tempahan awal sehari untuk membeli ikan daripada peraih-peraih sekitar daerah ini dan sekitar,” katanya.














