PETALING JAYA – Kejadian letupan misteri yang menggemparkan penduduk di Ipoh, Perak kelmarin mungkin disebabkan berlakunya runtuhan dinding batu kapur di dalam gua secara tidak terdedah sama ada di atas permukaan atau bawah tanah.
Ketua Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor Madya Dr. Mohd. Rozi Umor berkata, keadaan itu hanyalah pandangannya di peringkat awal, namun ia memerlukan satu kajian secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar.
“Kita perlu lakukan kajian secara menyeluruh melibatkan aspek geologi, guna tanah, pengkuarian dan agensi kerajaan.
“Kejadian sebegini tidak boleh dipandang ringan. Sekiranya puncanya boleh menyebabkan kerosakan harta benda dan nyawa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bercerita lanjut, Mohd. Rozi berkata, mengikut sudut saintifik, keruntuhan dinding batu kapur secara tiba-tiba berkemungkinan berpunca dari retakan sedia ada dan kemudian menjadi semakin besar.
“Ia dibesarkan oleh aliran air hujan berterusan. Air menghakis dan melemahkan satah retakan menyebabkan ia gagal dan jatuh,” jelasnya.
Semalam Kosmo! melaporkan penduduk di sekitar Ipoh, Perak sekali lagi dikejutkan dengan dentuman misteri yang menghasilkan gegaran di beberapa kawasan hingga mencetuskan tanda tanya ramai ketika pihak berkuasa masih belum mengetahui apakah punca sebenarnya.
Mengikut rekod, ia merupakan dentuman kuat ketiga melanda Ipoh selepas kejadian pertama dan kedua pada Jun 2012 serta 4 Oktober 2018.
Kejadian pada pukul 11 pagi kelamtin itu ternyata mengejutkan orang ramai yang cemas dan bergegas keluar daripada kediaman serta bangunan dengan 1,001 persoalan selain berteka-teki memikirkan puncanya.
















