SEBAGAI anak lelaki, Hanan (bukan nama sebenar) mengambil tanggungjawab untuk menjaga ibunya setelah bapanya meninggal dunia.
Dia mengambil ibunya untuk tinggal bersamanya dan isteri di ibu kota kerana tidak mahu membiarkan ibunya tinggal berseorangan di kampung.
“Sebelum itu, ibu saya tinggal bersama adik perempuan saya di kampung, tetapi adik saya mendapat tawaran untuk bekerja di luar negara.
“Kami hanya dua beradik dan sebagai anak lelaki saya mengambil tanggungjawab untuk menjaga ibu saya setelah adik saya memilih berhijrah untuk mengejar cita-citanya,” kata lelaki berusia awal 30-an itu kepada K2 kala mengimbas titik tolak yang membawa kepada perceraian rumah tangganya.
Katanya, sebelum itu, dia ada berbincang dengan isterinya dan menyatakan hasratnya untuk membawa ibunya tinggal bersama mereka.
Pada mulanya isterinya tidak setuju kerana menganggap ‘privasi’ mereka berdua akan terganggu.
Hanan mengakui, hubungan isteri dan ibunya tidak begitu baik dan sebelum ini mereka berdua ada bergaduh kerana berbeza pendapat.
“Isteri saya tidak berapa suka dengan sikap ibu saya yang mahu semua orang ikut cakapnya.
“Sebenarnya, isteri saya ini juga seorang yang ‘keras kepala’ dan dia juga mahu orang ikut cakapnya,” jelasnya.
Namun begitu, Hanan berkeras dan tetap membawa ibunya untuk tinggal bersamanya meskipun isterinya tidak berapa setuju.
“Pada mulanya ibu saya tidak mahu untuk ikut tinggal bersama saya dan mahu terus tinggal di kampung seorang diri.
“Tetapi memikirkan akan keselamatannya saya tidak membenarkannya untuk tinggal seorang diri di kampung dan mahu dia tinggal dengan saya,” jelasnya.
Setelah ibunya tinggal bersamanya, Hanan melihat isterinya langsung tidak gembira dan kadangkala mereka berdua bergaduh kecil kerana beberapa perkara.
Kadangkala ibunya mendengar mereka berdua bergaduh dan menyatakan hasrat ingin pulang ke kampung.
Tetapi Hanan tidak membenarkan ibunya itu untuk pulang ke kampung.
“Ada satu peristiwa ibu dan isteri saya tidak bertegur sapa selama hampir seminggu.
“Ibu saya terlepas cakap dengan mengatakan masakan isteri saya sedikit masin.
“Isteri saya secara spontan boleh mengatakan jika masin, ibu boleh masak sendiri selepas ini dan riak wajahnya menunjukkan rasa tidak puas hati,” ujarnya.
Tambah Hanan, ibunya menganggap isterinya tidak tahu untuk menghormati orang tua.
Malah, ibu Hanan sendiri menyatakan bahawa hatinya terluka dengan beberapa perkataan kasar yang dilemparkan isterinya sebelum ini jika mereka bergaduh.
Hanan mengakui bahawa isterinya itu memiliki kerjaya yang bagus dan disebabkan itu egonya agak tinggi.
“Malah, dengan saya sendiri dia bercakap kasar dan seakan tidak menghormati saya sebagai ketua keluarga.
“Kadangkala saya juga ‘makan hati’ apabila dia bercakap kasar dengan saya,” tuturnya.
Hanan menjelaskan, hubungan isterinya dan ibunya tidak harmoni dan masing-masing seperti menyimpan dendam antara satu sama lain.
Ada satu ketika, isterinya meminta Hanan untuk menghantar ibunya itu pulang ke kampung kerana mereka berdua tidak boleh tinggal sekali.
“Hal ini menyebabkan saya bergaduh dengan isteri dan memintanya untuk faham akan keadaan saya.
“Tetapi dia tidak faham dan memberi pilihan di mana saya boleh pilih ibu saya dan melepaskannya. Dia menyatakan bahawa dia boleh hidup tanpa saya,” terangnya.
Hanan ada menyatakan hal tersebut kepada ibunya.
Ibunya meminta agar Hanan menghantar dia pulang ke kampung dan tidak mahu rumah tangga anaknya itu musnah.
Namun setelah berfikir, Hanan memilih untuk melepaskan isterinya dan memilih untuk berbakti kepada ibunya.
“Apa yang menjadi kemuncak akhirnya saya memilih untuk melepaskannya adalah kerana isteri saya menyatakan bahawa saya dan ibu saya hanya menumpang di rumahnya.
“Ini kerana rumah yang kami diami dibeli olehnya dan dia adalah pemilik rumah itu,” kata Hanan.
Hanan mengakui jika diukur tahap pekerjaan, kerjaya isterinya itu lebih baik berbandingnya.
Akhirnya, Hanan mengambil keputusan untuk melepaskan isterinya dan mereka berdua sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.
Kini Hanan pulang dan bekerja di kampung untuk menjaga ibunya yang semakin lanjut usia itu.
Malah, dia kini juga telah berkahwin dengan sahabat lamanya dan mereka hidup bahagia walaupun serba sederhana di kampung.















