Menjaga insan istimewa memerlukan sokongan moral dan kewangan yang jitu, namun masih ada memandang ringan rawatan susulan untuk pesakit mental.
Ini kerana, jangkaan untuk mereka berubah dan bertindak di luar kawalan bukan sahaja membahayakan diri, malah individu di sekelilingnya.
Pada 5 Oktober lalu, seorang pesara guru berusia 65 tahun maut selepas ditikam anak lelakinya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan selepas dipercayai berhalusinasi.
Pemuda berusia 32 tahun itu merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran rumah teres di Sitiawan pada 25 September lalu dipercayai dibunuh adik kandungnya sebelum rumah itu dibakar.
Lelaki berusia 39 tahun yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu mempunyai masalah mental dan pernah mendapatkan rawatan.
Lelaki itu bagaimanapun dikatakan enggan meneruskan rawatan atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan (KKM) terdapat tiga kumpulan utama penyakit mental antaranya neurosis yang mampu membuat seseorang pesakit mental itu sedar akan keadaan kesihatan mereka.
Kumpulan kedua ialah psikosis yang mana dalam kategori ini kewarasan pesakit mental terganggu seperti menghidap skizofrenia yang membuat mereka berhalusinasi dan mengalami kecelaruan tingkah laku.
Kategori ketiga adalah kecelaruan personaliti yang membuatkan seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter.
Mengulas mengenai perkara itu, Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Kanan Universiti Putra Malaysia, Dr. Ruziana Masiran berkata, tindakan luar biasa dalam kalangan pesakit mental boleh berlaku sekiranya mereka tidak dirawat dan diurus dengan baik.
“Menghentikan rawatan susulan tanpa nasihat doktor atau tidak mengambil ubat yang ditetapkan boleh menjadikan gejala penyakit mereka lebih sukar dikendalikan.
“Tanpa pemantauan berkala oleh pakar, keadaan boleh menjadi teruk. Proses rawatan tidak semestinya ambil masa yang lama untuk melihat kesan pulih kepada pesakit, namun proses mengurus dan menjaga kesihatan mereka perlu berterusan agar ia lebih bertambah baik,” katanya.
Menurut Dr. Ruziana, penyalahgunaan dadah juga mampu meningkatkan risiko pesakit bertindak agresif.
Tegasnya, adalah penting untuk semua pihak mengambil perhatian bahawa kebanyakan individu yang mengalami sakit mental tidak akan bertindak agresif sekiranya diberi rawatan dan sokongan sewajarnya.
“Keluarga perlu memainkan peranan penting dalam menyokong pesakit mental. Pastikan mereka patuh rawatan mereka termasuk mengambil ubat selain menghadiri janji temu rawatan susulan.
“Jika tidak pasti bagaimana untuk membantu, dapatkan nasihat profesional seperti pakar psikiatri, pegawai psikologi atau kaunselor mengenai cara mengurus gejala tertentu,” katanya.














