SEJAK akhir-akhir ini, banyak cerita tentang kisah rumah tangga dan kes perceraian yang mengaibkan pasangan dijaja secara terbuka di media sosial.
Ia bagaikan satu trend yang semakin dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat.
Tiada lagi rasa malu dalam diri apabila segala-galanya termasuk ‘hal dalam kain’ dikongsi untuk tatapan umum.
Pelakunya pula terdiri daripada orang biasa sehinggalah melibatkan pempengaruh dan selebriti.
Perkara tersebut diakui Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi CPC International, Dr. Noor Aishah Rosli yang menyifatkan perbuatan itu hanya membuatkan hubungan suami isteri menjadi rapuh.
“Hasil pemerhatian saya, semakin ramai yang gemar berkongsi hal rumah tangga secara berlebih-lebihan termasuk aib pasangan di media sosial.
“Sudah tiada rasa malu dan saya bimbang fenomena ini dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat seterusnya menjadi penyumbang kepada kes perceraian,” katanya.
Tambahnya, dia melihat ramai pasangan muda dengan usia perkahwinan kurang tujuh tahun sudah bercerai.
Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar perceraian di negara ini meningkat 43.1 peratus daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 kes pada 2022.
Sementara itu, kaunselor dan perunding motivasi, Fadzli Aziz berkata, dalam Islam, perceraian adalah langkah penyelesaian terakhir setelah usaha-usaha lain untuk menyelamatkan rumah tangga dilakukan.
“Bila dah tak dapat juga (selamatkan rumah tangga), maka itu adalah jalan penyelesaian terakhir.
“Kalau nak bercerai, bercerailah dengan cara yang sangat baik kerana banyak hikmahnya. Antara perceraian baik adalah tidak mendedahkan aib pasangan,” ujarnya.
Beliau mengakui kewujudan trend orang yang suka mendedahkan aib pasangan.
“Cuba kita fikir kenapa ada orang suka dedah aib pasangan. Pertama supaya dia tidak rasa bersalah bila minta cerai atau dia rasa tak bersalah bila dia menceraikan.
“Rasa bersalah ini datang apabila melibatkan persepsi umum terhadap dirinya,” jelasnya.
Katanya, umat Islam wajib meninggalkan segala perbuatan yang dilarang Allah.
“Bila Allah larang, jangan buat walaupun kita rasa kita akan dipandang serong oleh masyarakat. Bila kita buat perkara yang Allah larang, saya bimbang Allah tidak bantu dalam urusan kita seterusnya.
“Kenapa kita nak sibuk tentang pandangan orang luar terhadap kita, adakah semata-mata kita sibuk memikirkan impak kepada perniagaan dan kerjaya kita?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mendedahkan aib pasangan serta perbuatan lain yang boleh merosakkan hubungan selepas perkahwinan mahupun perceraian.














