MINGGU lalu, platform media sosial TikTok memberhentikan ratusan pekerjanya di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
TikTok yang dimiliki oleh ByteDance China dalam kenyataan turut memberitahu bahawa kurang daripada 500 pekerja di negara ini terjejas.
Langkah tersebut diambil bagi mengalihkan tumpuan ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas.
Bagi mengulas lebih lanjut mengenai teknologi AI dan impaknya dalam pasaran kerja, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual Ketua Pasukan Bertindak AI, Kluster Sains, Teknologi dan Inovasi, Akademi Profesor Negara yang juga ahli akademik dalam bidang Sains Komputer di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Ts Dr. Norita Md. Norwawi baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita ratusan pekerja TikTok di negara ini bakal diberhentikan. Kebanyakan mereka adalah moderator memandangkan tugas tersebut akan diganti oleh kecerdasan buatan (AI). Boleh Prof. ulas mengenai perkembangan ini?
NORITA: Lumrahnya dalam lipatan sejarah, apabila teknologi baharu diperkenalkan, maka pelbagai impak turut dialami oleh organisasi dan masyarakat secara umumnya. Teknologi baharu biasanya digunakan bertujuan untuk peningkatan produktiviti serta kecekapan pengurusan dan operasi sesebuah organisasi. Menurut Ibnu Khaldun (2002) dalam karyanya Muqaddimah:
“Walaupun kemajuan kemajuan teknologi membawa manfaat, ia perlu diurus dengan waspada dan bijaksana agar keseimbangan antara inovasi dan nilai-nilai komuniti dapat mengekalkan kestabilan dalam mana-mana tamadun.”
Sejarah dan pengalaman terdahulu adalah rujukan terbaik sebagai panduan menyusun strategi menghadapi situasi sebegini.
Kalau dulu, kerbau digunakan untuk membajak sawah, tetapi pada hari ini telah digantikan dengan jentera yang boleh melakukan tugas sama.
Di masa hadapan, jentera ini boleh diinovasikan dengan teknologi canggih yang terkini. Namun, biarpun teknologi boleh meningkatkan produktiviti, namun ia juga boleh mencabar keharmonian sosial jika tidak dikawal dengan baik.
Biarpun AI mampu memberi banyak manfaat, namun kegusaran orang ramai ketika ini adalah kehilangan pekerjaan kepada teknologi. Apakah kerja-kerja yang dilihat berpotensi diambil alih oleh AI dalam masa terdekat?
Merujuk kepada pemikiran Ibnu Khaldun berkaitan kitaran tamadun, dapat kita fahami bahawa perkembangan teknologi dan inovasi akan membuahkan kepada keperluan kemahiran dan pekerjaan baharu yang membawa kepada pembangunan industri yang boleh memperkayakan ekonomi serta masyarakat.
Maka, sebahagian daripada pekerjaan yang boleh diambil alih oleh teknologi akan terkesan.
Sebagai contoh, satu masa dahulu, posmen adalah sejenis pekerjaan menghantar surat ke alamat penerima. Namun pada hari ini, tidak lagi kelihatan posmen. Basikal mula digantikan dengan motosikal dan pengantaran surat ditukar kepada barangan.
Pekerjaan yang asalnya mungkin tidak wujud sebelumnya, tetapi kini berubah kepada keperluan baharu, sesuai dengan perkembangan teknologi terkini.
Secara umumnya, sifat pekerjaan melibatkan rutin yang sama, berulang setiap hari berpotensi digantikan oleh AI.
Kaifu Lee, seorang pemikir AI dari China, dalam bukunya, AI Superpowers: China, Silicon Valley, and the New World Order (2018) telah pun menggariskan panduan sebagai kerangka menghasilkan inovasi AI.
Contohnya, jika pekerjaan yang tidak melibatkan kreativiti dan emosi belas kasihan, empati dan simpati yang tinggi, maka AI sesuai digunakan secara total dengan pengawasan manusia. Namun, menurut Kaifu Lee lagi, pekerjaan yang memerlukan kreativiti dan empati, tidak sesuai digantikan dengan AI sepenuhnya kerana fitrah manusia itu adalah lebih diperlukan.
Antaranya, pengasuh kanak-kanak, guru, jururawat, peguam dam doktor tidak boleh digantikan sepenuhnya oleh AI.
Kita boleh mengambil peringatan daripada amaran Ibnu Khaldun bahawa teknologi baharu akan mencipta peluang pekerjaan, tetapi juga boleh membawa kepada perubahan sosial yang memerlukan pengurusan berhati-hati untuk mengelakkan ketidakseimbangan dalam masyarakat.
Ketika ini, ramai rakyat Malaysia mula obses dengan ruang dialog yang dikendalikan teknologi AI iaitu ChatGPT. Sejauh manakah ChatGPT ini boleh memberi kesan buruk kepada dunia akademik?
Sebenarnya, kita telah lama menikmati teknologi AI dalam kehidupan, tanpa kita sedari seperti penggunaan Google Map, Waze, Uber, Grab, telefon pintar dan sebagainya.
Tan Sri Prof. Syed Naquib Al-Atas dalam bukunya, Risalah Untuk Kaum Muslimin (2019) telah mengingatkan kita bahawa teknologi adalah umpama pisau. Ia boleh digunakan untuk memotong buah dan sayur yang boleh membawa manfaat kepada manusia.
Namun, pisau juga boleh mencederakan jika digunakan untuk tujuan merosakkan nilai keinsanan.
Begitu juga kewujudan ChatGPT, ia boleh membawa kepada kebaikan jika digunakan dengan tujuan dan cara yang betul. Namun, boleh membawa kerosakan jika niat dan cara penggunaanya tidak murni.
Saya secara peribadi menyarankan agar semua pihak seperti badan kerajaan, swasta dan individu yang menjalankan latihan ChatGPT atau alatan AI lain, wajib dimulakan dengan modul ‘Etika AI’ yang menekankan bagaimana menjadi pengguna AI bertanggungjawab.
Dalam usaha membendung penggunaan ChatGPT dalam kalangan pelajar terutamanya menyiapkan tugasan dan menjawab soalan peperiksaan, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh kerajaan atau institusi pengajian tinggi?
Pada hemat penulis, kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu diubah dan ditingkatkan kepada kemahiran kognitif tahap yang lebih tinggi. Kemahiran bertanya soalan kepada alatan AI (prompting) akan membentuk pemikiran yang lebih kritikal kerana seseorang itu tidak hanya bergantung kepada suapan maklumat ChatGPT semata-mata.
Kaedah bertanya soalan kepada ChatGPT juga perlu diberikan panduan supaya alatan tersebut dapat dimanfaatkan dengan bijak.
Seni membina soalan juga adalah satu kemahiran aras tinggi yang perlu dipupuk. Pada pandangan saya, CHatGPT sangat sesuai dengan pelajar-pelajar Malaysia yang rata-rata malu untuk bertanya soalan, memberikan pandangan dan berhujah mengenai sesuatu topik atau isu.
Ia adalah platform untuk melatih pelajar dalam menyusun idea secara berstruktur, kreatif dan berkesan.
Dalam kuliah, pelajar juga boleh dibimbing kepada pemikiran aras tinggi kerana ada ruang lebih untuk berkarya dengan bantuan ChatGPT.
Daripada pengalaman saya, kualiti tugasan jauh lebih baik dengan bantuan alatan AI jika dipandu dengan betul kerana pelajar ada ruang lebih untuk meneroka dan berkarya.
Kerajaan menyasar menjadikan Malaysia sebagai hab penjanaan AI. Kerajaan juga bercadang menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan untuk menyelaras semua inisiatif berkait teknologi itu. Apakah pendapat Prof. terhadap usaha dilakukan kerajaan ketika ini?
Secara dasarnya, saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penjanaan AI dengan mengambil contoh perkembangan teknologi ‘qalam’ yang dipelopori oleh Khalifah Harun al-Rashid dan diteruskan oleh Khalifah Al-Maa’mun.
Pengemblengan kemahiran dan kepakaran tempatan dengan pemindahan teknologi dari luar adalah agenda yang sangat utama dalam memastikan kesinambungan perkembangan ketamadunan jangka panjang Malaysia.
Negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, China dan Turki telah menunjukkan contoh bagaimana mereka boleh maju dengan memperkembangkan teknologi tempatan, di samping memanfaatkan hubungan luar yang strategik dalam pemindahan teknologi.
Siri latihan peningkatan kemahiran upskilling, reskilling perlu disusun dengan keutamaan yang mengambil kira etika dan nilai budaya tempatan dalam pembangunan manusia, amalan serta penggunaan alat bantuan teknologi (penggunaan alatan AI) sebagai perkara pokok.
Selain itu, AI juga boleh dimanfaatkan oleh pihak tertentu untuk melakukan perkara negatif. Adakah pengenalan AI ini membuka ruang lebih besar kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah?
Setiap nikmat jika tidak disyukuri, maka akan lahir generasi kufur nikmat yang akan menyalahgunakan teknologi untuk tujuan mungkar.
Allah SWT telah memberikan panduan kepada Nabi Nuh AS agar teknologi bahtera perlu dibangunkan dengan pengawasan dan kawalan-Nya. Dia Maha Melihat segala tindak tanduk kita.
Teknologi ini juga perlu dibangunkan dengan garis panduan daripada wahyu Allah SWT.
Jika tidak, kita akan membawa negara, masyarakat dan generasi seterusnya tenggelam dalam ledakan dan kebanjiran teknologi tanpa bimbingan wahyu.
Dalam membendung kes jenayah membabitkan AI pada masa depan, adakah kerajaan perlu melaksanakan peraturan khusus atau menggubal undang-undang tertentu bagi melindungi masyarakat?
Undang-undang dan peraturan khusus sangat perlu untuk mengawal dan membendung salah guna teknologi atau polisi membangunkan aplikasi serta teknologi.
Ia juga tidak berpaksikan hanya kepada keuntungan dan kemewahan semata-mata, di samping memelihara manusia dengan nilai kemuliaan insan ‘karamah insaniyah’.
Bagi umat Islam, saya menyarankan supaya diwujudkan forum perbincangan etika AI dan Islam yang terdiri daripada pakar dalam bidang agama, sosiologi, psikologi dan teknologi.
Satu badan yang memantau seperti panel syariah dan polisi etika Islam untuk AI perlu digubal untuk menjaga sensitiviti dan kemuliaan agama.
Ini adalah sebahagian daripada kempen etika AI yang merujuk kepada ‘Responsible AI Technology, Responsible Use, Responsible Usage’.
Teknologi dengan nilai yang betul dan benar akan membawa kepada kemakmuran, namun jika disalahgunakan akan mengakibatkan sebaliknya.
Teknologi dari sudut pandang ketamadunan adalah alat semata-mata. Namun, manusia sebagai khalifah di muka bumi mempunyai tanggungjawab atau taklif untuk memastikan alat yang digunakan memberi manfaat atau maslahah, bukan mafsadah (kerosakan).
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan bahawa teknologi AI digunakan untuk kemanfaatan, bukan diletakkan di atas bahu pakar teknologi semata-mata.














