“JANGAN terlalu bergantung kepada mereka yang bernama suami.
“Jika bergelar suri rumah sekalipun, jadilah wanita yang ada pendapatan sendiri.”
Itu kata-kata pesanan daripada wanita cekal ini kepada kaum Hawa di luar sana saat memulakan bicara kepada Aura.
Mengakui hidupnya penuh liku dan dugaan selain cabaran bergelar ibu tunggal kepada lima orang cahaya mata lelaki selepas diceraikan, Nurain Abdullah mengakui ia bukan satu perkara mudah untuk dilalui.
Wanita asal Indonesia dengan nama sebenar Dona Dameria ini menyifatkan, kehidupannya selepas bercerai dengan bekas suami bagai satu malapetaka, namun mahu atau tidak ia perlu diteruskan.
“Saya sebenarnya berasal dari Indonesia dan telah berhijrah ke Malaysia seawal tahun 2000 untuk mencari rezeki di sini.
“Ditakdirkan saya bertemu jodoh dengan seorang duda anak dua dan kami disatukan sebagai pasangan suami isteri.
“Ketika itu, boleh dikatakan hidup saya dalam keadaan sederhana dan cukup dari segi keperluan lain. Saya juga tidak dibenarkan bekerja kerana perlu menjaga dua anak tiri hasil perkahwinan lalu suami,” katanya.
Jelas Nurain, 42, tidak lama selepas itu, dia turut dikurniakan tiga cahaya mata hasil perkahwinannya.
Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itu paling tepat bagi menggambarkan titik kepada perubahan hidup wanita ini.
Katanya, sekitar awal 2017 ketika anak bongsunya berusia setahun lebih, dia bercerai dengan suaminya dan terpaksa keluar menjalani hidup sebagai ibu tunggal bersama kelima-lima anaknya termasuk anak tirinya.
Beritahunya, tahun itu merupakan tahun paling menguji hidupnya kerana langsung tidak mempunyai apa-apa ketika itu.
“Saya memang tidak pernah bekerja sebelum ini dan saya juga orang asing dan bukan warganegara ketika itu.
“Jadi, peluang untuk saya dapat kerja itu bukan mudah. Ketika itu saya masih ingat saya bawa kesemua anak menyewa di sebuah rumah kecil di Johor Bahru.
“Maka, bermulalah kehidupan kami di kediaman kecil itu. Saya juga terpaksa tinggalkan anak-anak yang masih kecil dan minta yang sulung untuk bantu tengok-tengokkan adiknya untuk keluar bekerja,” katanya.

Jelas Nurain, dia ketika itu menerima upah sebagai tukang masak sambilan di dua buah restoran.
Katanya, pada siang hari dia akan bekerja dan memasak di restoran nasi campur, manakala pada petang dan malam hari pula akan segera ke sebuah lagi restoran masakan panas.
“Itulah rutin harian saya kala itu. Saya buat dua kerja dalam satu masa. Jadi, ketika itu memang tak dapat dinafikan urusan kebajikan anak-anak terabai dan kurang kasih sayang.
“Anak-anak memang tidak terurus ketika itu, tetapi alhamdulillah bab pendidikan memang saya dan bekas suami tidak abaikan,” katanya.
Ujar anak keempat daripada lima beradik asal Pematang Siantar, Sumatera Utara itu, dia sendiri kasihan melihat keadaan semua anaknya dan lantas berhenti kerja selepas tiga bulan.
Justeru, selepas berhenti menjadi tukang masak, dengan sedikit wang hasil kerja, dia mula duduk bersendirian dan fikir untuk lakukan apa ke depannya.
“Jadi, saya terfikir untuk sertai bisnes pelbagai peringkat (MLM) di bawah syarikat orang lain. Itu sekali gus memudahkan saya untuk bekerja sambil menjaga anak.
“Kerja tersebut juga tidak nemerlukan saya berada lama di luar dan ada banyak masa bersama anak.
“Bila sampai Covid-19, saya tak boleh teruskan bisnes tersebut kerana perintah kawalan pergerakan yang diperkenalkan.
“Bermula dari situ jugalah saya terfikir untuk jual produk di TikTok, tetapi pada masa sama tak tahu nak jual apa. Entah bagaimana saya teringat seorang kenalan yang memang mahir buat jamu homemade.
“Tanpa fikir panjang, saya minta dia buat 10 botol untuk dijual di TikTok dan pada masa sama saya cuba sendiri,” katanya.
Syukur ke hadrat Ilahi, jamu tersebut yang dijual dalam botol dengan isi padu 500 mililiter berharga RM18 mendapat sambutan menggalakkan dan tambahan pesanan.
Beritahu Nurain, hampir setahun lebih berniaga jus jamu homemade hasil air tangan kenalannya itu dengan sambutan menggalakkan, dia terfikir untuk meningkatkan pengeluaran secara lebih efisien.
Maka bermula dari situ, dia mula menjenamakan produknya dengan label Nurain DViral dan semua kerja-kerja pengeluaran dilakukan di kilang.
“Renteran sambutan luar jangka daripada ramai terutama pengguna TikTok, saya tidak menang tangan memenuhi pesanan pelanggan.
“Maka saya tukar strategi pengeluaran dan tukar juga pembungkusan daripada botol kepada sachet di dalam kotak.
“Kandungan herba dan ekstrak buah-buahan juga saya tambah baik dan membuatkan semua lapisan umur suka minum jus jamu tersebut,” katanya yang mengumpul lebih 736,000 pengikut di TikTok.
Hasil perniagaan, dia juga dapat membeli sebuah kediaman yang jauh lebih selesa buat kesemua anaknya.
Kongsi Nurain, selepas setahun lebih fokus melayan permintaan pelanggan dan pengeluaran jus jamu itu, dia mula memberanikan diri untuk memperkenalkan produk baharu yang turut mendapat sambutan iaitu pelindung suria atau sunscreen NurAin DViral.
“Alhamdulillah selepas beberapa tahun berhempas pulas berniaga, saya dapat berkongsi rezeki dengan lebih daripada 1,000 ejen dan stokis berdaftar.
“Saya juga bersyukur kerana sudah mendapat residence pass (pas residen) sebelum ini dan tidak lama lagi bakal memohon kewarganegaraan tetap.
“Bagi saya, pengalaman lampau benar-benar mengajar saya erti menjadi seorang manusia kuat tanpa kawalan,” katanya yang amat menggemari menggayakan gaun kembang sebagai fesyen pilihan sejak zaman mudanya.
Mengakhiri perkongsian, Nurain memberitahu, produknya juga sudah berjaya menembusi tujuh negara lain termasuk Indonesia, Brunei, Singapura, Taiwan, Thailand dan Australia serta bakal memperkenalkan lebih banyak barisan produk lain kelak.















