MEMBUDAYAKAN kitar semula merupakan langkah yang berterusan terutama bagi membiasakan amalan itu dalam gaya hidup masyarakat.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk mewujudkan fasiliti kitar semula yang menjadi pusat pengurusan dan rujukan.
Pusat kitar semula juga diwujudkan bagi membolehkan orang ramai membawa sisa buangan untuk diuruskan oleh industri.
Fasiliti itu menjadi indikator kepada tahap penerimaan masyarakat dalam menjadikan kitar semula sebagai satu cara hidup, sekali gus membantu pengurangan sisa buangan di tapak pelupusan sampah.
Perkembangan itu juga boleh dilihat menerusi operasi fasiliti kitar semula, ‘Recovery Initiative Sustainable Eco-Facility Kuala Lumpur’ (RISE KL).
Pengurus Jabatan Kitar Semula, Alam Flora Environmental Solutions (Afes), Ismi Azura Istear Khan, kewujudan RISE KL telah menunjukkan kesedaran masyarakat terutama di Kuala Lumpur dalam menguruskan sisa buangan di rumah dan organisasi.
“RISE KL baru tahun pertama beroperasi menguruskan sisa buangan kitar semula terutama di Kuala Lumpur.
“Sepanjang tempoh itu, kita dapat lihat peningkatan pada kadar sisa boleh urus yang diterima di fasiliti ini.
“Peningkatan ini menunjukkan bahawa orang ramai sudah mula mengambil inisiatif untuk menguruskan sisa di rumah dengan mengasingkan bahan yang boleh dikitar semula.
“Ia bagi memudahkan pengasingan di peringkat awal sebelum dibawa ke fasiliti,” katanya ketika ditemu bual di RISE KL, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.
Tambahnya, fasiliti yang boleh menampung sehingga 60 tan sampah sehari itu kini telah mencapai tahap membanggakan dengan merekodkan 70 peratus sampah yang boleh diuruskan pada setiap hari.

Operasi di RISE KL melibatkan tadbir urus dan pengumpulan sisa kitar semula, sama ada diolah menjadi bahan mentah atau disimpan dalam bentuk asal sebelum diserahkan kepada pihak industri.
Antara bahan yang diterima oleh RISE KL adalah plastik, kaca, besi, aluminium, minyak masak terpakai, barangan elektronik dan sisa yang boleh diurus untuk menjadi bahan mentah industri.
Setakat ini, sisa yang diterima untuk diolah datang daripada rumah, komuniti, organisasi, syarikat dan individu persendirian.
Kongsi Ismi Azura, bagi memastikan pengurusan sisa kitar semula dapat dilakukan dengan lancar, pihaknya telah melaksanakan pelbagai usaha merangkumi naik taraf mesin operasi, melaksanakan program kesedaran dan kerjasama dengan badan korporat.
“Kita telah meningkatkan keupayaan operasi dengan membawa masuk mesin pengasingan bagi membantu pekerja menguruskan sisa di peringkat awal.
“Ini termasuk menyediakan jentera yang mencukupi untuk menampung peningkatan sisa kitar semula ke fasiliti.
“Tidak hanya itu, pihak Afes dan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) juga sentiasa berhubung dengan masyarakat, komuniti serta industri dalam usaha menyampaikan mesej amalan kitar semula,” ujarnya.
Tambahnya, langkah itu dilaksanakan bukan sekadar untuk melicinkan operasi di fasiliti, malah sebagai langkah mencapai sasaran dan menyokong aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kadar kitar semula negara kepada 40 peratus menjelang tahun 2050.
Katanya, kerjasama dengan badan korporat dan organisasi besar juga membantu terutama menerusi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus.














