fbpx
Gambar hiasan

‘Bukan tidak bersyukur, tapi hidup kini cukup mencabar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – “Bukanlah kami tidak bersyukur dengan elaun guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang diterima, namun untuk menampung keperluan hidup yang amat mencabar ketika ini kami terpaksa melakukan dua pekerjaan dalam sehari.”

Demikian keluhan seorang guru KAFA yang ingin dikenali sebagai Nurul, 42, selepas dia terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk menampung keperluan keluarganya.

Katanya, dia menawarkan perkhidmatan sebagai tukang urut wanita selepas waktu me­ngajar semata-mata bagi menambah pendapatan untuk menampung belanja keluarga.

“Memang saya terpaksa me­lakukan dua kerja walaupun badan berasa amat letih. Oleh kerana elaun KAFA RM1,300 yang diterima tersebut hanya cukup-cukup bagi membantu menampung belanja keluarga.

“Suami bekerja sebagai pembantu kedai makan, jadi gaji diterimanya tidaklah begitu ba­nyak. Dia juga berusaha keras kerana sanggup bekerja dari pagi hingga malam di kedai itu bagi meningkatkan pendapatannya.

“Saya mahu berkongsi bebanan dengannya, disebabkan memiliki kemahiran mengurut, jadi itulah yang saya lakukan pada waktu petang hingga malam sekiranya ramai pelanggan,” katanya yang mengajar di sebuah sekolah agama rakyat di daerah ini pada sesi pagi.

Dalam pada itu, seorang lagi guru KAFA yang ingin dikenali sebagai Aisyah, 25, berkata, beliau terpaksa menjual makanan dan minuman semasa sesi rehat untuk menambah pendapatan.

“Elaun bulanan RM1,300 sahaja tidak mencukupi dengan kos sara hidup sekarang cuma saya bernasib baik masih bujang dan baru habis pengajian di universiti beberapa tahun lalu.

“Jika perkara ini tidak diselesaikan segera, saya khuatir ramai guru yang akan beralih ke sekolah swasta yang gajinya lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan guru KAFA yang ada sekarang sudah berusia dan golongan muda tidak meminatinya berikutan kadar upah yang rendah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN