MASIH jelas dalam ingatan Saad (bukan nama sebenar) tatkala dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda oleh hakim mahkamah sesyen.
Menurut Saad, perkara itu (dipenjara dan didenda) merupakan ‘tragedi’ paling pahit pernah terjadi dalam hidupnya.
Hendak disesali sudah tidak berguna. Ibarat nasi sudah jadi bubur. Maka, Saad terpaksa menerima dengan rela hati apa yang terjadi.
“Apa yang berlaku sekitar enam tahun lalu cukup mengajar saya erti penyesalan dan begitu bertuahnya menjadi manusia yang hidup di luar penjara.
“Cukuplah dengan apa yang berlaku. Saya menyesal seumur hidup.
“Andai dapat diundur masa, saya tidak akan sesekali melakukan kesilapan lampau itu,” luahnya sebak tatkala membuka bicara bersama Panorama.
Bercerita lebih lanjut, dia yang kini bertugas sebagai pekerja pembersihan di sebuah syarikat swasta berkata, dahulu hidupnya begitu mewah dan berpangkat besar.
Jelas anak kelahiran Kuantan, Pahang itu, dia pernah bekerja sebagai ketua penyelia di sebuah perbadanan perumahan mewah di ibu kota.
“Senang kata dalam perbadanan perumahan tersebut, saya ialah ‘big boss’ dan semua residen yang menetap di sana kenal saya.
“Apa jua urusan dan segala yang berkaitan kelulusan sesebuah projek atau tender mesti melalui saya sebagai ketua.
“Jadi, peranan dan tanggungjawab saya cukup besar. Semua residen di sana juga sangat menghormati dan senang berurusan dengan saya,” katanya.
Beritahu anak kedua daripada lima beradik itu, pendapatan bulanannya juga cukup mewah, selain mendapat beberapa manfaat serta faedah tambahan daripada majikan.
Pun begitu, benar bagai dikata, manusia mudah lupa.
Itu apa yang dilalui oleh Saad tatkala sedang berada di puncak kuasa.
“Ketika saya menjawat jawatan ketua penyelia, semua projek dan tender yang melibatkan kewangan akan melalui saya.
“Saya jadi gelap mata. Saya berlaku tidak adil kepada syarikat-syarikat baharu yang mahu memasuki tender di perbadanan tempat saya bertugas.
“Bagi memudahkan urusan, syarikat yang biasa berurusan dengan saya cuma perlu membayar wang sagu hati sebagai ‘buah tangan’ kepada saya.
“Perkara itu berlarutan selama bertahun-tahun. Senang kata, saya buat duit dengan cara mudah,” katanya.
Akuinya lagi, bukan setakat itu, perihal parkir di perbadanan perumahan juga menjadi antara lubuk duit bagi Saad.
Ujarnya, dia berlaku tidak adil dan mendahulukan serta mementingkan ‘kroni’ bagi mendapatkan akses parkir.
“Bab parkir juga saya pandai menipu dan boleh buat duit daripada situ.
“Saya akan jaga kroni dan kenalan terdekat terlebih dahulu.
“Biasanya, mereka akan beri wang tambahan secara terus kepada saya.
“Bagi residen yang baharu berpindah, mereka biasanya perlu mendaftar terlebih dahulu dan menunggu beberapa hari atau seminggu untuk diproses.
“Dengan cara ini, saya akan ‘sidai’ mereka dan susahkan urusan mereka untuk mendapatkan parkir.
“Ini kerana, saya akan mengutamakan kroni yang menguntungkan poket saya,” katanya.
Begitu juga dengan projek-projek pembinaan tambahan, ubah suai dan apa sahaja yang melibatkan kontraktor atau vendor-vendor besar, semua keuntungan akan berpihak kepada Saad.
Bertahun ‘kenyang’ makan duit haram dan hasil suapan, akhirnya perbuatan Saad diketahui pembantunya.
Bertindak dengan segala bukti yang ada, Saad akhirnya dihadapkan ke mahkamah dan mengakui kesalahan yang dilakukannya, sebelum dipenjara enam tahun dan denda.
Bagi Saad, perbuatan lampaunya itu telah memakan diri. Sepatutnya, dia bersyukurlah dengan rezeki yang ada.
Paling disesali, disebabkan perbuatannya itu, dia kehilangan segala-galanya termasuk isteri dan anak-anak.














